Seruan Keadilan Online - Saturday, December 20, 2003 4:40 PM

Laporan kesihatan palsu

Anwar bantah doktor, parlimen

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengemukakan bantahan rasmi kepada Kesatuan Parlimen Antarabangsa (IPU) berhubung tindakan memalsukan laporan perubatan beliau oleh Parlimen Malaysia dan doktor kerajaan.

Anwar, dalam surat bantahan yang dibuat melalui peguam beliau, Sankara N Nair berkata, pemalsuan laporan tersebut terkandung dalam jawapan Parlimen kepada siasatan berhubung kesihatan beliau yang dijalankan oleh IPU pada September 2003 lalu.

Siasatan berkenaan dijalankan selepas badan yang beribu pejabat di Switzerland itu membuat resolusi selama dua tahun berturut-turut mendesak kerajaan membenarkan Anwar mendapatkan rawatan perubatan pilihannya sendiri.

Dalam jawapan setebal 11 muka surat di bawah tajuk “Mengenai Perubatan/Hak Berhubung Kemudahan Rawatan Perubatan di Penjara Sungai Buloh”, Parlimen Malaysia melaporkan bahawa Anwar diberikan sebuah bilik (rawatan) eksklusif yang besar serta berhawa dingin.

Laporan itu juga menyebut bilik yang disambung terus ke sel Anwar turut dilengkapi peralatan seperti yang diperlukan oleh beliau bagi tujuan rawatan. Ia juga menyebut, dalam tempoh antara Oktober 1999 hingga Jun 2003, Anwar dibawa keluar secara rutin untuk menerima rawatan.

Anwar, dalam suratnya itu membantah kebenaran laporan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘pembohongan yang nyata’ dan ‘penipuan’ terhadap IPU.

“Laporan oleh Parlimen Malaysia tersebut adalah pembohongan yang nyata dan jelas menyimpang daripada kebenaran serta membawa kepada penipuan kepada IPU, sama ada secara sengaja atau tidak,” kata beliau.

Menurut Anwar lagi, hakikatnya ialah beliau hanya dibekalkan dengan sebuah katil latihan dengan dua ‘dumbbell’ yang diletakkan di bilik bersambung yang kecil tanpa peralatan gimnasium lengkap serta pendingin hawa seperti yang didakwa.

Manakala itu katanya, dalam tempoh Oktober 1999 dan Jun 2003, beliau hanya dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan sebanyak dua kali, iaitu untuk rawatan pneumonia pada 19 Disember 2002 dan rawatan tulang belakang yang bertujuan meyakinkan beliau supaya menerima pembedahan konvesional yang dicadangkan oleh kerajaan.

(Anwar menolak kaedah pembedahan ini kerana ia melibatkan risiko yang tinggi).

Anwar seterusnya mendakwa bahawa beliau telah ‘ditipu’ oleh Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng, dan Pegawai Perubatan Khas kerajaan yang merawatnya, Dr Jeyaindran Sinnadurai, yang menjanjikan sebuah gimnasium yang lengkap untuk beliau di Penjara Sungai Buloh selepas selesai menjalani rawatan tulang belakang di hospital pada 10 Mei 2001.

“Mereka tidak pernah menunaikan janji itu, sebaliknya hanya menyediakan sebuah katil dan dua ‘dumbbell’ seperti yang dijelaskan di atas,” katanya dalam surat bantahan itu lagi.

Doktor kerajaan ‘bersubahat’

Sehubungan itu, Anwar meletakkan tanggungjawab ‘penipuan’ dan ‘pemalsuan’ maklumat tersebut ke atas Jeyaindran yang disifatkannya sebagai ‘membantu’ dan ‘bersubahat’ dalam menyediakan maklumat salah itu.

“Saya mempunyai maklumat bahawa beliau telah memberi taklimat kepada pegawai tertinggi kerajaan bahawa kesihatan saya adalah ditahap yang baik dan aduan sakit saya adalah rekaan.

“Dalam masa sama, beliau secara berterusan mengenakan tekanan ke atas saya supaya menerima kaedah pembedahan yang ditawarkan oleh kerajaan. Ini adalah percanggahan kenyataan yang nyata,” kata beliau.

Anwar berkata, sekiranya beliau berbohong tentang tahap kesihatannya, maka Jeyaindran tidak perlu secara berterusan mendesak beliau menjalani pembedahan seperti yang ditawarkan oleh kerajaan.

Menurut peguam Anwar, tahap kesakitan yang dialami di bahagian belakang beliau melebihi paras biasa, terutama pada waktu malam.

Sebelum ini, sewaktu punca sakit belakang Anwar belum diketahui, Jeyaindran, tanpa menjalankan pemeriksaan lengkap, didakwa telah menolak semua aduan kesakitan yang dialami oleh beliau.

Sebaliknya beliau hanya memberi ubat penahan sakit untuk beberapa bulan sehinggalah Anwar kemudiannya didapati mengalami masalah ‘slipped disc’.

“Kini selepas saya membuat permohonan untuk diperiksa oleh pasukan panel doktor swasta, Jeyaindran nampaknya berada dalam kebimbangan dan saya diberitahu bahawa beliau secara tak langsung telah ‘mengarahkan’ Pihak Berkuasa Penjara supaya mendapatkan kebenaran beliau terlebih dahulu,” kata Anwar lagi.

Sehubungan itu, Anwar telah mengemukakan bantahan kepada Speaker Dewan Rakyat dan mendesak supaya jawapan oleh parlimen berhubung kesihatannya itu direkodkan sebagai suatu pembohongan.

Beliau turut mengemukakan bantahan kepada Pihak Berkuasa Penjara, sekaligus menuntut siasatan menyeluruh dibuat berhubung perkara itu, penarikan balik laporan berkenaan dan tindakan di ambil ke atas pihak yang bertanggungjawab memesongkan fakta berhubung kesihatannya.

Menurut wakil IPU, Ingeborg Schwarz, perkara tersebut akan dibawa ke Jawatankuasa Hak Asasi Ahli Parlimen di sidangnya pada 15 Januari 2004 depan.  Schwarz juga memberi jaminan kepada Anwar bahawa IPU akan meminta penjelasan dari Parlimen Malaysia.

Anwar kini menjalani hukuman penjara sembilan tahun bagi sabitan kes ‘meliwat’ bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar. Turut disabitkan bersama-sama beliau ialah adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaatmadja.

Beliau mula menjalani hukuman bagi sabitan tersebut pada 14 April lepas. Pada 27 Oktober, Anwar telah memfailkan permohonan ikat jamin kali kedua terhadap hukuman penjara tersebut kepada Ketua Hakim Negara, Ahmad Fairuz Sheikh Abd Halim, setelah permohonan pertamanya gagal mendapat sebarang jawapan.

Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember depan untuk mendengar permohonan semula itu.