Seruan Keadilan Online - Saturday, December 20, 2003 4:27 PM

BN sekat peruntukan pembangunan untuk Kelantan

Kerajaan Kelantan sehingga kini belum lagi menerima peruntukan pembangunan bagi tahun ini yang berjumlah RM86 juta, walaupun negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sudah lama mendapatnya.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, sehingga sekarang Kelantan masih belum menerima sebarang bayaran bagi tujuan itu.

Katanya, peruntukan tersebut adalah untuk melaksanakan program pembangunan sedangkan negeri yang diperintah BN sudah lama menikmatinya.

“Kerajaan BN sengaja memperlambatkan pembayaran tersebut untuk melihat Kelantan terus ketinggalan dari aspek pembangunan fizikal.

“Namun, biar pun disekat Kelantan masih tetap membangun. Inilah dikatakan berkat berada di bawah kepemimpinan ulama,” katanya menjawab pertanyaan seorang pelajar pada Ijtima' Aidilfitri anjuran Markaz Siswazah Kelantan (MSK) di Balai Islam pada 28 November lalu.

Menurut Abdul Halim, Umno hanya tahu bercakap tentang pembangunan, sedangkan dalam masa yang sama banyak kepentingan orang Melayu dikorbankan termasuk tanah rezab Melayu.

Bagaimanapun katanya, perkara seperti itu tidak berlaku di Kelantan kerana program pembangunan yang dijalankan dirancang dengan teliti.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Wanita, Belia, Sukan dan Hal Ehwal Pengguna, Haji Abdullah Ya’kub berkata, pembangunan negeri ini masih rancak biar pun sering disisihkan kerajaan BN.

Katanya, keadaan itu terbukti apabila terdapat laporan, Maybank di Kota Bharu begitu aktif dalam urusniaga, apabila lebih RM1 juta didepositkan ke institusi kewangan itu setiap hari.

“Ini membuktikan rakyat negeri ini tidak miskin dan menolak tomahan dilemparkan sesetengah pihak sebelum ini,” ujarnya.