Seruan Keadilan Online - Saturday, December 20, 2003 4:40 PM

Bahagian Akhir: Serangan ke atas badan kehakiman

Kuasa hakim terhakis sejak tahun 1988

Oleh:  Charles Hector

Dalam kes jenayah PP v Dato Yap Peng, Mahkamah Agung memutuskan bahawa seksyen 418A tidak menurut Perlembagaan Persekutuan kerana ia melanggar Artikel 121(1) Perlembagaan, yang memperuntukkan bahawa kuasa penghakiman Persekutuan diberi kepada kedua-dua Mahkamah Tinggi dan mana-mana mahkamah rendah yang diberi kuasa oleh Undang-undang Persekutuan.

Dalam kes tersebut, Mahkamah Agung menyatakan “…kuasa penghakiman untuk memindahkan kes-kes dari mahkamah rendah berbidang-kuasa yang kompeten seperti mana yang diperuntukkan oleh seksyen. 418A tidak boleh diberikan kepada mana-mana badan kerajaan selain daripada badan Kehakiman…”.   Kuasa penghakiman menurut erti kata yang

luas bermakna “kuasa mana-mana badan bebas punyai untuk menentukan/memutuskan sebarang pertelingkahan antara rakyat sesama rakyat, antara badan itu dan rakyat sama ada hak itu bersangkutan dengan nyawa, kebebasan atau harta” dan kuasa ini mestilah diberikan kepada cawangan ketiga kerajaan, yakni Kehakiman.

Malangnya, kerajaan Barisan Nasional dengan majoriti dua pertiga di Parlimen dan Dewan Negara dengan mudah meminda Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan, menghapuskan kuasa penghakiman yang diberikan kepada mahkamah-mahkamah.  Dengan itu Mahkamah-mahkamah Tinggi hanya mempunyai bidang-kuasa yang diberikan di bawah Undang-undang Persekutuan. Ertinya bidang-kuasa mahkamah kini tidak lagi ditentukan oleh mahkamah sendiri tetapi oleh badan legislatif. Pindaan ini membawa makna bahawa Parlimen berhak mewujudkan undang-undang menghadkan atau menyekat ulangkaji penghakiman. Dalam tempoh 22 tahun yang lalu terdapat banya pindaan-pindaan sedemikian yakni yang menghalang mahkamah membicarakan semula sebarang keputusan Menteri/kerajaan..

Dari Hamid Omar ke Eusoff Chin

Tun Hamid Omar, yang mempengerusikan Tribunal pertama yang mengesyorkan pemecatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara memegang jawatan Ketua Hakim Negara pada 10 November 1988.  Beliau juga bersama dengan hakim-hakim lain semasa memutuskan untuk mengirim surat kepada Raja-Raja Melayu. Kemudian Eusoff Chin, dalam Tribunal kedua, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Dalam jangka masa ini pelbagai kontroversi termasuklah kes Ayer Molek, surat layang pada awal 1996 yang membariskan 112 tuduhan yakni 39 tuduhan rasuah, 21 tuduhan salah-guna kuasa dan 52 tuduhan salah-laku, tidak bermoral dan sebagainya, Ketua Hakim Negara bercuti dengan peguam; pendedahan seorang hakim Mahkamah Tinggi yang beliau menerima arahan (mungkin nasihat?) dari Ketua Hakim Negara mengenai kes yang sedang diadili dan kes yang heboh diperkatakan iaitu kes Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim.

Selepas krisis 1988, serangan yang dipimpin oleh Mahathir terhadap badan kehakiman ini melihatkan reaksi kehakiman yang bukan tertumpu untuk memperbaiki imej dan kebebasannya tetapi sebaliknya melancarkan serangan terhadap badan peguam. Majlis Peguam Malaysia yang terus teguh berjuang untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kebebasan kehakiman dalam tempoh krisis ini dan selepasnya turut menjadi sasaran.  Pertamanya, Manjeet Singh Dillon, yang pada ketika itu Setiausaha Majlis Peguam didakwa menghina mahkamah kerana satu affidavit yang dikeluarkan.  Seterusnya ramai lagi peguam yang diugut atau didakwa menghina mahkamah.

