Seruan Keadilan Online - Saturday, December 20, 2003 4:45 PM

MINDA ANWAR

Tamak haloba meranap ekonomi

Benarkan saya memetik daripada sebuah buku yang diterbit hasil penulisan wartawan penyiasat dan penyunting Wall Street Journal, James B. Steward. Buku ini bertajuk ‘Den of Thieves’ dan ia merujuk kepada Wall Street dan skandal sekuriti dan kewangan pada tahun 80an yang melibatkan nama-nama terkenal seperti Michael Milken dan Ivan Boesky.

Saya memetik: “Jenayah kewangan amat biasa di Wall Street dalam tahun 80an. Alasan yang biasa didengari daripada hampir semua yang dituduh di dalam skandal itu ialah bahawa ia tidak adil untuk memilih seseorang individu untuk dituduh sedangkan ramai lagi yang melakukan kesalahan sama tidak dikenakan tindakan. Kod mendiamkan diri yang membenarkan jenayah ini berakar umbi dan tumbuh meliar di Wall Street, termasuk di dalam institusi yang paling kaya dan disegani, terus menerus melindungi mereka yang bersalah.

“Namun, mempertikaikan kekayaan individu melalui jalan salah bermaksud kita mungkin tidak melihat cerita sebenar. Semasa ombak jenayah ini berlaku, pemilikan keseluruhan syarikat bertukar tangan, adakala secara paksa, pada kadar cepat yang tidak pernah dilihat sebelum itu. Nama-nama terkemuka - Carnation, Batteries, General Foods, Diamond Shamrock - hilang di dalam pengambilan kuasa yang melahirkan salah laku jenayah dan pelanggaran undang-undang sekuriti.

“Yang lainnya, syarikat seperti Unocal dan Union Carbide, terus hidup tetapi hampir lumpuh. Beribu orang hilang pekerjaan mereka, syarikat terpaksa menanggung beban hutang tinggi untuk membayar perjanjian, keuntungan dikorbankan untuk membayar faedah pinjaman, akan tetapi masih banyak syarikat yang akhirnya terpaksa bankrap atau membuat penstrukturan semula. Pemegang bon dan saham juga hilang berjuta-juta dolar lagi. Tamak haloba tidak boleh dijadikan sebab utama ini semua berlaku. Ini adalah hasil tamak berganding dengan kuasa pasaran - kuasa yang tidak dibendung oleh pengawalan semulajadi

di dalam pasaran bebas atau perasaan takut ditangkap.

“Implikasi kewangan jenayah ini, walaupun besar, tidak juga menidakkan cabaran yang diwujudkan kepada keupayaan penguatkuasaan undang-undang, sistem kehakiman dan paling penting, sifat keadilan dan kesaksamaan negara itu yang menjadi asas sesebuah masyarakat madani. Jika memang terdapat manusia yang merasakan mereka terlalu kaya dan berkuasa sehingga mereka melebihi undang-undang, maka ramailah mereka yang berada di sekitar Wall Street pada pertengahan 80an.

“Jika wang mampu membeli keadilan di Amerika, Milken dan Drexel bersedia untuk membelanjakannya, dan mereka telah berbuat demikian.  Mereka mengupah peguam dan perunding perhubungan awam yang paling mahal, canggih dan berkuasa dan mereka berjaya, sehingga ke tahap yang menakutkan, untuk menukar debat awam tersebut menjadi perbicaraan peguam dan pendakwa kerajaan dan bukan mereka yang dituduh melakukan kesalahan.” Akhir petikan.

Sewaktu di tahap kuasa tertingginya, Ivan Boesky memberitahu sekumpulan graduan daripada University of California bahawa ‘Tamak itu betul’. Ternyata, kata-kata ini menjadi slogan dan slogan ini hampir meranapkan Wall Street di dalam dekad yang lalu.

Tamak itu tidak betul. Kita tidak memerlukan tamak haloba untuk menjana ekonomi kita. Kerja ikhlas dan ketekunan akan membawa hasil yang akan bertahan lebih lama. Ekonomi kita cukup kuat untuk membawa keuntungan yang mencukupi untuk setiap ahli perniagaan melalui cara yang jujur, tetapi sudah tentu tidak cukupi untuk mengisi ketamakan setiap ahli perniagaan.

Di negara ini kita ingin mewujudkan persekitaran di mana syarikat jujur mampu membuahkan hasil dan menjadi lebih besar. Sudah tentu kita boleh dan kita akan mengetatkan undang-undang dan menghapuskan kesangsian di dalam perundangan. Namun, orang yang pada asasnya tidak jujur tidak boleh dihalang dengan undang-undang semata-mata. Sebaliknya, mereka lebih suka dengan cabaran mencari jalan mengatasi undang-undang. Di sinilah tempatnya di mana ketua-ketua komuniti perniagaan sendiri boleh mengisi peranan mempromosikan tindak-tanduk beretika di dalam perniagaan dan industri.

Kita percaya bahawa keuntungan, walaupun tidak dinafikan penting, bukanlah satu-satunya tujuan perniagaan dan industri. Nilai sebenar sesuatu pensyarikatan kepada masyarakat bukan hanya diukur melalui keuntungannya, dan bukan juga dengan kekayaan yang dijana melalui beberapa helai kertas.

Syarikat-syarikat haruslah menjana kekayaan sebenar untuk kebaikan masyarakat - menaikkan taraf kehidupan kesemua pekerja, menambahkan kemahiran dengan menyediakan peluang latihan yang mencukupi dan kemudahan penyelidikan, menyokong kebudayaan dan seni dan peningkatan intelek masyarakat secara keseluruhan - dalam erti kata lain, keuntungan yang sebenar untuk seluruh komuniti. Inilah yang dimaksudkan keuntungan bersama tanggungjawab sosial.