Seruan
Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:48 AM
Kerajaan
dikecam lanjutkan tempoh tahanan ISA
Gerakan
Mansuhkan ISA (GMI) mengecam tindakan kerajaan kerana melanjutkan
penahanan Yazid Sufaat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
untuk tempoh dua tahun lagi.
“GMI
mengecam penyambungan tempoh tahanan tanpa bicara Yazid untuk dua
tahun lagi,” kata setiausaha GMI, Yap Swee Seng.
Perintah
tahanan lanjutan terhadap Yazid ditandatangani Perdana Menteri yang
juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru
ini.
Yazid,
42, ditahan di Kem Tahanan Kamunting pada Disember 2001 selepas
peristiwa serangan 11 September ke atas World Trade Center, Amerika
Syarikat.
Yazid
ditahan di bawah ISA kerana didakwa membenarkan pangsapurinya ditumpang
oleh Zacarias Moussaoui, salah seorang yang ditahan oleh kerajaan
Amerika Syarikat kerana didakwa terlibat dengan tragedi 11 September
itu.
Beliau
juga dituduh membenarkan pangsapurinya digunakan oleh perampas kapal
terbang dalam peristiwa sama, Khalid al-Midhar dan Nawaf al-Hazmi.
Menurut
Yap, adalah tidak dapat diterima akal, dengan tuduhan yang begitu
khusus, kerajaan masih terus menahan Yazid di bawah ISA.
“Kegagalan
kerajaan untuk mendakwa Yazid di mahkamah menggambarkan tuduhan
tersebut hanya ‘hearsay’ (didengar dari pihak ketiga) dan tanpa
bukti kukuh,” kata Yap.
Tambahnya,
sementara pihaknya bersetuju bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab
untuk mengekang terrorisme demi keselamatan negara, namun penahananan
tanpa bicara tidak membantu.
“Dengan
membenarkan penahanan tanpa bicara, seseorang yang ditahan tidak
berpeluang membela diri terhadap tuduhan yang dilemparkan terhadapnya,
begitu juga pihak mahkamah tidak berpeluang mengkaji tindakan yang
dibuat oleh kerajaan,” katanya.
GMI
juga kesal dengan sikap Kementerian Dalam Negeri yang tidak langsung
membuat kenyataan rasmi atau pengumuman mengenai penyambungan penahanan
tersebut, yang menunjukkan kesan buruk sesebuah kerajaan yang dibiarkan
berkuasa penuh tanpa ‘check and balance’ (perimbangan).
Sehubungan
itu, Yap menggesa kerajaan segera mendakwa Yazid atau membebaskan
beliau tanpa syarat. Beliau juga mahu ISA dihapuskan.
“Inilah
satu-satunya cara untuk memastikan kerajaan dengan Perdana Menteri
baru (Abdullah Ahmad Badawi) menghormati undang-undang, melaksanakan
ketelusan serta kewibawaan awam,” tegasnya.
|