Seruan Keadilan Online - Saturday, December 20, 2003 4:37 PM

Hati-hati muslihat BN -  Anwar

Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada kepimpinan Barisan Alternatif (BA) agar tidak terperangkap dengan muslihat Barisan Nasional (BN) khasnya berkaitan dengan dokumen Negara Islam yang dilancar oleh PAS baru-baru ini.

Menurutnya, kepimpinan parti pembangkang sepatutnya memberikan tumpuan kepada kekuatan mereka iaitu memastikan masyarakat umum turut bersama di dalam perjuangan menuntut keadilan dan kebebasan dan bukannya dialihkan dengan isu tersebut.

“Dengan kematangan kepimpinan BA dalam menangani isu ini agar tidak terjerat dalam muslihat Barisan Nasional, barulah kita dapat mengukuhkan kerjasama,” kata Anwar baru-baru ini.

“Meskipun kita berbeza pendapat mengenai sesuatu dasar, namun kita harus bersatu dan bertekad dalam isu-isu utama khususnya yang menegakkan keadilan dan kebebasan,” tambahnya.

Menurut Anwar lagi, malangnya ramai tidak berani membincangkan secara terbuka berkenaan dokumen Negara Islam itu kerana situasi politik yang menekan pendapat rakyat di Malaysia.

Tambahnya, kepimpinan BN sepatutnya menggalakkan perdebatan yang sihat berlaku, tetapi sebaliknya mereka memilih sikap menyerang PAS untuk menanam perasaaan takut di kalangan rakyat.

“Segala kritikan oleh Umno amat meragukan. Satu pihak menyatakan bahawa dokumen ini hanya satu gimik politik. Malah pihak yang lain pula menyatakan bahawa memang benar polisi tertentu telah dijalankan oleh kerajaan BN”, kata Anwar.

“Kenyataan BN bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam adalah satu penghinaan terhadap agama Islam.

“Ini adalah kerana BN sendiri langsung tidak mengamalkan  prinsip utama Islam, iaitu kebebasan bersuara, beragama dan kehidupan. Malah membiarkan rasuah merebak dan memusnakan kredibiliti institusi kehakiman,” ujarnya.

Menurut Anwar lagi, adalah tidak sesuai bagi sesiapa pun cuba memaksa orang Islam menerima konsep Negara Islam. Ini adalah kerana dalam falsafah dan pemikiran Islam, negara, politik dan agama adalah bersepadu.

Menurutnya lagi, dokumen PAS telah merangka polisi-polisi asas kerajaan Islam. Ia juga menekankan komitmennya untuk melindungi hak-hak semua rakyat Malaysia dan juga memastikan demokrasi yang telah termaktub dalam perlembagaan negara.

“PAS telah lama menyatakan sikap mereka berkenaan Negara Islam. Malah sejak parti tersebut ditubuhkan sejak kurun lalu. Mereka juga pernah menyertai BN (dalam tahun 1970), polisi ini tetap termaktub di dalam perlembagaan parti mereka hingga hari ini.

“Selain itu, mereka telah terbukti dalam pemerintahan mereka di negeri Kelantan dan Terengganu. Polisi mereka langsung tidak membawa masalah besar kepada rakyat bukan Islam,” tambahnya.

PAS pernah menyatakan sokongan mereka terhadap Anwar Ibrahim secara terbuka.

Mereka bersetuju melantik Anwar sebagai Perdana Menteri jika BA memenangi pilihanraya.