Seruan
Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:50 AM
Lagi
kes kezaliman polis
Ketua
Polis Negeri Pulau Pinang Datuk Othman Talib berjanji akan menyelesaikan
kes yang melibatkan seorang penjaja yang disyaki didera oleh empat
orang pegawai polis semasa mengutip sampah di sebuah gerai makan.
Othman
berjanji bahawa beliau tidak akan memberi perlindungan kepada mereka
yang disyaki bersalah dalam kes ini sambil berkata bahawa beliau
telah mengarahkan supaya satu kawat cam (identification parade)
dijalankan dengan penyeliaan ibupejabat polis.
Beliau
mengulas aduan yang dilaporkan oleh mangsa bernama Tan Pang Aik
yang mendakwa bahawa kawat cam pertama yang dibuat di Ibu Pejabat
Polis Daerah Timur Laut di Jalan Pattani tidak dijalankan dengan
betul kerana pegawai-pegawai yang disyaki tidak berada dalam kawat
cam tersebut.
“Tidak
ada perlindungan dalam perkara ini. Sekiranya kami ada cukup bukti,
kami akan mengambil tindakan (terhadap pesalah),” kata beliau.
Bagaimanapun, beliau berkata
laporan perubatan yang dikeluarkan oleh Hospital Kerajaan Pulau
Pinang pada 24 Disember lalu tidak konsisten dengan cedera pada
badan Tan yang berumur 44 tahun.
Walaupun
Tan mendakwa bahawa beliau telah dipukul di bahagian perut dan belakang,
dengan kayu dan helmet, pemeriksaan perubatan oleh Dr Lee Choon
Peng mendedahkan bahawa tidak terdapat cedera luaran.
Sementara
itu, Tan mendakwa bahawa beliau rasa “terancam” oleh pihak polis
yang sengaja mahu mempercepatkan kawat camnya. Peguam-peguamnya
juga tidak dibenarkan masuk bersamanya semasa kawat cam tersebut
diadakan.
“Kesemua
yang dibawa masuk tidak relevan dan semuanya tidak ada kaitan dengan
kes saya,” kata Tan.
“Mereka
semua terdiri dari lelaki yang berumur lebih tua walaupun saya telah
mengatakan bahawa pegawai-pegawai polis yang mendera saya berumur
lebih muda”.
Pada
bulan 26 November lalu, Tan mendakwa bahawa pada pukul 1.00 pagi,
beliau diancam oleh empat pegawai polis itu apabila sedang mengutip
tin minuman dan bahan-bahan buangan yang lain dari sebuah gerai
makan di Jalan Burmah.
Kerja
ini biasa dilakukannya untuk mendapat sedikit wang untuk menampung
pendapatannya yang kecil.
Beliau
berkata pada malam itu polis tersebut menuduh beliau sedang mencuri
bahan-bahan kutipan itu dan kemudiannya mereka memukulnya dengan
kayu dan helmet.
Kemudiannya,
beliau digari dan dibawa ke Balai Polis Pulau Tikus dan di sini
seorang pegawai yang memakai tag nama “Saravanan” didakwa mengambil
RM550 dari poket seluarnya.
“Saravanan
memberitahu saya jangan memberitahu orang lain apa yang telah beliau
lakukan.
“Kemudian
beliau memberikan saya balik RM50 dan mengarahkan saya membeli enam
tin minuman ringan 100 Plus dari kedai Seven-Eleven yang berdekatan.
“Selepas
saya balik ke Balai Polis dan memberi mereka minuman tersebut, mereka
menyuruh saya pulang dan jangan melaporkan peristiwa malam itu,”
katanya.
Tetapi
Tan membuat laporan polis dua hari kemudian.
Sementara
itu, peguam beliau Jimmy Gay, yang juga Exco Biro Aduan dan Perundangan
Parti keADILan berkata satu salinan laporan kes tersebut telah dihantar
kepada Pejabat Perdana Menteri dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
(Suhakam) untuk perhatian selanjutnya.
“Kes
ini bukan sahaja melibatkan keganasan dan penderaan tetapi juga
rompakan.
“Kami
harap pihak polis akan melakukan siasatan terperinci kerana ini
jelas kes penderaan polis (ke atas orang awam),” katanya.
|