Seruan Keadilan Online - Saturday, December 20, 2003 4:26 PM

15 pemimpin DAP tinggalkan parti untuk kekal jawatan kerajaan PAS

Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock berkata bahawa keputusan  15 orang pemimpin partinya di negeri Terengganu meletak jawatan kerana membangkang keputusan parti baru-baru ini adalah ‘tidak menghairankan'.

15 pemimpin tersebut - yang termasuk ketua bahagian Terenganu, timbalan dan setiausahanya - mengumumkan perletakan jawatan baru-baru ini berikutan arahan DAP Pusat kepada 17 orang ahlinya supaya melepaskan jawatan kerajaan PAS di Terengganu dan Kelantan.

Menurut DAP Pusat, jawatan tersebut dalam dua kerajaan negeri PAS tersebut menjadi tidak sesuai disebabkan objektif Negara Islam yang diutarakan oleh PAS.

Sambil menjelaskan bahawa perkembangan tersebut adalah sesuatu yang ‘dikesalkan’ Kerk berkata beliau telah pun menjangka bahawa peletakan jawatan secara beramai-ramai akan berlaku.

“Keputusan ini tidak menghairankan. Wakil dari [DAP] Pusat (Fong Kui Lin dan Tan Kok Wai) telah berbincang dengan mereka terlebih dahulu dan mereka telah memberitahu hasrat untuk memegang kedudukan dalam kerajaan negeri PAS,” katanya.

Tambah Kerk, yang juga ahli Parlimen Kota Melaka bahawa beliau tidak menduga bahawa dua orang lagi - seorang dari Kelantan dan seorang lagi Terengganu, akan melepaskan jawatan.

Beliau berkata 17 ahli DAP tersebut diberikan tiga pilihan - iaitu akur pada keputusan parti, letak jawatan atau menghadapi tindakan disiplin.

“Adalah mustahil untuk memegang jawatan atas kapasiti peribadi. Saya percaya mereka terperangkap dalam dilema sendiri dan terpaksa meletakkan jawatan.

“Mereka percaya bahawa mereka masih boleh memainkan peranan dalam kerajaan negeri tetapi setakat mana? Sekiranya BN memberikan kami (jawatan yang sama), adakah kami akan menerimanya?” ujar Kerk.

Berikutan peletakan jawatan tersebut, Kerk berkata kini terdapat 15 jawatan kosong dalam parti tetapi satu rombakan akan berlaku tidak lama lagi.

Menurut laporan Bernama, 15 ahli tersebut terdiri daripada lima yang memegang jawatan pegawai majlis dan daerah sementara 12 lagi terdiri dari ahli Jawatankuasa Perundingan Rakyat.

Setiausaha DAP Terengganu Ng Chai Hing berkata bahawa mereka dilantik untuk memelihara kepentingan orang bukan Islam dalam negeri dan mereka harus terus berkhidmat.

Ng, yang juga Pembantu Khas kepada Menteri Besar Abdul Hadi Awang, berkata walaupun berlaku peletakan jawatan dari DAP, mereka tidak akan melibatkan diri dalam parti pada ketika ini.

Tambahnya, mereka yang meletak jawatan memutuskan untuk terus berkerjasama dengan kerajaan negeri PAS kerana PAS mengamalkan polisi-polisi yang adil dan telus, dan mereka mengambilberat terhadap masalah yang dihadapi oleh orang bukan Islam.

Hadi pula berkata bahawa peletakan jawatan secara beramai-ramai dari DAP merupakan satu perkembangan positif kerana ia menunjukkan bahawa kaum Cina dalam negeri tersebut telah menerima cara PAS mentadbir negeri itu.