Seruan Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:49 AM

Ditelanjang, diludah dan dibakar janggut – tahanan ISA

Sekumpulan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah menggariskan 59 bentuk penderaan yang mereka alami dalam satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Memorandum 18 muka surat itu diserahkan kepada pesuruhjaya Suhakam Prof. Hamdan Adnan di ibu pejabat Suhakam di Kuala Lumpur pada 20 Januari lalu.

Salinan juga diserahkan kepada Gerakan Mansuh ISA (GMI) dan Ketua Pembangkang Abdul Hadi Awang.

Antara aduan yang dikumpulkan daripada 31 tahanan tersebut termasuk diletakkan dalam bilik kurungan yang kecil semasa tempoh soal siasat, digari di hadapan keluarga semasa ditahan, ditutup mata dan gari apabila dibawa ke bilik soal siasat; dan pihak berkuasa membuat tuduhan terhadap mereka melalui media.

Mereka yang kini ditahan di pusat tahanan Kamunting, Perak turut mendakwa maklumat yang terkandung dalam arahan penahanan diputarbelit dan direka oleh pihak berkuasa.

 “Kami tidak pernah tahu dan tidak pernah menyebut, semasa soal siasat, tentang mewujudkan negara Islam dengan cara militan. Fakta ini ditambah oleh pegawai Cawangan Khas (SB) yang mengatakan mereka terima maklumat daripada Kementerian Dalam Negeri,” kata mereka.

Tuduhan lain dalam memorandum termasuk dipaksa telanjang semasa disoal siasat, disuruh supaya tidak mendapatkan bantuan guaman, tidak dibenarkan duduk semasa soal siasat  sepanjang hari, mengalami kesusahan bernafas disebabkan pegawai soal-siasat merokok dalam bilik berhawa dingin, dipaksa kencing dalam botol dan dinafikan mendapat senaskah Al Quran.

Tahanan juga mendakwa pegawai yang menyoal siasat meludah mereka, memaksa meminum air ludah dan membakar janggut mereka.

Pihak SB juga mengancam akan menahan ahli keluarga tahanan jika mereka tidak bekerjasama atau memfail permohonan habeas corpus.

 (Habeas corpus ialah perintah mengarahkan tahanan dibawa ke hadapan hakim untuk memastikan tidak ada kecacatan prosedur yang berlaku, jika ada boleh menyebabkan penahanan menyalahi undang-undang.)

Selain daripada itu, tahanan mendakwa mereka diarah membuat teh, mengurut pegawai penyiasat dan menyanyi lagu Hindi.

Tahanan berkata beberapa pegawai SB menceritakan pengalaman seksual mereka.  Catatan kenyataan tahanan juga penuh dengan kesilapan kerana pegawai yang bertugas sering tertidur.

Menjelaskan layanan buruk sebagai pencabulan hak berperlembagaan, tahanan menggesa Suhakam menyiasat perkara tersebut.

Mereka juga menggesa Suhakam agar terus mengenakan tekanan ke atas kerajaan untuk memansuhkan ISA, membebaskan tahanan atau mendakwa mereka di mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, 18 tahanan mengeluarkan satu lagi memorandum kepada Suhakam mengenai sekatan-sekatan yang dikenakan oleh pihak kem tahanan semasa perjumpaan dengan peguam.

Mereka berkata pegawai kem tahanan memantau perjumpaan dalam jarak yang dapat didengar butir perbualan pada 31 Disember lalu dan menambah ianya melanggar Seksyen 126 Akta Bukti.

Mereka juga mendakwa dibahagikan kepada dua kumpulan dan diberi hanya sejam untuk berunding bersama peguam-peguam mereka.

 “Sekatan tersebut menyusahkan peguam-peguam kami untuk berunding, dengan sumber yang terhad dan masa yang terhad.

“Kami mempersoalkan sekatan-sekatan tersebut kerana sebelum perjumpaan tersebut, kami dibenarkan berunding dengan peguam dalam satu kumpulan yang besar sebanyak dua kali dan perjumpaan tersebut berjalan dengan baik.

“Tambahan, pegawai kem menipu kami mengatakan tindakan membahagikan mereka adalah  atas permintaan peguam-peguam kami.  Peguam kami menafikannya,” kata mereka.