Seruan Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 1:43 PM

BICARA PRESIDEN (Bahagian ketiga)

Tuduhan boneka IMF motif politik semata-mata

Kita sering diasak dengan cerita kononnya kita pulih dari Krisis Kewangan 1997 kerana menolak formula IMF. Dakyah juga dilemparkan kononnya bekas Menteri Kewangan merupakan seorang yang dipengaruhi IMF. Perlu dingatkan sewaktu krisis berlaku pengurusan kewangan Kerajaan Persekutuan telah diurus dengan cermat dan berhemat sehinggakan mampu membuat bayaran awal hutang (prepayment) sebanyak RM 9 billion. Negara tidak meminta bantuan pinjaman IMF dan IMF tidak perlu menawarkan sebarang pinjaman kepada Malaysia. Tidak timbul soal IMF mengenakan syarat dan negara terpaksa tunduk kepada kehendak IMF.

Tuduhan mengenai boneka IMF bermotif politik semata-mata. Tuduhan palsu dibuat kerana Kementerian Kewangan pada waktu itu telah memperkenalkan beberapa langkah kewangan yang tidak disenangi oleh beberapa pihak. Langkah menguatkuasakan peraturan badan pengawas seperti Suruhanjaya Sekuriti  tanpa memilih bulu cukup menimbulkan kemarahan mereka. Seterusnya pendirian bekas Menteri Kewangan untuk tidak berkompromi dengan langkah bail-out yang di cadangkan oleh Perdana Menteri telah dianggap sebagai engkar perintah.

Pengurusan kewangan negara perlu diurus dengan cekap dan amanah. Disiplin pengurusan kewangan perlu untuk mengembalikan keyakinan pelabur dalam dan luar negara. Korea Selatan dan Thailand yang patuh kepada preskripsi IMF kini membangunkan semula ekonomi dengan pesat. Kita juga bersyukur kerana negara kita dijangka dapat mencapai pertumbuhan sederhana 4.5% bagi tahun 2003.

Syarikat penerbangan negara MAS telah belajar dari kesilapan lampau apabila MAS mengembangkan destinasi ke seluruh pelusuk dunia. Banyak di antara laluan seperti ke Mexico dan Chile tidak menguntungkan. Hari ini MAS lebih fokus dan memberi tumpuan kepada laluan menguntungkan di Asia dan Eropah.

Untuk mewujudkan ekonomi yang mempunyai dayasaing dan berdaya tahan kita perlu tentukan saiz ekonomi dan saiz pasaran dunia yang boleh kita kuasai dan pertahankan. Kita wajar memilih bidang yang kita mempunyai kelebihan dan kepakaran dan kita asah kekuatan kita melalui program R & D yang melibatkan kerjasama erat antara industri dan universiti. Kita perlu sedar bahawa lain-lain negara juga berlumba-lumba untuk meningkatkan dayasaing. Globalisasi memaksa setiap negara supaya sentiasa cekap dan berdaya saing. Negara yang rakyatnya menjadi manja kerana kemewahan akan hilang dayasaingnya.

Ini saya mencadangkan supaya :

* Galakan diberi kepada syarikat untuk menembusi pasaran baru.

* Galakan diberi bagi kerja penyelidikan dan pembangunan (P & P) yang membawa punca hasil yang baru. Di sektor petroleum galakan cukai wajar diberi kepada syarikat minyak yang melakukan explorasi berisiko tinggi.

* Galakan diberi bagi kerja P & P di dalam industri berasaskan sumber tempatan. Industri herba dan bioteknologi perlu dipergiatkan dan dikomersilkan di pasaran antarabangsa.

* Hubungan pro aktif perlu diwujudkan di antara industri dan universiti. Industri perlu memanfaatkan kemudahan P & P di universiti. Universiti pula perlu memanfaatkan pengalaman tokoh industri. Galakan harus diberi kepada tokoh industri berkongsi pengalaman dengan universiti dengan bayaran yang kompetitif.

Sejak akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan berbagai jenayah yang mengerikan. Jenayah culik, rogol, bunuh dan bakar semakin menjadi-jadi. Pembunuh upahan mengiklankan khidmat mereka. Ceti haram atau Along bertindak ganas apabila wang pinjaman tidak dibayar.

Rakyat khususnya wanita tidak lagi berasa selamat untuk bergerak ke mana-mana. Perasaan takut dan bimbang sentiasa menghantui fikiran samada di rumah, di jalanraya atau di pusat beli-belah. Hambatan kehidupan moden, adegan ganas di televisyen dan nilai  moral yang rendah adalah di antara punca berlakunya jenayah.

Bangsa Malaysia perlu dididik dengan sifat yang mulia dari kecil lagi. Sifat kasih sayang sesama insan, sikap menghargai nyawa, darah dan maruah serta semangat perpaduan harus digalakkan. Polis dan pihak berkuasa undang-undang mempunyai tanggungjawab besar untuk mewujudkan suasana selamat di dalam negara. Tugas polis menjaga keamanan perlu diutamakan mengatasi apa-apa tugas risikan untuk kepentingan politik parti pemerintah.

Sehingga kini belum ada tanda-tanda kerajaan sedia ada sudah memberhentikan amalan bail-out. Berita sudah pun tersebar Khazanah Nasional akan membeli 40% aset Country Heights Holding Bhd yang menanggung hutang RM800 juta. Perniagaan Country Heights melalui Mines Convention and Exhibition Centre dijangka menurun selepas ini apabila Putrajaya Convention Centre menjadi pusat konvensyen pilihan. Persoalannya, kenapa Khazanah Nasional membeli syarikat yang diketahui akan terjejas perniagaannya?

Masa depan negara adalah tanggungjawab kita bersama. Kita sama-sama mahukan masa depan yang adil, aman dan makmur untuk anak-anak kita. Kewarasan harus mengatasi pertimbangan yang semput. Amanah dan tanggungjawab kepada rakyat mesti dilaksanakan. Hak rakyat janganlah diabaikan. Di dalam kesempatan yang timbul untuk kita melakukan perubahan tak lama lagi marilah kita melangkah dengan berani meniti gelombang, menongkah arus.