Seruan
Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 1:39 PM
YAA
Tan Sri Ahmad Fairuz Abdul Halim
Ketua
Hakim Negara
Kuala
Lumpur
11
Oktober 2003 / 15 Sya’ban 1424
Melalui
Pengarah
Penjara
Sungai
Buloh, Selangor
Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh,
Dengan
hormat dan ta’azim, dipohon pertimbangan dan kerjasama YAA Tan Sri
untuk meneliti dengan adil dan saksama permasalahan yang dibangkitkan
dalam warkah ini. Saya mengambil keputusan merujuk terus kepada
Tan Sri hanya setelah mengambil segala ikhtiar yang munasabah. Ini
termasuk permohonan ke Mahkamah melalui prosedur bicara, mengemukakan
notis rayuan, mengeluarkan kenyataan terbuka dan berulang alik memohon
tarikh pendengaran kes-kes dari pihak pendaftar.
Isu
Ikat Jamin
Saya mulakan
dengan isu permohonan ikat jamin yang tertangguh selama empat bulan
di Mahkamah Rayuan, walaupun YA Hakim P.S. Gill memaklumkan bahawa
keputusan akan disegerakan. Agak aneh bagi isu yang dikira mudah
tetapi dirumitkan. Sejak awal hakim-hakim telah menafikan hak saya
mendapat ikat jamin. Kaedah biasa mengemukakan permohonan lisan
ditolak. Dan setelah permohonan bertulis dikemukakan dengan alasan
kukuh termasuk keadaan kesihatan saya, keputusan masih tertangguh.
Tan Sri
sendiri sedar suasana kelam kabut sidang Mahkamah Rayuan berkenaan
manakala hakim-hakim YA P.S. Gill, YA Richard Malanjun dan YA Hashim
Yusof gelabah, meluru keluar sidang dan menghilangkan diri setelah
memaklumkan mahkamah bahawa mereka memerlukan beberapa minit. Hanya
setelah peguam-peguam dan Peguam Negara merujuk ke kamar YAA sendiri
maka Mahkamah Rayuan bersidang semula.
Tepat sekali
telahan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan bahawa isu semudah itu,
yang biasanya diputuskan oleh seorang Majistret dalam tempoh setengah
jam tidak dapat dikendali dengan memuaskan oleh Mahkamah Rayuan.
Dan kini,
setelah meneliti penghakiman Mahkamah Rayuan yang sebegitu lemah,
dangkal, dan bercanggah dengan prinsip undang-undang, maka hujah
kami lebih kukuh untuk memperolehi hak ikat jamin. Pertimbangan
Tan Sri untuk memastikan pendengaran yang segera amat dihargai.
Ulangkaji
Keputusan Mahkamah Persekutuan
Kira-kira
dua tahun yang lalu, saya telah mengemukakan permohonan ulangkaji
keputusan Mahkamah Persekutuan bersabit dengan pertuduhan dan hukuman
salah kes pertama (rasuah) terhadap saya menurut Seksyen 137 Peraturan
Mahkamah Persekutuan. Awal tahun ini Tan Sri telah bersetuju dengan
permohonan Peguam Negara bagi menangguh sidang untuk membolehkan
korum Hakim ditambah menjadi tujuh orang kerana menurut Peguam Negara
kes ini manarik perhatian ramai. Peguam-peguam saya menerima baik
pandangan tersebut meskipun menyedari hal itu tidak berbangkit sebelumnya,
dalam kesempatan tersebut juga, Tan Sri telah memberi jaminan untuk
menetapkan pendengaran pada bulan Jun. Lebih empat purnama telah
berlalu dan pihak kami masih menunggu.
Permohonan
tersebut diperkukuh dengan keterangan baru, afidavit dari Peguam
Manjeet Singh Dillon menjelaskan muslihat kotor pendakwaraya, Tan
Sri Gani Patail dan Dato’Azhar Mohamad terlibat dalam usaha khianat
merekayasa keterangan untuk mensabitkan saya dalam salahlaku seks.
Mahkamah
Persekutuan sebelumnya, dalam kes peguam saya Zainur Zakaria dituduh
menghina Mahkamah oleh Hakim Augustine Paul, telah membebaskannya.
Tetapi penghakiman tersebut memberi implikasi yang luas kepada pertuduhan
terhadap saya kerana Mahkamah Persekutuan mensabitkan kedua-dua
Pendakwa Kanan dalam salahlaku dan menetapkan bahawa Hakim Augustine
Paul adalah tidak adil kerana “bertindak lebih sebagai peguam, bagi
pihak Pendakwa.”
