Seruan
Keadilan Online - Saturday, December 20, 2003 4:30 PM
Dapatkan
penjelasan dari kami – Pemuda PAS
Sesiapa
yang mempunyai kemusykilan tentang Dokumen Negara Islam yang di
keluarkan oleh PAS baru-baru ini dijemput untuk mendapat keterangan
terus daripada Dewan Pemuda PAS.
Ketuanya
Salahuddin Ayub berkata apa jua komen tanpa pengetahuan yang sebenar
tentang ciri-ciri Negara Islam adalah tidak wajar.
“Kami ingin
mengingatkan semua orang Islam agar berhenti daripada memberi komen
panjang lebar sehingga menjejaskan aqidah mereka kerana dokumen
itu berdasarkan al-Quran dan Sunnah,” katanya dalam satu kenyataan
media.
“Sebaliknya,
orang Islam perlu mengkaji dengan lebih mendalam konsep Negara Islam
sebelum memberi komen tentangnya,” tambahnya.
Salahuddin
berkata Pemuda PAS bersedia mengadapi sesiapa, termasuk pimpinan
tertinggi Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk membincangkan dokumen
tersebut.
“Kami
bersedia untuk berbincang, mengadakan dialog dan membahaskan dokumen
Negara Islam dengan mana-mana pihak dengan tujuan menjelaskan perkara
tersebut,” katanya.
Pemuda
PAS juga mencabar Umno/BN, yang merujuk dokumen tersebut sebagai
Negara Islam PAS, untuk mengeluarkan dokumen yang seumpama menjelaskan
Negara Islam Umno.
Dia
bertanya kepada Umno, sama ada, berjudi, riba, arak, kegiatan tidak
bermoral dan peraduan ratu cantik membuatkan Malaysia sebuah Negara
Islam.
“Adakah
Umno fikir dengan mempelekehkan sunnah Nabi, mencaci ulama, memecat
mufti, menghalang perjumpaan dalam masjid, menutup sekolah-sekolah
agama, memfitnah dengan tuduhan liwat tanpa membawa empat orang
saksi, tidak melaksanakan hudud dan kekejaman ke atas rakyat, membuatkan
Malaysia sebuah Negara Islam?,” tegas beliau.
Salahuddin
berkata Pemuda PAS merasakan polemik yang dibangkitkan oleh pelbagai
pihak tentang dokumen tersebut, terutama pemimpin BN, datang daripada
orang yang ‘bimbang tentang masa depan politiknya’.
Ujarnya
Pemuda PAS dapat menerima pandangan berbeza tentang konsep Negara
Islam tetapi bukan hujah mengatakan ia tidak relevan untuk dilaksanakan
di Malaysia hari ini.
“Kami
menolak pandangan yang mengatakan Malaysia hari ini ialah sebuah
Negara Islam, kecuali ia hanya tiruan sahaja. Oleh itu, kenyataan
yang mengatakan sebahagian besar daripada dokumen telah pun dilaksanakan
oleh BN adalah tidak tepat dan tidak masuk akal,” katanya.
Beliau
menjelaskan bahawa dokumen yang di keluarkan itu adalah garis panduan
kasar untuk satu model Negara Islam yang akan dilaksanakan oleh
PAS, jika ia berkuasa. Tambahnya, dokumen yang lebih terperinci
akan menyusul kemudian.
“Dokumen
itu bukan untuk memancing undi tetapi lebih kepada mengukuhkan lagi
matlamat parti yang dibuat semenjak tahun 1951,” katanya.
Dokumen
Negara Islam tersebut adalah hasil daripada penyelidikan yang meluas
oleh kepimpinan parti dan perbincangan bersama ahli-ahli, rakan-rakan
dalam Barisan Alternatif dan kumpulan bukan Islam.
Kepimpinan
PAS telah menyatakan kekhuatiran akan penerimaan orang bukan Islam
akan cadangan tersebut, iaitu untuk mewujdkan Negara Islam berdasarkan
dokumen yang di keluarkan.
Idea
tesebut telah dimulakan dua tahun lalu oleh presiden parti, Almarhum
Fadzil Noor, yang telah menyambut cabaran bekas PM Dr. Mahathir
agar PAS mengadakan versi Negara Islam yang dimaksudkan.
Semenjak
di keluarkan, cadangan PAS itu telah mendapat kritikan daripada
parti-parti komponen BN, terutama pimpinan MCA, yang menyatakan
bantahan keras kepada idea tersebut.
|