Seruan Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 1:45 PM

Bala Sebelum Ajal

Oleh: Faisal Mustaffa

Tiada siapa yang tahu akan ajal maut masing-masing. Semuanya ditentukan oleh Tuhan yang Maha Berkuasa.  Bagaimana keadaan ajal kita juga ditentukanNya. Ada diantara kita yang sengaja dipanjangkan nyawa supaya kita sempat bertaubat. Tidak terkecuali bala yang menimpa kepada setiap umat semasa hidup.

Dalam filem Final Destination (Destinasi Terakhir) pertama, 40 pelajar bersama 4 guru berlepas ke Paris untuk lawatan sambil belajar mereka. Jet yang membawa penumpang pesawat tersebut meletup lalu mengorbankan keseluruhan penumpang yang ada di dalamnya. Apa yang menariknya ialah kemalangan tersebut berlaku sebelum ianya sebenar berlaku. Maksudnya, salah seorang daripada pelajar yang sepatutnya menaiki pesawat tersebut telah tahu bala yang akan menimpa.

Akibat kekecohan dalam pesawat sebelum berlepas, lima daripada pelajar telah diheret keluar dari pesawat dan dilabuhkan sahaja di lapangan. Pesawat tersebut meletup selepas berlepas di hadapan mata kelima-lima pelajar tadi.

Getaran jiwa filem ini menimbulkan beberapa persoalan provokatif: Bagaimana sekiranya malapetaka jet benar-benar berlaku dalam keadaan yang mistikal, merupakan ajal kepada semua penumpang bersama anak kapal yang berada dalam pesawat berkenaan? Dan, sekiranya ya, adakah mereka akan mati dalam turutan tertentu, berlandaskan kepada qada dan qadar? Adakah rancangan sedemikian mampu dijauhi atau diubah?

Dalam filem lanjutan ini, penulisnya, Jeffrey Reddick bersama pengarah David R. Ellis menggambarkan ajal akan datang dalam apa keadaan sekali pun, apa sahaja yang dilakukan. Setiap langkah yang diambil mungkin menjadi langkah terakhir dalam hidupnya.

Pelajar terakhir, Alex Browning yang terselamat atau ajalnya yang belum kesampaian lagi selepas setahun kejadian pesawat itu yang digelar Flight 180 merengkuk dalam hospital pesakit mental akibat takut akan ajalnya yang bakal sampai seperti rakan-rakannya yang lain yang telah pun sampai ke destinasi masing-masing (maut).

Keadaannya itu dikenalpasti oleh seorang lagi pelajar kolej, Kimberly Corman (AJ Cook) yang menuju ke Florida bercuti dan mengalami ‘mimpi’ bala yang akan datang di hadapannya. Selepas prarasanya, sebuah kargo beroda 18 yang membawa balak  telah terlepas dari muatannya dan berlakulah kemalangan dahsyat di lebuhraya.

Ada di antara kita yang begitu takut dengan ajal. Oleh kerana seseorang itu tahu bahawa penyakit jantung dapat membawa ajal, dan setelah dipastikan bahawa dia mengidap penyakit tersebut, namun dengan kuasa dan wang ringgit yang ada padanya, dibinanya Hospital Jantung terunggul sehingga mempunyai peralatan tercanggih.

Tahukah dia bahawa sekiranya Tuhan telah menetapkan tarikh kematiannya, ajalnya akan tetap sampai? Mungkinkah negara kita akan mempunyai sebuah hospital khusus bagi pesakit SARS sekiranya seseorang yang berkuasa itu mengidap penyakit tersebut?

Kemalangan tersebut telah berada dalam mimpi Kimberly beberapa saat sebelum peristiwa tersebut berlaku dan menghalang sederet kereta yang dalam mimpinya semuanya menemui ajal.

Berlakulah kematian seorang demi seorang terhadap mereka yang sepatutnya mati dalam kejadian kemalangan di lebuhraya.

Final Destination membawa ide-ide unik kepada apa yang berlaku secara rohaniah. Insiden-insiden kematiannya lebih menakutkan dan kreatif dalam filem. Ini yang membawa sesiapa yang menontonnya terkagum dan berasa insaf seketika akibat ajal yang akan menimpa dan sentiasa mengingatkan Tuhan (aza wajalla). Mereka mati dalam keadaan galah tertikam menembusi tubuh, dihimpap, dicincang, dibakar sehingga hangus dan leher terpenggal.

Filem ini juga mencetuskan ingatan kita kepada peristiwa Anwar Ibrahim yang difitnah sebagai peliwat. Apakah yang telah berlaku kepada saksi-saki perbicaraan Anwar?

Pada Ogos 1998, Tun Ghafar Baba telah muncul secara aktif di kaca TV menceritakan soal moral Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Anwar dipecat. Setelah Anwar dipecat, Ghafar menjelajah ke seluruh negara. Beliau bersama Umi Hafilda membuat ‘road show’ menceritakan keburukan Anwar.

Tidak cukup dengan itu, pada awal 1999, Ghafar berlepas ke Indonesia bagi meyakini rakyat di sana dengan mengatakan Anwar seorang homoseksual. Beliau kemudian dihalau ballik. Apa yang berlaku sekarang? Ghafar kini menerima aib. Isterinya, Heryati didapati bersalah kerana berkhalwat dengan tiga lelaki Bosnia. Anak beliau, Tamrin, kemudian memukul ibu tirinya itu.

Selepas Ghafar melafazkan talak satu, Heryati didapati berkhalwat dengan seorang lelaki di rumahnya di Bukit Pantai. Mungkin ajalnya belum sampai seperti yang berlaku dalam filem Final Destination, namun sudah tentu Tuhan memberi pedoman dan amaran kepada yang lainnya akan kekuasaanNya. Kuasa duniawi tidak akan menjamin kesejahteraan hidup. Mungkin ajalnya belum sampai tetapi bala yang menimpanya bergolek-golek.

Kita lihat pula kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang pada ketika dahulu, semasa perbicaraan Anwar mengubah tiga kali tarikh pertuduhan ketika menjalankan pendakwaan sehingga akhirnya Anwar dihukum penjara. Beliau kemudiannya koma beberapa bulan hinggalah menemui ajal tahun ini.

Final Destination juga berlaku kepada Dr Ristina Majid, rakan kongsi Umi Hafilda yang mati mengejut akibat barah otak. Bekas Ketua Polis Selangor, Johar Che Din sekarang juga mengalami lumpuh.

Tidak dilupai, Azizan, yang merupakan saksi utama kes Anwar. Dia dihukum kerana berkhalwat.  Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang memukul Anwar dalam lokap juga dihukum penjara dan bersara dalam keadaan hina. Mungkin belum lagi menuju ke arah Final Destination, tetapi bala yang menimpa kedua mereka ini amat memalukan.

Jangan lupa kepada Aziz Shamsuddin. Sungguhpun Final Destination bukan berlaku kepadanya, tetapi kaum keluarganya terbabit dalam kemalangan jalanraya. Aziz berada dalam kemalangan tersebut tetapi terlepas dari maut.

Terdapat sepatah skrip dalam filem ini yang mungkin membawa perhatian kita yang diucapkan oleh salah satu bakal mangsa ajal kepada penjaga bilik mayat, “Look, we drove a long way to get here, so if you know how to beat death, we’d like to know.” (Kami telah datang dari jauh ke sini, sekiranya kamu tahu bagaimana untuk mengelak maut, beritahu kami).