Seruan Keadilan Online - Saturday, December 20, 2003 4:31 PM

Pak Lah mempermain-mainkan Mahathir?

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Haji Husam Musa mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempermain-mainkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pembatalan Majlis Jasamu Dikenang yang dijadualkan pada 6 Disember 2003.

Majlis Jasamu Dikenang yang dianjurkan oleh Parlimen Malaysia itu, dibatalkan disaat-saat akhir dengan alasan Perdana Menteri mempunyai program di Melaka.

Husam yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, beliau difahamkan tarikh untuk mengadakan majlis untuk menghargai jasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun ini telah dipersetujui oleh Abdullah dan Mahathir sebulan lepas.

Katanya, beliau dimaklumkan tentang pembatalan majlis tersebut pada 4 Disember lalu oleh sekretariat Parlimen.

Mengikut jadual, selain Abdullah dan Mahathir, Yang Di-Pertua Dewan Negara, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang serta semua ahli-ahli Parlimen akan menghadiri majlis berkenaan.

Dalam aturcara majlis yang diedarkan kata Husam, Dr Mahathir dijemput menyampaikan ucapan dan menerima cenderamata dari Parlimen Malaysia.

“Pembatalan disaat-saat akhir ini amat dikesali, ini menunjukkan Pak Lah tidak menghormati Mahathir dan ahli-ahli Parlimen,” tegas beliau.

Menurut Husam, jika PM memberikan alasan bahawa beliau mempunyai program di Melaka pada tarikh tersebut, ini menunjukkan Abdullah tidak cekap menguruskan jadualnya.

Tegas Husam, Abdullah juga tidak menghormati Parlimen yang telah banyak membuat persiapan untuk meraikan serta menghargai jasa-jasa Mahathir yang memilih beliau sebagai pengganti beliau.

“Saya bimbang ada masalah lain di sebalik pembatalan itu,” ujarnya.