Seruan Keadilan Online - Saturday, December 20, 2003 4:44 PM

EDITORIAL

Amal budaya memberi ruang dan peluang

Terlebih dahulu diucapkan minal aidin wal faizin maaf zahir batin kepada seluruh umat Islam yang baru menyambut hari kemenangan Eidul Fitri.

Sepanjang Ramadan, pelbagai peristiwa berlaku baik yang gembira mahupun sedih. Rakyat ramai yang lega apabila perginya pemimpin lama yang banyak meninggalkan onar dan noda kepada negara.

Namun di sela-sela peristiwa tersebut satu lagi peristiwa penting yang berlaku ialah pelancaran konsep Negara Islam oleh Pas pada 17 Ramadan bertepatan dengan Hari Nuzul Quran.

Seperti biasa setelah dilancarkan, pelbagai komen dan reaksi diberikan. Barisan Nasional (BN) seperti mana biasa apa sahaja yang datang daripada pembangkang ia mesti ditolak mentah-mentah. Komen ‘standard’ yang diberikan ialah bermotif politik, tidak mencerminkan Islam yang sebenar dan tiada perkara baru dilontarkan.

Inilah budaya politik yang diamalkan oleh BN. Terima bulat-bulat kalau ia datang dari mulut pemimpin sendiri tetapi akan menentang habis-habisan walaupun sebaik mana idea dan cadangan sekiranya ia datang daripada lawan.

Keadaan ini memberikan imej buruk kepada politik sebenarnya. Tanggapan rakyat bahawa politik itu kotor dan buruk, disahkan dengan sikap sebegini. Sikap yang menolak mentah-mentah sebarang cadangan tanpa memberi ruang dan peluang sesuatu perkara itu dibahaskan dengan terbuka terlebih dahulu, memberikan pengesahan memang orang politik tidak mampu mengamalkan budaya berbincang.

Tindakan terburu-buru menolak dan menafikan sesuatu tanpa dibahaskan terlebih dahulu hanya menambah keyakinan betapa politik yang diamalkan di negara ini masih belum matang. Politik masih lagi diasaskan dengan sentimen dan emosi. Politik masih lagi meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kebaikan yang mungkin dinikmati oleh rakyat terbanyak.

Tanpa perlu mengambil isu konsep Negara Islam, mana-mana cadangan sebelum ini termasuk membanteras rasuah, menegakkan keadilan dan menghormati hak asasi manusia tidak pernah sedia dibawa ke meja rundingan. Sebaliknya ia diwarnai dengan kenyatan yang sarat dengan emosi dan sentimen.

Rakyat kini menuntut agar pemuka-pemuka politik mengubah budaya politik mereka. Rakyat amat mendambakan suasana politik sihat yang berteraskan kepada rundingan secara terbuka dan ikhlas.

Bagi rakyat apa yang penting ialah sebarang keputusan atau kenyataan berhubung sesuatu perkara, ia harus disandarkan kepada ilmu. Menolak sesuatu cadangan tanpa mengemukakan hujah yang punya timbangan ilmu hanya memberikan gambaran betapa ceteknya pemikiran dan pandangan seseorang itu.

Maka sebab itulah, penolakan serta mereta pemuka-pemuka politik kepada konsep Negara Islam yang dibentangkan oleh Pas menyerlahkan lagi kedangkalan budaya politik di kalangan ahli-ahli politik.

Sementara pandangan yang menyebut semua pihak harus menghormati perbezaan pendapat berhubung sesuatu dasar, ia juga turut menuntut agar perbezaan tersebut tidak dijadikan alasan untuk menutup pintu bagi sama-sama membahaskan isu berkenaan.

Tidak timbul persoalan ketidaksesuaian masa dan latarbelakang masyarakat untuk dasar itu diperkenalkan. Apa yang penting ialah kesediaan semua pihak memberi peluang dan ruang kepada dasar itu dibahaskan secara jujur dan ikhlas.

Sesuatu yang baru harus dimulakan pada satu garis permulaan dan pada satu masa yang tertentu. Tanpa memberikan ruang dasar baru dilancarkan di garis permulaan, bermakna kita mengambil sikap menyekat dasar itu untuk difahami oleh rakyat.

Memang isu konsep Negara Islam sesuatu yang amat besar untuk ditelan bulat-bulat tetapi menafikan hak konsep itu untuk diberi nafas perbincangan dan peluang untuk berlegar dalam fikiran rakyat bermakna itu  tidak menghormati hak serta kebebasan sesuatu pihak mengemukakan pendirian dan dasarnya secara terbuka.

Hiruk pikuk dan kegawatan perbincangan mengenai konsep tersebut sebenarnya tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak. Sebabnya kandungan konsep itu tidak dibincangkan sebaliknya yang hanya hangat diperkatakan ialah elemen politik yang tercetus hasil daripada konsep tersebut.

Pengajaran kepada semua ialah pesan orang tua iaitu yang manis jangan terus ditelan yang pahit jangan terus dibuang. Pesan ini menuntut agar kita mengkaji dan  berfikir dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.