Seruan Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:51 AM

PAS ancaman kepada BN - Najib

Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil mudah pilihanraya akan datang kerana parti pembangkang PAS masih menjadi lawan yang boleh menggugat, kata timbalan perdana menteri Najib Abdul Razak.

“Secara umum terdapat perasaan optimistik. Pengundi yang telah menentang kami dalam pilihan raya lepas, sebilangan besar telah kembali bersama kita semula.

“Sudah tentu kita tidak akan mengambil semua itu dengan mudah. Kita  tidak boleh merasa selesa, kemungkinan ada ancaman kepada BN terutama daripada PAS di setengah kawasan tradisi Melayu,”  katanya memberi maklum balas kepada soalan di satu sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun timbalan pengerusi BN itu menekankan bahawa BN lebih yakin menghadapi ancaman tersebut kali ini.

Kerusi Parlimen Pekan, kawasan Najib, pada pilihan raya tahun 1999 berada dalam keadaan cemas kerana dia mengalahkan calon PAS yang tidak dikenali Ramli Mohamed dengan majoriti hanya 241undi.

Daripada 26,055 undi yang dibuat, dia hanya mendapat 13,148 manakala Ramli mendapat 12,907.

Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi menambah bahawa dia yakin akan menang dalam pilihanraya akan datang kerana pakatan yang “mantap”.

Sementara itu, Najib tidak menjawab apabila ditanya jika BN akan menawan Kelantan dan Terengganu daripada PAS dalam pilihan raya akan datang, yang dijangka  diadakan seawal Mac.

“Kita mesti kerja kuat, terdapat secara umumnya agak optimistik BN akan menang terutama di Terengganu atau mungkin juga Kelantan.

“Tetapi sudah tentu, apabila datang pilihan raya, ada faktor-faktor lain yang kita perlu pertimbangkan,” katanya, tanpa menjelaskan dengan panjang lebar.

PAS telah menguasai Kelantan semenjak 1990 dan menang negeri jirannya Terengganu dalam pilihan raya lalu.

Bagaimanapun, sebahagian besar daripada kejayaannya disebabkan ketidakstabilan politik berikutan pemecatan bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Lebih awal daripada itu, Najib menyampaikan ucaptamanya yang pertama sebagai timbalan perdana menteri di persidangan ‘Malaysia: Strategic outlook 2004', yang dianjurkan oleh Asian Strategy and Leadership Institute (Asli).

Dia berjanji untuk menyokong sepenuhnya Abdullah dan memainkan peranan seorang penolong yang setia sambil mengatakan: “Bukan tempat saya untuk bermimpi sebuah lagi mimpi.

 “Tiada ada keraguan lagi dalam fikiran saya bahawa perdana menteri akan memimpin kita kepada kemenangan mutlak dalam pilihan raya akan datang. Tugas utama kami dalam minggu-minggu dan bulan-bulan akan datang ialah memastikan kerajaan mengekalkan mandat yang kukuh dan mendapat pengesahan daripada pengundi,” katanya kepada 200 orang hadirin.

Dia mengakui prestasi  BN menurun dalam pilihanraya lepas tetapi menyatakan keyakinan bagi pilihan raya yang akan datang.

Selain daripada kalah di Terengganu, BN juga melihat bilangan kerusi Parlimennya jatuh dari 162 kepada 148 dalam pilihan raya lepas.

Najib juga menambah  bahawa Umno kini “bersatu, lebih kuat daripada sebelum ini”.

Timbalan perdana menteri juga berkongsi pandangannya tentang cabaran dan peluang yang negara akan hadapi pada tahun 2004.

Dia berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan pelan perbelanjaan atas dasar kemampuan dan keperluan.

Dia menambah bahawa kunci utama kerajaan ialah mengubah sektor pertanian kepada penyumbang utama kepada ekonomi.

 “Petanda ini ialah dengan perlantikan rakan kabinet yang senior (Muhyiddin Yassin) oleh perdana menteri ke portfolio tersebut,” katanya.

Najib juga menyeru bumiputera untuk mengiktiraf kepentingan gabungan"know-how" (ilmu pengetahuan) dan "know-who"(jaringan) .

 “Di Malaysia khususnya, bagi masyarakat bumiputera, perniagaan sering bergantung kepada jaringan dan hubungan sementara mengabaikan perhatian kepada kemahiran dan ilmu pengetahuan. Ini perlu diubah,” katanya.

Isu-isu lain yang ditimbulkan dalam ucapan 30 minitnya termasuk perang terhadap rasuah, mengurangkan birokrasi, mengukuhkan perhubungan perdagangan antarabangsa dan menggalakkan pembabitan sektor swasta.

Hadir sama di persidangan tersebut ialah presiden Asli Mirzan Mahathir, anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, orang kenamaan asing, pemimpin korporat dan para ilmuan.