Seruan
Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:46 AM
Badan
kehakiman masih dicengkam eksekutif - Aliran
Berikutan
keputusan mahkamah menolak permohonan ikat jamin Datuk Seri Anwar
Ibrahim, badan kehakiman Malaysia yang disifatkan terus berada di
bawah cengkaman eksekutif, tidak lagi dihormati.
Aliran
Kesedaran Kebangsaan (Aliran), dalam kenyataannya berkata keputusan
Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan ikat
jamin serta rayuan terhadap hukumannya adalah sesuatu yang memeranjatkan
dan membingungkan rakyat Malaysia.
“Rakyat
umum merasa hairan dan bagaikan tidak percaya melihat badan kehakiman
begitu mudah diinjak, menyebabkan ia tidak lagi mencerminkan keyakinan
bahawa keadilan akan dilaksanakan tanpa pilih kasih atau rasa takut,”
kata Presidennya, P. Ramakrishnan.
Pada
20 Januari lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan ikat jamin Anwar,
yang biasa diberi oleh seseorang yang didakwa dalam seksyen yang
sama.
Menurut
Ramakrishnan, kes Anwar dipanjangkan dengan kelewatan dan taktik
tanpa kehormatan yang membinasakan keadilan.
Kebusukan
sistem kehakiman
“Apa
yang kita saksikan hari ini mengesahkan bahawa kebusukan dalam sistem
kehakiman telah meresap mendalam hinggakan fakta bukan lagi asas
bila menzahirkan keadilan,” katanya lagi.
Dalam
permohonan ikat jamin dan rayuan Anwar, persoalan notis alibi adalah
isu asas. Persoalan penting adalah sama ada notis alibi telah dikemukakan
atau tidak.
Peguam
Anwar, Karpal Singh bertegas menyatakan bahawa beliau telah mengemukakan
dokumen tersebut ketika perbicaraan April tahun lalu. Tetapi Penolong
Pendaftar Mahkamah, Hasnah Hashim menyatakan bahawa ia tidak dikemukakan.
Anwar
kemudian bangun dan menyatakan bagaimana ia [notis alibi] dinafikan
sedangkan beliau dan lebih 30 orang yang hadir di mahkamah menyaksikan
peguamnya menyerahkan kepada mahkamah.
Ia
turut disokong oleh Timbalan Pendakwaraya Tun Majid Tun Hamzah yang
mengesahkan notis tersebut telah diserahkan.
“Oleh
itu notis alibi menjadi sangat penting untuk membuktikan bahawa
Anwar tidak bersalah. Tetapi mahkamah kurang menghormati fakta ini.
Episod yang menyelubungi soal pemfailan notis albi adalah sangat
busuk,” tambah Ramakrishnan.
Kesalahan
cuba ditutup
Ketika
rayuan berlangsung, Anwar cuba meminta nota perbicaraan hakim untuk
menentukan sama ada isu notis alibi ini pernah dihujahkan ketika
perbicaraan, tetapi permohonannya ditolak mahkamah atas alasan ia
bukan dokumen awam dan undang-undang tidak menyatakan ia perlu diberi.
Dalam
soal ini, Ramakrishnan berkata, sementara mungkin benar undang-undang
tidak menghendaki begitu, tetapi undang-undang juga tidak melarang
nota tersebut diberikan apabila dipinta.
“Fakta
yang tetap kekal ialah nota yang diminta seharusnya diberi bagi
membuktikan kebenaran dan untuk memastikan keadilan terlaksana.
Tetapi soal ini nampaknya tidak penting bagi mahkamah,” tambahnya.
Menurut
Ramakrishnan, keengganan melakukannya akan hanya menguatkan prasangka
umum bahawa ada kesalahan yang cuba ditutup, dan proses ini telah
memusnahkan keyakinan kita terhadap sistem kehakiman.
“Tidak
syak lagi, keadilan terhadap Anwar telah dinafikan. Badan kehakiman
bukan lagi asas kukuh keadilan.
“Ini
mengingatkan kita kepada kata-kata Eramus Darwin bahawa sesiapa
yang bersubahat dengan orang yang melakukan kezaliman, sebenarnya
bersama-sama melakukan jenayah tersebut," tegasnya lagi.
|