Seruan
Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:47 AM
Benarkan
Anwar ke Munich untuk pembedahan – Kit Siang
Jika
Filipina membenarkan bekas presidennya yang dipenjara Joseph Estrada
mendapat rawatan perubatan di Amerika Syarikat, Malaysia juga patut
membenarkan bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim pergi keluar
negara untuk pembedahan.
Pemimpin
DAP Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya berkata bahawa keputusan
mahkamah baru-baru ini di Filipina, memberi alasan yang lebih kuat,
mengapa Anwar wajar dibenarkan pergi ke Munich, untuk pembedahan
endoskopi untuk kecederaan tulang belakangnya yang semakin teruk,
yang hanya terdapat di Jerman.
Pada
23 Disember lalu, mahkamah anti rasuah di Sandiganbayan, meluluskan
petisyen Estrada untuk pergi ke Amerika bagi menjalani pembedahan
lutut, setelah menerima laporan doktor bahawa ada kemungkinan Estrada
akan lumpuh jika pembedahan tidak dilakukan dengan segera.
Estrada,
yang dipenjara kerana bersalah atas tuduhan merompak ekonomi, baru-baru
ini didapati mengidap arthritis lutut dan ‘slipped disc’ di tulang
belakangnya. Para doktor memberi amaran bekas presiden tersebut
boleh lumpuh jika dia tidak jalani pembedahan.
Lim
berkata, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi patut akur pada seruan,
menuntut Anwar dibenarkan mendapat rawatan perubatan daripada pakar
tulang belakang Dr Thomas Hoogland.
“Abdullah
mesti sedar dengan pendedahan daripada imbasan ‘resonance imaging’
(MRI)) dan ‘computed tomography’ (CT), bahawa Anwar mengalami dua
kecederaan belakang yang baru - pergeseran sambungan ‘facet’ dan
satu lagi ‘prolapsed disc’,” katanya.
Pemimpin
pembangkang itu juga mengingatkan Abdullah bahawa Suruhanjaya Hak
Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah pun mencadangkan dua tahun
yang lalu bahawa Anwar wajar dibenarkan mendapat haknya untuk memilih
cara rawatan bagi sakit belakangnya yang kronik.
Anwar
yang sedang menjalani hukuman sembilan tahun penjara atas tuduhan
liwat, berkali-kali menyatakan doktor yang dilantik oleh kerajaan
untuknya tidak mempedulikan aduannya tentang sakit yang amat serius
sebelum ini.
Bagaimanapun,
baru-baru ini pihak kerajaan akur dan menghantar Anwar ke Hospital
Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.
Imbasan
MRI dan CT menunjukkan Anwar mengalami kecederaan belakang yang
baru. Beliau diarah menjalani fisioterapi yang berterusan sehingga
keadaannya bertambah baik.
Anwar
mengalami ‘slipped disc’ selepas terjatuh daripada kuda beberapa
tahun lalu. Beliau mendakwa kecederaan tersebut bertambah teruk
setelah dibelasah oleh bekas Ketua Polis Negara Abdul Rahim Mohd
Nor, yang telah pun menjalani hukuman atas kesalahan tersebut.
|