Seruan Keadilan Online - Saturday, December 20, 2003 4:23 PM

Mustapa undang kemelut baru Umno

Kemelut dalaman Umno Kelantan kini tidak mampu lagi disembunyikan, apabila Majlis Tertinggi Umno secara drastik menggugurkan empat ketua bahagian yang dianggap boleh mengancam kedudukan Datuk Mustapa Mohamed.

Perubahan itu diumumkan Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Badawi yang dianggap mengundang ‘gelombang’ baru kepada Umno Kelantan.

Mereka yang digugurkan iaitu Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian, Tuan Hashim Tuan Yaakob, Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Ahmad Shahibuddin Mohd Noor dan Ketua Umno Bahagian Kuala Krai Datuk Wan Zaid Wan Abdullah.

Beberapa tahun lalu, sebahagian besar ketua bahagian Umno mengadakan perjumpaan di rumah Wan Zaid di Kota Bharu bagi memprotes kepemimpinan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, peluang untuk menamakan penaja baru di peringkat bahagian ekoran persempadanan semula kawasan pilihanraya, mungkin diambil kesempatan Mustapa untuk menggugur nama-nama yang pernah menjadi musuhnya.

“Biar pun dia tahu terpaksa berdepan dengan suasana sukar, Ketua Umno Jeli itu terpaka bertindak bagi menyelamatkan kedudukan pada masa akan datang,” katanya.

Malah kata beliau, muka baru yang dilantik menggantikan pemimpin yang digugur adalah kroni yang selesa baginya iaitu Datuk Dr Awang Adek Hussin di Bachok, Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Romzi Abdul Rahman (Kuala Krai), Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman (Pasir Mas) dan bekas pemimpin Semangat 46 Datuk Ahmad Rosli Ibrahim di Kubang Kerian.

Zaki berkata, perubahan yang berlaku terhadap Umno sekarang memberi kelebihan kepada PAS dan Barisan Alternatif bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kami menjangka perubahan demi perubahan akan terus berlaku dalam Umno Kelantan memandangan semua pemimpin mahu berada di atas,” katanya.

Menurutnya juga, Ramzi yang dibawa dari Tumpat ke Kuala Krai memandangkan pemimpin itu sendiri ditolak ahli Umno di kampung asalnya.

Ketua Pergerakan Pemuda keADILan Kelantan, Zamakhsari Ibrahim berkata, pemecatan empat veteran Umno merupakan sejarah hitam berulang kembali dalam parti itu.

Katanya, Ibrahim Ali yang terkenal dengan sikap ‘mudah melatah’ tentunya tidak akan duduk diam sehingga jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri akan beralih kepada orang lain.

Anggota Parlimen Tanah Merah, Haji Saupi Daud berkata, tokoh baru yang dilantik menerajui empat bahagian Umno merupakan pemimpin tidak berpengaruh.

“Kami yakin pemimpin lama Umno akan menentang mereka dalam pemilihan parti itu nanti dan suasana ini akan memudahkan BA terus kekal di negeri ini,” ujarnya.