Seruan Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:47 AM

Anwar buat laporan polis

Siasat hakim!

Mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pihak polis membuat siasatan ke atas tingkah laku hakim-hakim Mahkamah Rayuan ketika menolak rayuan dan permohonan ikat jamin beliau baru-baru ini.

Pada 21 Januari lalu, hakim-hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak pemohonan untuk mendapat ikat jamin sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim-hakim yang menolak permohonan ikat jamin Anwar ialah Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Richard Malanjum dan Datuk Hashim Mohd Yusoff.

Ketiga-tiga mereka  memutuskan untuk menolak rayuan ikat jamin Anwar, kerana kegagalan Anwar megemukakan notis alibi adalan asas bagi penolakan tersebut. 

Menurut hakim, notis alibi itu amat penting kerana ia adalah rekod pergerakan Anwar semasa pertuduhan dibuat pada Januari hingga Mac 1993 yang menunjukkan beliau tidak berada di tempat kejadian (Tivolli Villa) sepanjang tempoh itu.

Menurut Anwar, beliau merasakan keputusan hakim adalah salah. Pihak peguam negara  menafikan tidak ada menerima notis alibi tersebut, tetapi peguam beliau Karpal Singh telah membuktikan kepada mahkamah bahawa beliau telah memfailkan notis alibi sebelum itu.

"Karpal menunjukkan afidavit pihak pendakwa yang ditandatangani oleh Tun Majid, yang mewakili pendakwaraya. Beliau mengaku menerima salinan notis alibi tersebut semasa perbicaraan dijalankan.

"Selain itu, kandungan notis alibi berkenaan dibahaskan selama dua hari pada 8 dan 9 April tahun lepas seperti yang tertera dalam nota-nota saya dan afidavit wakil Majlis Peguam, Christopher Leong," kata Anwar lagi.

Namun, pada 21 Ogos 2003 dalam penghakiman bertulis hakim-hakim Pajan Singh Gill, Richard Malanjum dan Hashim Mohd Yusof, mereka menafikan wujudnya notis tersebut.

Ketika perbicaraan bersambung semula ketiga-tiga hakim tersebut mengulangi penafian menerima notis tersebut.

"Apabila Karpal dapat mengesan bahawa hakim-hakim mula berdalih dan tidak bercakap benar, beliau secara terbuka meminta mereka mengesahkan atau menafikan penerimaan notis itu.

"Setelah berulang kali disoal, hakim-hakim berkenaan masih mengelak daripada memberi jawapan selain menyatakan dokumen tersebut tidak wujud dalam tangan mereka atau dalam rekod mahkamah," tambah Anwar.

Menurut Anwar lagi, tindakan hakim-hakim tersebut keterlaluan dan hakim juga telah mempersendakan amanah yang dipegang oleh mereka dan juga melanggar undang-undang. 

“Tindakan mereka menghalang proses dan tanggungjawab menegakkan keadilan dengan percubaan melenyapkan bukti utama telah menafikan hak saya untuk bebas daripada fitnah dan pertuduhan.

“Gelagat hakim-hakim mahkamah tertinggi negara ini amat melampau dan memalukan. Mereka dengan terang telah menafikan fakta yang jelas, seolah-olah bersekongkol dengan pihak pendakwa untuk memastikan saya dihukum dengan apa-apa jua cara yang mungkin," kata Anwar.

Tambah Anwar lagi, sikap yang ditonjolkan oleh  hakim-hakim itu membayangkan wujudnya kelemahan besar dalam badan kehakiman negara.

"Dalam kes ini secara khusus, mereka telah bersama-sama menjadi 'pelupa'. Mereka memilih untuk menafikan penerimaan notis alibi. Tetapi lebih manakjubkan ialah penafian wujudnya perbincangan berkaitan isu tersebut di mahkamah," tambah beliau.

Beliau seterusnya mendakwa tindakan ketiga-tiga hakim tersebut adalah salah, sekaligus meminta pihak polis menyiasat perkara itu berdasarkan peruntukan Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan undang-undang yang berkaitan.