Seruan
Keadilan Online - Saturday, December 20, 2003 4:26 PM
120
pemegang saham Maika tuntut MIC kembalikan wang
Pemegang-pemegang
saham Maika Holdings yang hadir di perhimpunan yang dianjurkan oleh
Jawatankuasa Pemegang Syer Maika Holdings DAP baru-baru ini menuntut
diselesaikan masalah akibat pelaburan mereka yang tidak menguntungkan
itu.
Seramai
120 pemegang-pemegang saham tersebut yang melabur di dalam syarikat
kepunyaan MIC itu bimbang pelaburan mereka telah lesap selepas 20
tahun Maika tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan.
Beberapa
orang pemegang saham yang menyuarakan pendapat di perhimpunan tersebut
merayu dengan perasaan marah dan sedih supaya masalah mereka dapat
diselesaikan.
Seorang
pemegang saham, Balakrishnan berkata keluarganya melabur sebanyak
RM48,000 ke dalam Maika Holdings pada tahun 1984 tetapi sehingga
hari ini tidak mendapat sebarang keuntungan.
Menurut
Balakrishnan, yang pernah bertugas sebagai seorang polis, beliau
telah diganggu apabila mengemukakan masalah ini dalam satu perhimpunan
MIC.
“Kami
meletakkan kesemua [wang] yang kami ada ke dalam saham-saham ini.
Kami tidak akan lupa perkara ini. Sekarang, kami mahu buat sesuatu
mengenainya,” katanya sambil disambut baik oleh para hadirin.
Seorang
lagi pemegang saham, R. Krishnan,72, menangis semasa merayu kepada
beberapa pemimpin DAP agar membantunya mendapatkan kembali RM5,000
duit pelaburannya dalam Maika.
“Saya
datang ke Malaysia 40 tahun dahulu dari Kerala. Sekarang saya mahu
pulang ke India untuk bertemu dengan keluarga saya tetapi saya tidak
ada wang. Bagaimana saya mahu dapat duit saya balik?” katanya.
Turut
hadir dalam perhimpunan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor itu ialah
seorang wakil dari Persatuan Koperasi Jaffna - iaitu pemegang saham
perseorangan yang terbesar dalam Maika dengan jumlah saham sebanyak
RM250,000.
Pemegang-pemegang
saham terbabit turut berdaftar dengan Jawatankuasa Selamatkan Maika
DAP bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap Maika dan pemimpim-pemimpin
MIC yang terlibat dengan syarikat tersebut.
Maika
dibentuk dalam tahun 1982 dengan tujuan untuk melibatkan kaum India
dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Maika
berjaya mengutip sebanyak RM106 juta dalam tahun 1984 dari 66,000
pelabur tetapi ramai yang mendakwa bahawa syarikat tersebut telah
menyeleweng wang pelaburan mereka.
Dalam
tahun 1992, berita mengenai pengurusan tabung dan aset Maika menjadi
isu hangat kerana kegagalan syarikat bertanggungjawab terhadap saham
Telekom Malaysia berjumlah RM10 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan
untuk kepentingan masyarakat India.
Hanya
sejumlah RM1 juta saham sahaja yang diperolehi oleh Maika sementara
saham sebanyak RM9 juta yang lain disalurkan ke tiga syarikat swasta.
Penyiasatan
polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mendapati Presiden MIC
S. Samy Vellu tidak bersalah walaupun Setiausaha Agung MIC S. Sothinathan
dikatakan telah bertindak sebagai pengarah dalam dua buah syarikat
itu.
Baru-baru
ini, skandal Maika menjadi hangat kembali apabila mula pertengkaran
media antara Samy dan Presiden Indian Progressive Front M.G. Pandithan,
yang terus mendesak supaya Presiden MIC itu meletak jawatan selepas
memegang pucuk pimpinan parti selama 24 tahun.
Pandithan
mendakwa bahawa Samy gagal melindungi kepentingan masyarakat India.
Beliau juga berkata bahawa pemimpin MIC sebaliknya menjadikan masyarakat
India lebih teruk disebabkan pelaburan yang gagal seperti Maika.
Menurut
Setiausaha Jawatankuasa Selamatkan Maika A Sivanesan, pertelingkahan
antara Samy dan Pandithan telah memberi peluang kepada pemegang
saham Maika untuk menyelesaikan masalah yang menimpa mereka.
“Ini satu masa yang sesuai
untuk para pemegang saham menuntut keadilan. Kita juga ada Perdana
Menteri baru yang mahu menghapuskan rasuah, oleh itu, beliau harus
menyelesaikan isu ini.
“Dalam
tahun 1992, Pengerusi DAP Lim Kit Siang mengemukakan isu ini di
Parlimen. Akibatnya, beliau digantung selama lapan bulan. DAP telah
menyerahkan dokumennya kepada BPR untuk siasatan tetapi tiada berita
mengenai perkara ini.
“Kini,
unit jenayah perdagangan Polis DiRaja Malaysia telah merampas dokumen
tersebut dari Maika sekali lagi, jadi kita terpaksa menunggu dan
melihat jika ada apa-apa yang akan berlaku nanti,” katanya.
Sivanesan,
seorang peguam, berkata ‘Letter of Demand’ bagi pihak pemegang saham
yang berdaftar dengan DAP akan dihantar kepada Maika.
Lim,
yang juga berucap dalam perhimpunan tersebut, berkata beliau pernah
menulis surat kepada bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendesaknya
menyiasat beberapa dakwaan yang melibatkan Maika.
“Saya
memintanya menyiasat masalah samseng yang digunakan oleh pemimpin
MIC untuk menutup skandal ini.
“Tidak
dapat dinafikan bahawa Mahathir telah melindungi Samy selama ini.
“Kita
harus tanya jika Perdana Menteri sekarang iaitu Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi akan terus melindunginya,” katanya.
Sementara
itu, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia Prof P. Ramasamy berkata
masyarakat India mesti mengundi pemimpin baru yang boleh melindungi
hak dan kepentingan mereka.
“Pada
masa ini, kita tidak mempunyai pemimpin yang baik, berani dan dihormati.
“Tanpa
pemimpin baru, kita tidak boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi
oleh masyarakat India. Kita bukannya meminta hak istimewa tetapi
hak saksama.
“Jika
perkara ini tidak boleh diselesaikan, masyarakat India harus menganjurkan
satu protes yang hebat terhadap isu-isu yang penting seperti sekolah
Tamil, peluang pendidikan dan ekonomi untuk masyarakat India,” tegasnya.
|