Seruan
Keadilan Online - Saturday, December 20, 2003 4:44 PM
BICARA
PRESIDEN
Pemimpin
baru, politik lama
Episod
pemecatan Abdullah Ahmad dari New Straits Times (NST) merupakan
di antara berita panas yang muncul beberapa hari sebelum Hari Raya
yang baru berlalu. Ada yang mengatakan pemecatan ini berlaku kerana
sebuah artikel yang ditulisnya mengenai kuota jemaah haji yang dikatakan
boleh menjejaskan hubungan Malaysia-Arab Saudi. Namun, ramai yang
beranggapan ia sebenarnya berkait dengan sebuah artikel yang ditulis
Abdullah Ahmad yang pada dasarnya cuba berhujah bahawa Najib patut
dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Apa
yang menarik dari peristiwa ini ialah ia menonjolkan bahawa disebalik
imej politik baru yang cuba dipaparkan Perdana Menteri Malaysia
kelima, hakikatnya nampaknya masih tidak berubah. Peristiwa ini
menunjukkan bagaimana media massa di Malaysia sememangnya berada
di bawah telunjuk pemerintah. Sebarang percubaan untuk mewujudkan
dialog mengenai isu yang tidak disenangi pemerintah akan dikenakan
tindakan yang keras.
Sesiapa
yang membaca penulisan Abdullah Ahmad dapat melihat bahawa isu yang
diketengahkannya adalah suatu isu yang relevan dalam konteks politik
semasa Malaysia. Ia bukanlah sesuatu yang menggugat keselamatan
negara. Kesilapan Abdullah Ahmad ialah dia tersilap tilik dan menyebelahi
pihak yang tidak disenangi.
Peristiwa
ini juga menunjukkan bahawa Abdullah Badawi bersedia menggunakan
kuasanya, termasuklah secara autokratik, terhadap mereka yang dilihat
mencabar kewibawaannya. Lazimnya apabila seseorang bergantung kepada
kekuasaan sebegini, ia menandakan bahawa dia merasakan kedudukannya
masih belum selamat dan mudah digugat.
Ibn
Khaldun ada menyebut di dalam bukunya Muqaddimah bahawa seorang
pemimpin yang lemah akan berusaha mengukuhkan kedudukannya. Ini
dilakukan dengan menggunakan kekuasaannya. Ini termasuklah dengan
menghapuskan mereka yang dilihat sebagai mengancam kedudukannya.
Mereka yang terus setia kepadanya adalah mereka yang berharap untuk
menagih habuan atau mereka yang tidak ada keberanian. Ini mewujudkan
satu paradoks di mana pemimpin menjadi semakin kuat tetapi sistem
kerajaan menjadi semakin lemah.
Perhatikan
saja apa yang berlaku di negara ini sejak 20 tahun lalu. Pemusatan
kuasa yang berlaku telah menghasilkan seorang Perdana Menteri yang
tidak bertanggungjawab kepada sesiapa. Pada ketika yang sama, berbagai
penyakit mula menular ke dalam sistem pemerintahan. Budaya politik
ugut semakin menjadi-jadi, rasuah dan penyelewengan semakin berleluasa,
pemimpin-pemimpin baru yang mula muncul adalah dari kalangan pengampu
dan golongan dayus, aparatus yang sepatutnya melindungi rakyat ditakuti
rakyat dan golongan intelek dan ulama yang berani bersuara dikecam
dan disisihkan. Akhirnya sistem menjadi bertambah lemah, walaupun
Perdana Menteri semakin kuat. Rakyat ‘menyokong’ kerajaan bukan
kerana keyakinan tetapi kerana ditakut-takutkan.
Oleh
itu, kita tertanya sama ada pemecatan Abdullah Ahmad ini membuktikan
bahawa budaya politik Perdana Menteri baru sebenarnya hanyalah penerusan
dari budaya politik mantan Perdana Menteri? Walau pun wayang kulit
dan ‘impression management’ yang dilakukan melalui media, peristiwa
pemecatan Abdullah Ahmad memberi gambaran bahawa keadaan sebenarnya
masih kekal seperti dahulu.
Satu
pentafsiran yang juga muncul dari peristiwa ini ialah Perdana Menteri
baru masih merasa kedudukannya belum selamat. Tindakan yang dikenakan
ke atas Abdullah Ahmad, seorang propagandis Umno, menunjukkan bahawa
Datuk Seri Abdullah Badawi menganggap ancaman utama kepada kedudukannya
adalah dari dalam Umno sendiri.
Abdullah
Ahmad adalah seorang veteran Umno yang pernah ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dikatakan seorang komunis.
Beliau faham akan risiko dan asam garam berpolitik. Malahan, ‘pemulihan’
Abdullah Ahmad selepas dibebaskan dari ISA adalah kerana sikapnya
yang dilihat sebagai Melayu ultra yang setia kepada kepimpinan Umno.
Walaupun dituduh sebagai komunis, beliau telah dilantik sebagai
wakil Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Oleh
itu, beliau tidak akan berani menulis sebuah artikel yang menyebelahi
Najib sekiranya dalam perkiraannya tidak wujud arus yang kuat di
dalam Umno yang menyokong pandangannya. Sekurang-kurangnya beliau
beranggapan akan ada pihak di dalam Umno yang akan menggunakan penulisannya
sebagai asas untuk memulakan perbahasan mengenai siapa yang harus
dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Nyata sekali tindakan
Abdullah Ahmad dipandang serius oleh Pak Lah.
Adakah
peristiwa ini merupakan pengesahan bahawa Abdullah Badawi hanyalah
hasil acuan Mahathir Mohammad? Adakah ini bukti bahawa Abdullah
Badawi adalah seorang pemimpin yang lemah yang tidak mempunyai agenda
dan pemikiran yang tersendiri seperti yang didakwa sesetengah pihak?
Dan beliau akan bertindak menindas demi memelihara kekuasaannya
seperti yang dilakukan Mahathir?
Kita
berharap tidak dan kita berharap peristiwa ini adalah satu episod
yang tidak menggambarkan corak pembawakan politik Abdullah Badawi
di masa depan. Terpulanglah kepada Abdullah Badawi untuk membuktikannya.
|