Seruan Keadilan Online - Saturday, December 20, 2003 4:41 PM

PM didesak selesaikan isu Anwar

Pemuda Barisan Alternatif (BA) mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan perbicaraan semula bagi mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai  membuktikan komitmen Abdullah untuk menegakkan keadilan dan demokrasi.

Ketua Angkatan Pemuda keADILan Mohd Ezam Mohd Nor berkata itu merupakan antara 19 perkara yang harus dilakukan oleh Abdullah dalam tempoh 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri.

Memorandum yang mengandungi senarai tuntutan oleh sayap pemuda BA itu diserahkan kepada Abdullah pada 14 November lalu di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

“Anwar ialah mangsa konspirasi politik. Sekurang-kurangnya beliau patut dibebaskan atas dasar kemanusiaan untuk berhari raya bersama keluarga, kerana dia telah mohon untuk ikat jamin,” kata Ezam di lobi pejabat perdana menteri selepas menyerahkan memorandum tersebut.

Anwar dipecat pada tahun 1998 dan selepas itu didakwa di mahkamah atas kesalahan melakukan ‘liwat dan rasuah’. Beliau kini sedang menjalani hukuman 15 tahun penjara atas kedua-dua tuduhan tersebut.

Anwar mendakwa bahawa tuduhan tersebut telah direka cipta oleh bekas perdana menteri Dr. Mahathir dan kuncu-kuncunya.

Sementara itu, Mohd. Ezam berkata Abdullah sepatutnya membebaskan semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Saya adalah bekas tahanan ISA, saya tahu bagaimana rasanya bila ditahan. Kerajaan mempunyai masa yang cukup untuk melakukan penyiasatan, jadi mereka yang ditahan mesti dibebaskan sebelum Hari Raya.

“[Abdullah] ialah Menteri Dalam Negeri, oleh itu beliau mempunyai kuasa untuk membuat arahan,” kata Ezam yang sebelum ini ditahan selama dua tahun di bawah ISA kerana didakwa merancang menumbangkan kerajaan melalui kekerasan.

Tambah Ezam, jika Abdullah mendengar suara rakyat, ia akan menjadi satu permulaan yang positif bagi pentadbirannya, malah Mahathir sendiri telah membebaskan sekumpulan tahanan politik semasa beliau baru menjawat jawatan PM pada tahun 1981.

Turut bersama Ezam sewaktu menyerahkan memorandum tersebut kepada setiausaha akbar perdana menteri, Azhar Osman ialah Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

Salahuddin berkata memorandum tersebut adalah susulan daripada seruan kepada Abdullah untuk menunaikan janjinya memerangi rasuah dan melahirkan bangsa yang lebih baik.

“Kami minta dia bertindak ke atas perkara yang disenaraikan, yang telah kami serahkan pada [polis] 31 Oktober lalu,” katanya.

Antara lain memorandum tersebut meminta agar Badan Pencegah Rasuah (BPR) memulakan penyiasatan kes rasuah yang melibatkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rafidah Aziz, bekas ketua menteri Melaka Rahim Thamby Chik dan bekas pengerusi Unit Perancang Ekonomi Ali Abul Hassan Sulaiman.

Ia juga menggesa Perdana Menteri untuk menyiasat dakwaan penyelewengan tabung-tabung institusi awam termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Simpanan Guru-guru, Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji.

Selain itu, Pemuda BA menuntut dimansuhkan undang-undang yang mencengkam dan mengambil langkah untuk kembalikan kebebasan badan kehakiman, BPR, polis, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Jabatan Peguam Negara.

Abdullah juga diminta untuk menyambung semula peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan memperkenalkan semula pemberian biasiswa kepada yang memenuhi syarat dan pelajar bumiputera yang miskin.