Dzaiddin:  Harapan kian pudar

Tun Mohamed Dzaiddin kemudiannya dilantik mengetuai Kehakiman Malaysia dan kedengaran desas-desus harapan pemulihan imej di bawah pimpinannya. Malangnya kesemua harapan tersebut hancur berkecai. Salah satu daripada Arahan Amalan Guaman yang dikeluarkan di penghujung tempoh jawatannya mempunyai kesan mengurangkan hak seseorang kepada khidmat guaman. Sebaik sahaja beliau bersara, beliau menyertai sebuah firma guaman. Ini mencetuskan persoalan kewajaran tindakan beliau dan kesannya terhadap keyakinan umum kepada badan kehakiman.

Majlis Peguam Malaysia berpendapat bahawa sepatutnya ada suatu jangka masa atau ‘cooling off period’ sekurang kurangnya, sementara ada pula yang berpendapat bahawa ahli-ahli Kehakiman yang bersara terutama peringkat jawatan tertinggi tidak sepatutnya menyertai firma guaman atau mana-mana syarikat. Kerajaan pula diharapkan bertindak meminda Kod Etika Hakim 1994 untuk memasukkan tatacara perilaku pasca persaraan para hakim. Walaupun hal ini heboh diperkatakan, Dzaiddin tetap meneruskan kerjanya sebagai seorang pakar runding dalam firma tersebut.

Beberapa pelantikan pasca 1998

Artikel 125 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Perdana Menteri memulakan tindakan memecat hakim. Jika Perdana Menteri menasihatkan Yang DiPertuan Agong bahawa seseorang hakim itu patut dipecat maka “Yang DiPertuan akan melantik/menubuhkan satu Tribunal” yang bersidang untuk mengutarakan cadangan sama ada dipecat atau tidak seseorang hakim itu. Dalam bahasa undang-undang yang dominannya dalam Bahasa Inggeris perkataan ‘shall’ membawa maksud bahawa Yang DiPertuan Agong tiada pilihan dalam hal ini melainkan terpaksa menubuhkan satu Tribunal.  Mahathir, dengan tindakannya memecat Ketua Hakim Negara dan dua orang hakim Mahkamah Agung, memberi isyarat yang jelas kepada kehakiman yang boleh dirumuskan sebagai ‘jika kamu memutuskan sesuatu yang bertentangan dengan hasrat kami, nantilah padahnya’.

Pemecatan hakim-hakim pada 1988 jelas menunjukkan ia bukanlah satu kemungkinan atau ancaman malah boleh menjadi realiti jika seseorang hakim itu tidak berhati-hati. Bencana 1988 berjaya menanamkan rasa takut di kalangan para hakim. Sejak daripada itu, kita lihat cuma sedikit sahaja yang berjaya mengatasi ketakutan itu dan mengadili dengan berani terutama sekali kes-kes yang melibatkan kerajaan, orang perseorangan atau syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan.

Sebelum krisis Kehakiman 1988, Pengerusi Badan Peguam dan Peguam-peguam Kanan dirujuk secara tidak formal oleh Ketua Hakim Negara perihal kesesuaian calon-calon untuk dilantik sebagai hakim. Selepas era krisis ini, amalan tersebut dihentikan. Pada tahun 1994 Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk mengizinkan pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman (Judicial Commissioner) yang mempunyai kesemua kuasa hakim tetapi syarat-syarat perkhidmatannya terhad, sebagai satu kawalan untuk mengekalkan kebebasan kehakiman.

Pesuruhjaya Kehakiman ini dilantik secara kontrak untuk dua tahun pertama dan jika didapati memuaskan, Ketua Hakim Negara boleh mencadangkan lanjutan kepada Perdana Menteri. Dalam risalah keluaran Majlis Peguam Infoline Julai 2003 Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Kebebasan Kehakiman dan Peguam, Datuk Param Cumaraswamy, dilaporkan sebagai berkata bahawa ‘pelantikan’ terbaru Augustine Paul, Arifin Jaka dan Pajan Singh Gill akan dilihat oleh umum sebagai hadiah kerana ‘akur’. Begitu juga pelantikan Hamid Omar dan kemudiannya Eusoff Chin sebagai Ketua Hakim Negara juga mungkin dilihat oleh umum sebagai hadiah. Satu Mesyuarat Agung Luar biasa telah diadakan oleh Majlis Peguam pada 4 Oktober 2003 untuk membincangkan aspek-aspek lantikan ini dan hal-hal berkaitan.

