Seruan Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:51 AM

Sistem bobrok yang sama masih wujud

Para penyokong yang kecewa dengan penolakan permohonan ikat jamin Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Januari lalu menunjukkan kemarahan mereka terhadap konvoi kenderaan yang menghantar Anwar balik ke penjara Sungai Buloh.

Penyokong-penyokong Anwar yang marah menghalang beberapa kereta penjara di pintu keluar tempat letak kereta Palace of Justice, Putrajaya di mana mereka menghentam dan membuang poster ke arah kereta-kereta tersebut apabila mereka berlalu.

Walaupun, para penyokong Anwar telah berhimpun secara aman, mereka menjadi marah apabila konvoi kereta tersebut berlalu dengan pantas dan tidak memberi mereka peluang untuk melihat Anwar.  Beliau diletakkan dalam kereta pacuan empat roda yang bercermin gelap.

Sementara penyokong-penyokong tersebut cuba ditenteramkan oleh pemimpin-pemimpin parti keADILan, sebilangan daripada mereka bergerak rapat ke kereta tersebut, sambil menjerit dan melemparkan kata-kata kesat terhadap badan kehakiman dan polis.

Satu lagi kumpulan menghalang jalan sempit keluar dari tempat letak kereta sebelum polis menarik mereka keluar dari tempat itu.

Sebelum itu, Ketua Polis Putrajaya Khalil Khadir memberi kebenaran bagi penyokong Anwar untuk membuat barisan di tepi jalan.

“Jika mereka mahu melambai kepada Anwar, itu dibenarkan, selagi mereka tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Perhimpunan seramai lebih-kurang 300 orang itu bertindak dengan marah dan setengahnya mengalirkan airmata apabila keputusan mahkamah itu diumumkan.

Walaupun ramai yang telah menyatakan rasa pesimistik sejak dari awal lagi, mereka rasa kecewa apabila diberitahu oleh Ketua Pemuda keADILan Mohd Ezam Mohd Nor bahawa mahkamah sekali lagi lagi menolak permohonan Anwar.

Sambil melaung slogan reformasi dan menyanyi lagu, para penyokong Anwar menumpukan kemarahan mereka pada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, Dr Mahathir Mohamad dan hakim-hakim yang mendengar kes Anwar.

“Keputusan menunjukkan bahawa Abdullah sama sahaja dengan Mahathir.  Ini satu tanda bahawa perjuangan mesti diteruskan. Dari hari ini, kita harus mengutuk Abdullah dan biar seluruh dunia mengetahui tentang perkara ini,” kata Ezam di hadapan penyokong-penyokong Anwar.

Bercakap kepada media, Ezam berkata keputusan mahkamah menjejaskan harapan bahawa Anwar akan dibebaskan oleh pentadbiran yang baru.

“Ramai dari kami yang menaruh harapan pada pentadbiran yang baru. Anwar sedang sakit dan kesihatannya semakin merosot. Jadi ada sebab untuk para hakim meluluskan permohonannya.

“Tidak dapat difikirkan bahawa sebuah negara yang bertamadun seperti Malaysia telah menolak permohonan ikat jamin seorang bekas pemimpin kerajaan,” tambahnya.

Menurutnya lagi perkembangan terbaru ini akan mempertingkatkan lagi usaha keADILan untuk pilihanraya akan datang.

“Kami juga akan berkempen di medan antarabangsa untuk memberitahu seluruh dunia bahawa Abdullah tidak lain seperti Mahathir, walaupun beliau menunjukkan imej positif pada masa ini,” katanya.

Apabila ditemui kemudian, Presiden keADILan dan isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengutuk keputusan itu sebagai satu keputusan yang jelek.

“Ini sudah tentu tidak memperbaiki imej Abdullah sebagai seorang pemimpin yang inginkan perubahan.

“Sistem bobrok yang sama masih wujud. Kami rasa kecewa tetapi keadaan memang sama selama ini. Ia terbukti setiap kali,” katanya.

Wan Azizah berkata Anwar berasa marah walau pun beliau menjangka keputusan yang sama.

“Beliau telah menjangkanya. Beliau sudah mengetahuinya ... beliau memberitahu para hakim bahawa mereka telah menghina mahkamah dan kemanusiaan”.