Keputusan
tersebut memperlihatkan dakwaaan kami sejak awal mengenai hakim
Augustine Paul yang berat sebelah dan mulutnya lancang dengan ugutan
terhadap peguam yang menjalankan tugas mereka. Di antara keputusan
janggal beliau termasuk memansuhkan keterangan tohmahan dan fitnah
Pendakwa mengenai salah laku seks tanpa memberikan kesempatan kepada
saya membela diri dan menjelaskannya. Padahal sebelum itu Peguam
Negara ketika itu Tan Sri Mokhtar Abdullah dengan angkuh sekali
menegaskan wujudnya bukti sahih dan kukuh dengan ujian DNA dan katil
yang diusung saban hari ke Mahkamah. Manakala mendapati ujian DNA
tercemar dan tiada bukti kukuh wujud, Hakim telah memilih untuk
menyelamatkan Pendakwa dengan mengarahkan semua rekod tersebut dipadam.
Walhasil tujuan mereka mengaibkan saya melalui media tercapai sudah.
Saya mampu
merumuskan ringkas kaedah pengendalian proses perbicaran yang tempang,
menafikan hak saksi dan menerima bulat saksi pembela termasuk Dato’
Said Awang yang menyebut di antara lain kesediaannya berbohong sekiranya
diarah oleh orang atasan, khususnya Perdana Menteri. Hakim sendiri
pun terkena arahan sehingga menjatuhkan hukuman berat dan kejam.
Itulah julung-julung kalinya waktu tahanan reman dipenjara selama
tujuh bulan tidak dikira sebagai tempoh saya dipenjara.
Dan berbeza
dari kepantasan Hakim Augustine Paul mengugut dan menghukum Peguam
Zainur Zakaria beliau juga mengugut hampir kesemua barisan Peguam
Kanan saya termasuk YM Raja Aziz Addruse, Aris Chris Fernando, Karpal
Singh dan Gurbachan Singh. Tetapi manakala kenyataan angkuh beliau
menjadi keterlaluan dan mencela Aris Chris Fernando, beliau didakwa
menghina mahkamah. Walau bagaimanapun, perbicaraan kes beliau sudah
lama tertangguh.
Permohonan
Ulangkaji oleh Mahkamah Rayuan
Kami sekali
lagi dikejutkan dengan penghakiman Mahkamah Rayuan. Tidak terduga
oleh kami bahawa Hakim-Hakim berkenaan sanggup menipu dan memutarbelitkan
kenyataan. Dokumen berupa surat notis alibi dikemukakan oleh Peguam
kepada pihak Pendakwa dan Hakim. Malah, dalam sidang Mahkamah Rayuan
secara terbuka perkara tersebut dibangkitkan, disahkan oleh Pendakwaraya
dan salinan diberikan kepada Pendaftar Mahkamah. Maka adalah mengaibkan
manakala Hakim-Hakim sanggup menafikan kewujudan dokumen yang terdapat
dalam rekod awam. Mereka tergamak memperakui kenyataan Hakim Ariffin
Jaka dan merumuskan bahawa saya tidak pernah mengemukakan notis
alibi menurut Sekyen 402A Kanun Prosedur Jenayah berkaitan dengan
pertuduhan ke atas beliau.
Adalah
mustahil bagi Hakim-Hakim berkenaan terkeliru atau tersalah tafsir.
Adalah dikhuatiri, tindakan tersebut terpaksa mereka laku untuk
mengesahkan hukuman, kerana pengakuan akan wujudnya notis alibi
akan menyebabkan keputusan berubah untuk membebaskan saya. Dan mungkin
saja mereka tidak memperoleh mandat untuk berbuat demikian.
Ini merupakan
kesilapan besar yang mencemar proses perbicaraan dan menafikan hak
saya sepertimana yang terjamin dalam peruntukan Perlembagaan Negara
(Artikel 51) yang menjamin kebebasan tertakluk kepada undang-undang.
Bertitik
tolak dari kesilapan besar dan asasi tersebut, Hakim-Hakim telah
berulang kali meluncurkan alasan dan tafsiran dalam penghakiman
yang cacat dan tercela dan menjejaskan pembelaan saya. Justeru itu
, saya akan mengemukakan tuntutan agar Mahkamah Rayuan mendengar
semula rayuan bagi memperbetulkan kesilapan dan penipuan yang dilakukan.
Manakala Hakim peringkat tertinggi berlaku curang mendesak sekali
lagi Tan Sri mengambil tindakan meluruskannya semula mengikut proses
undang-undang dan pertimbangan keadilan.
Keyakinan
rakyat terhadap badan kehakiman yang terjejas perlu dipulihkan.
Lantaran itu, saya memohon agar Mahkamah Persekutuan hanya menetapkan
tarikh pendengaran rayuan setelah Mahkamah Rayuan mendengar semula
rayuan.
(Bersambung
di keluaran akan datang)
|