Jasa Mahathir kepada badan kehakiman

Pada pandangan saya, Mahathir beranggapan bahawa Eksekutiflah yang menjadi ‘kepala’ dan yang lain harus tunduk. Nampaknya beliau kurang faham peri mustahaknya doktrin pengasingan kuasa atau perlunya satu badan kehakiman yang kuat dan bebas.  Sebagai ketua Umno, parti dominan dalam Barisan Nasional yang selalu mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen dan Dewan Negara (Kedua-duanya termasuk Yang DiPertuan Agong - sebagai kelompok mewakili legislatif), Mahathir juga menguasai legislatif. Dalam tempoh beliau berkuasa, Dr Mahathir berjaya menghapuskan atau melemahkan kesemua mekanisme perimbangan kuasa termasuk kuasa Yang DiPertuan Agong dan badan kehakiman.

Mahathir, sebagai Perdana Menteri, menurut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, berperanan penting dalam pelantikan Ketua Hakim Negara (dahulunya dipanggil Lord President) dan dalam pelantikan hakim-hakim lain. Selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri beliau telah banyak meninggalkan kesan kepada badan kehakiman negara dari segi keahlian dan komposisi kehakiman. Kesemua hakim dilantik oleh Yang DiPertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Perdana Menteri cuma merujuk kepada Yang DiPertuan Agong tetapi jelas daripada ayat yang digunakan, Yang DiPertuan Agong tiada pilihan melainkan bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri. Beliau memilih mereka yang ‘sesuai’, dan kadang-kadang sesetengah hakim ini bertindak dengan berani dalam memutuskan sesuatu kes - yang akhirnya beralih menjadi ‘tidak sesuai’ menurut Perdana Menteri.

Para hakim, apabila menerima jawatan mestilah mengenepikan sebarang tindakan berat sebelah, pilih kasih, prasangka serta mengutamakan keadilan tanpa takut atau memihak. Mereka tidak boleh pro atau anti-kerajaan, cuma boleh pro-Perlembagaan dan pro-undang-undang. Mereka tidak boleh pro-syarikat besar atau pro-rakyat marhaen tetapi pro-keadilan dan pro-hak asasi manusia.

Mereka tidak seharusnya risaukan hari-hari mendatang, atau tindak-balas orang yang lebih berkuasa, atau mengenai peluang kenaikan pangkat. Mereka janganlah sekali-kali lupa sumpah yang telah mereka ikrarkan bahawa “saya dengan ini akan melaksanakan tugas saya, taat dan setia kepada Malaysia (bukan Perdana Menteri, bukan Eksekutif, bukan kerajaan) dan akan mengekalkan, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan”.

Kehakiman sepatutnya mengikuti cadangan yang disyorkan dalam laporan “Justice In Jeopardy: Malaysia 2000”, yang disediakan oleh badan antarabangsa yang diketuai oleh International Bar Association. Laporan tersebut mengesyorkan: “Kehakiman bertindak dengan seluruh kuasanya yang ada demi kepentingan keadilan untuk menentang apa-apa penggubalan undang-undang yang menindas dan tindakan melampau dari pihak eksekutif. Itulah peranan kehakiman apabila berhadapan dengan penindasan, tidak kira dari mana sumbernya. Dalam keadaan sekarang dan melihat kepada pengalaman 1988, ia memerlukan keberanian yang luar biasa. Namun itu, kami rasakan ini menjadi keutamaan sekiranya reputasi sistem kehakiman Malaysia ingin dipulihkan kepada kedudukan asalnya yang sepatutnya.” – Ehsan Aliran Monthly