Seruan Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:48 AM

Kes Anwar bukan istimewa atau luar biasa, kata hakim 

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menunjukkan secara munasabah yang kesnya termasuk dalam kategori "berkeadaan istimewa atau luar biasa" yang membolehkannya dibenarkan ikatjamin sementara menunggu rayuan, demikian menurut Mahkamah Rayuan pada 21 Januari lalu.

Ketika mengenepikan permohonan Anwar untuk dibenarkan ikatjamin, mahkamah juga menolak hujah peguamnya bahawa sakit belakangnya semakin teruk, kerana ianya tidak disokong dengan bukti-bukti perubatan.

Permohonan itu didengar oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Pajan Singh Gill yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Rayuan bersama Hakim Datuk Richard Malanjum dan Datuk Hashim Mohd Yusoff.

Malah, kata Hakim Pajan, tiada bukti-bukti perubatan yang dikemukakan untuk menunjukkan bahawa penahanan berterusan ke atas Anwar telah atau merupakan sebab kecederaannya semakin teruk.

Beliau menyatakan demikian dalam keputusan bertulis setebal 37 muka surat yang diedarkan kepada pihak media selepas mahkamah menolak permohonan ikatjamin dan penangguhan hukuman ke atas Anwar dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, terhadap keputusan bersalah dan hukuman kerana liwat.

Anwar dan Sukma masing-masing dijatuhkan hukuman sembilan tahun dan enam tahun bagi kesalahan meliwat Azizan Abu Bakar, iaitu pemandu kepada isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Afidavit doktor

Anwar mula menjalani hukuman tersebut sejak 14 April lalu selepas selesai menjalani hukuman empat tahun penjara bagi kesalahan salahguna kuasa.

Menurut Hakim Pajan, terdapat bukti-bukti yang mencukupi bahawa langkah-langkah telah diambil untuk merawat Anwar sepertimana yang terkandung dalam afidavit doktor perunding, Dr S Jeyaindran, yang dilantik kerajaan untuk merawat Anwar.

Menurut Dr Jeyaindran, katanya, Anwar telah menolak semua tawaran untuk melakukan pembedahan di dalam negara ini.

Di samping itu, kata Hakim Pajan, sebuah panel perunding juga telah mengkaji reaksi kesihatan Anwar terhadap rawatan konservatif ke atasnya dan mereka berpendapat ianya memberi kesan baik terhadap kesihatan perayu.

Mahkamah juga menolak hujah bahawa kesalahan liwat bukan satu kesalahan serius, sebagai alasan munasabah untuk membenarkan Anwar diikatjamin, memandang Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara.

Menurut Hakim Pajan lagi, beratnya sesuatu kesalahan itu mungkin menjadi faktor untuk dipertimbangkan, tetapi perbezaan juga perlu dibuat di antara ikatjamin sebelum hukuman dijatuhkan dan selepas hukuman dijatuhkan, di mana pesalah tidak boleh mendapat manfaat daripada andaian tidak bersalah.

Mahkamah juga menolak hujah bahawa tempoh menunggu yang lama oleh Anwar untuk mendapat keputusan terhadap rayuannya, sebagai alasan yang munasabah untuk membenarkan dia diikatjamin.

Menurut Hakim Pajan, tempoh menunggu selama enam bulan hingga setahun sebelum rayuan didengar, bukanlah tempoh yang tidak munasabah, memandang tempoh hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Anwar.

Bukan luar biasa

Katanya, seperkara lagi yang tidak memihak kepada Anwar ialah dia telah pun dijatuhkan hukuman, malah telah menjalani hukuman tersebut bagi kesalahan lain (salahguna kuasa), menyebabkan ia bukanlah kesalahan pertama baginya.

Menurutnya lagi, permohonan bagi kesalahan penyalahgunaan kuasa yang kini menunggu untuk disemak semula oleh Mahkamah Persekutuan, juga tidak memberi kelebihan kepada Anwar kerana mahkamah tidak mempunyai pilihan selain menerima hukuman terhadapnya, sehinggalah mahkamah membuat keputusan sebaliknya.

Mengenai rayuan bahawa Anwar amat dirindui oleh anggota keluarganya dan dengan membenarkan ikatjamin itu, ia memudahkan para peguam menemuinya, Pajan berkata faktor-faktor tersebut tidak boleh dianggap sebagai satu "keadaan istimewa atau luar biasa".

Lagi pula, katanya, afidavit yang dikemukakan oleh pegawai penjara Mohd Husin Mohd Mastan dengan jelas menyatakan bahawa anggota keluarga dan peguam Anwar selama ini dibenarkan melawatnya di penjara.

Hakim Pajan juga memberi alasan yang sama ketika menolak permohonan ikatjamin oleh Sukma dengan menyatakan bahawa ahli perniagaan kelahiran Indonesia itu tidak mendapat manfaat sebagai pesalah pertama, kerana sebelumnya dia telah dijatuhkan hukuman (kesalahan liwat).

Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi untuk membenarkan ikatjamin dan penangguhan hukuman ke atas Sukma juga bukan satu kriteria bagi Mahkamah Rayuan membenarkan ikatjamin terhadap Anwar.

Katanya, jika ianya dijadikan ukuran, maka mahkamah telah gagal dalam menjalankan tugasnya dengan betul. - Malaysiakini