Seruan
Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 1:10 PM
EDITORIAL
Menghadapi
‘musuh’ baru
Berlabuh
mega pada 31 Oktober 2003, tamatlah kisah seorang pemimpin yang
meninggalkan banyak ‘legacy’. Esoknya, tatkala menyinsing sahaja
fajar 1 November 2003, negara akan diterajui oleh orang yang selama
ini mahu dikenali sebagai ‘Mr. Clean’.
Antara
pemimpin yang buruk dan pemimpin yang ‘clean’ hakikatnya mereka
berada dalam bakul yang sama, bakul yang penuh dengan nanah dan
kudis penyelewengan serta pelbagai kebejatan.
Perasaan
rakyat bercampur baur. Ada yang gembira kerana berakhirnya malapetaka
dan gembira kerana negara tidak lagi di tangan sang pembuat angkara.
Tidak
kurang juga yang sedih kerana yang menggantikannya orang dari rejim
yang sama, rejim yang menghalalkan penyelewengan, rejim yang memupuk
salah guna kuasa dan rejim yang tidak tahu menghormati batas susila.
Apa
pun perasaan rakyat, yang pasti mereka masih menaruh harapan negara
ini dapat terus dibela oleh mereka yang menjadi pemuka politik negara.
Bagi mereka, peralihan kuasa bukanlah sesuatu yang dicita. Sebaliknya
bertukar rejim adalah segalanya.
Hakikat
ini menuntut semua yang berkongsi cita-cita, baik rakyat biasa,
pemimpin politik yang mahukan reformasi dilaksana ataupun mereka
yang secara diam mengharapkan perubahan menjelma, mengorak langkah
dan mengatur usaha yang jelas dan nyata.
Rakyat
tidak mahukan retorika politik yang bergema-gema kerana bagi mereka
matlamat utama ialah untuk menyelamatkan negara melalui kerangka
kerja yang tersusun rapi. Menjadi tanggungjawab pemimpin yang meneraju
perubahan untuk menyahut harapan rakyat tersebut.
Sekarang
adalah masanya untuk pemuka-pemuka politik menyusun langkah yang
lebih rapi dan teratur serta mantap. Musuh lama telah tiada. Tidak
ada gunanya menangisi segala angkara yang diwariskan kepada negara.
Sebaliknya
menjadi keutamaan agar cerucuk angkara baru tidak ditanam oleh pengambil
alih kuasa.
Semua
ini hanya akan dapat dipastikan sekiranya pemuka-pemuka politik
yang menerajui perubahan dapat menghidangkan kepada rakyat menu
kepimpinan yang lebih baik. Menu ini hanya mampu ditampilkan sekiranya
agenda rakyat diutamakan.
Agenda
rakyat hanya akan menjadi retorik sekiranya ia hanya menjadi rencah
dalam pengucapan kata-kata.
Sekarang
adalah masa yang terbaik untuk menghidangkan kepada rakyat pilihan
sebenar kerana musuh baru masih belum mendapat tapak untuk membina
kubu kekuasaan.
Umum mengetahui musuh baru
ini masih belum mendapat membentuk platun yang mantap bagi menghadapi
peperangan pilihanraya. Namun meletakkan harapan kelemahan musuh
akan memberikan keuntungan bukanlah pilihan yang bijak. Sebaliknya
kekuatan dalaman harus dibina dan diperkukuhkan.
Seperti
pesan Saidina Ali, keburukan yang terancang sudah pasti akan dapat
mengatasi kebaikan yang tidak teratur. Begitu juga halnya dalam
menghadapi musuh baru ini, tanpa kita membina kekuatan kita terlebih
dahulu, nescaya kejayaan masih jauh daripada yang dicita-cita.
Perginya
musuh lama tidak akan menguntungkan kita sekiranya kelemahan kita
tidak diperbaiki bagi menghadapi musuh yang baru.
Strategi
dan pendekatan boleh berubah tetapi matlamat tetap sama, baik musuh
lama mahupun musuh baru, segalanya terletak kepada kemampuan kita
untuk menjelmakan agenda yang nyata yang mampu menaikkan selera
rakyat jelata.
|