Seruan
Keadilan Online - Sunday, November 16, 2003 1:49 PM
Chin
Peng dan patriotisme yang kabur
Oleh:
Mohd Zukri Aksah
Ketua
Penerangan, Angkatan Muda keADILan Pahang
Tiba-tiba
nama Parti Komunis Malaya (PKM) menjadi sebutan semula, bukan kerana
mereka kembali melancarkan gerakan bersenjata, tetapi kerana terbitnya
memoir peribadi bekas Setiausaha Agungnya, Chin Peng yang kemudiannya
menimbulkan lagi polemik bila beliau menyuarakan hasrat hatinya
ingin pulang ke Malaysia.
Kepada
sebahagian besar daripada masyarakat kita, komunis telah diterima
pakai maksudnya sebagai jelek, jahat, zalim, ganas dan bangsat.
Momokan ini kelihatannya terus mendominasi pemikiran generasi baru
kita walaupun secara sedar kita tahu yang negara kita punya hubungan
diplomatik dengan kuasa-kuasa komunis dunia seperti China dan Cuba.
Komunis
hanyalah satu ideologi yang biasanya tumbuh di dalam dua cabang,
politik dan ekonomi, sama seperti sosialis, juga mungkin demokratis,
tetapi demokratis biasanya hanya wujud sebagai amalan politik. Demokratis
selalu muncul bersama sistem ekonomi kapitalis yang menindas sedangkan
'lasses faire' itu selalu tertinggal di belakang menjadi pujaan
ilmuwan ekonomi yang ralit menulis di bilik yang sempit.
Kebejatan
komunis sering digambarkan di dalam dua peristiwa, Pemberontakan
Bintang Tiga dan Zaman Darurat. Bagi seorang pemikir yang mahu melihat
sejarah dengan jujur dan bersandarkan kepada sebab-musabab tentulah
akan dapat merasionalkan tindakan Bintang Tiga selepas penyerahan
kalah Tentera Jepun.
Harus
diingat bahawa Jepun berperang dengan China sebelum datang menjajah
tanahair kita ini, lalu bila datang ke sini, masyarakat Tionghua
yang ada di sini terus-terusan menjadi mangsa kelangsungan dendam
mereka. Ketika itu, kelompok yang dominan-Cina yang paling berani
menentang pendudukan Tentera Jepun adalah
mereka ini, Gerilla Bintang Tiga. Jadi tidak hairanlah bilamana
Tentera Jepun menyerah kalah, Gerilla Bintang Tiga ini keluar dari
hutan dan merayakan kemenangan. Walaupun timbul kekecohan, bagi
saya ini adalah reaksi normal manusia dalam perang yang tiba-tiba
merasakan mereka telah menang.
Sebahagian
tempoh darurat berlangsung pada waktu Malaya telah merdeka. Soalnya
mengapa PKM meneruskan gerakan bersenjata ala gerilla mereka walaupun
mereka sedar penjajah sudah tiada? Mengapa PKM masih menentang Malaya
yang merdeka mungkin sama dengan mengapa Indonesia di bawah pemerintahan
Soekarno melancarkan operasi 'Ganyang Malaysia' selepas pembentukan
Malaysia pada tahun 1963 - sebabnya sudah tentulah apa yang didakwa
sebagai 'neo-kolonialisme', penjajahan bentuk baru.
Kita
dikata merdeka, tetapi kita dimestikan menerima perlembagaan yang
dirangka penjajah. Kita dikata merdeka, tetapi kerana perlembagaan
ini, kita secara sedar mewarisi sistem penjajah, undang-undang penjajah,
bahkan lebih teruk lagi sebahagian besar daripada kita masih mewarisi
'ketuanan' penjajah, walaupun 'tuan' ini tidak pernah pun memberi
kita waima lima sen untuk sesuap nasi. Sekilas pandang, ia hampir
sama dengan apa yang dibuat oleh Amerika terhadap Iraq sekarang.
Mereka
memang akan memberi semula 'kemerdekaan' kepada rakyat Iraq tetapi
mereka terlebih dahulu akan menentukan dan menyusun segalanya termasuk
perlembagaan mengikut kerangka selera mereka. Kepimpinan Almarhum
Tunku Abdul Rahman (semoga Tuhan merahmati roh beliau) ketika itu
dilihat oleh PKM mungkin hampir sama dengan kepimpinan Ahmad Challabi
di Iraq, juga Hamid Karzai di Afghanistan. Kita boleh menerima logik
mengapa kedua-dua pemimpin ini ditentang oleh rakyat mereka sendiri.
Ketika
operasi 'Ganyang Malaysia' oleh Indonesia, telah berlaku pertembungan
ketumbukan ketenteraan dua negara berjiran, apa yang lebih kita
ingat sebagai era konfrontasi; berlaku perang, maka telah ada yang
terkorban. Apakah kerajaan tidak mengambil kira perasaan anggota
tentera, bekas anggota tentera, balu-balu dan keluarga mereka apabila
selepas era itu, kembali berbaik dengan Indonesia?
Bukan
setakat rakan diplomatik tetapi menjadi antara negara sahabat yang
akrab di rantau ini. Jadi tidak bolehkah pertimbangan ini (kalaupun
bukan atas sifat kemanusiaan) kita gunakan untuk hanya membenarkan
Chin Peng pulang melawat pusara ibubapa dan keluarga, serta saudara-mara
yang masih hidup? Itu sahaja permintaannya.
Saya
bukanlah seorang komunis, bukan juga sosialis, juga mungkin bukan
seorang demokratis, pendek kata bukan seorang ideologis. Dari pengamatan
yang panjang, saya melihat ada usaha jahat sedang dilakukan, kata-kata
'patriot', 'patriotik' dan 'patriotisme' sedang cuba 'dimilik-Umnokan'
bahkan Umno berani untuk mengatakan rakan komponen BNnya sendiri
sebagai tidak patriotik, apalagi pembangkang.
Bagi
orang Umno khususnya, membangkang Umno bukan sahaja dianggap tidak
patriotik, lebih dari itu adalah pembelot dan pengkhianat negara.
Tulisan ini mungkin akan membuat Umno melabel saya sebagai pro-komunis,
lebih teruk saya mungkin terus dicop sebagai komunis. Saya tidaklah
mengambil berat sangat akan hal itu kerana saya percaya ada kebenaran
pada apa yang saya tulis.
Chin
Peng mungkin tersalah jurusan bila memilih lapangan dalam keghairahan
untuk melempiaskan kobar semangat patriotiknya. Tetapi janganlah
pula kita generasi hari ini juga tersalah jurusan dalam menafsir
sejarah dan menobat wira. Mereka yang pernah menentang penjajah
sama ada dari atas padang atau dari dalam hutan, tetap seorang patriot,
bukanlah Umno yang paling layak untuk bercakap tentang patriotisme
bangsa merdeka.
|