Seruan Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:43 AM

Mahkamah tak ambil serius notis alibi Anwar

Kesatuan Antara Parlimen Antarabangsa kesal

Kesatuan Antara Parlimen Antarabangsa (IPU) melahirkan rasa kekesalannya atas sikap mahkamah Malaysia yang tidak mengambil tindakan yang serius di atas notis alibi yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 21 Januari lepas, hakim-hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Richard Malanjum dan Datuk Hashim Mohd Yusoff, memutuskan kegagalan Anwar untuk mengemukakan notis alibi sebagai alasan penolakan rayuan dan ikat jamin beliau, walaupun ia pada hakikatnya telah dikemukakan semasa perbicaraan sebelum itu.

Dalm persidangan IPU ke 104 pada 15 – 18 Januari yang lepas antara lain meluluskan resolusi megenai isu notis alibi tersebut.

“Kami melahirkan rasa prihatin bahawa notis alibi yang dikemukakan oleh Anwar tidak dianggap serius oleh Mahkamah Rayuan. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa ia menafikan hak Anwar untuk membela diri,” kata laporan badan itu.

IPU juga berharap rayuan yang dikemukakan oleh Anwar  ke Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari lepas, akan dipertimbangkan dengan adil.

“Kami percaya bahawa Mahkamah Persekutuan akan menimbangkan permohonan Anwar dengan bebas dan tidak memihak serta menghormati hak untuk membela diri, sesuai dengan peranan mahkamah sebagai institusi asas kepada sistem perundangan," kata IPU dalam kenyataannya.

Badan yang berpusat di Geneva itu menggesa supaya kerajaan segera memberi ikat jamin kepada Anwar dan membenarkan beliau mendapat rawatan perubatan pilihannya, seperti yang disyorkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sebelum ini.

Kenyataan IPU itu juga berkata, pihaknya amat kesal dengan laporan yang tidak benar Parlimen Malaysia mengenai tahap kesihatan Anwar.

September tahun lepas, Parlimen dalam laporan rasminya kepada IPU mendakwa Anwar mendapat keistimewaan menggunakan sebuah bilik ‘gimnasium’ yang besar dan berhawa dingin di Penjara Sungai Buloh.

Laporan setebal 11 muka surat itu juga menyebut bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu kerap dibawa ke hospital untuk menerima rawatan perubatan secara rutin.

Laporan tersebut telah dinafikan oleh Anwar malah kenyataan Suhakam juga membuktikan sebaliknya.

Dalam surat rasmi yang turut dialamatkan kepada Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail itu, IPU berkata, Parlimen Malaysia setakat ini belum memberi sebarang penjelasan berhubung laporan tidak benar itu.

Sehubungan itu, pihak IPU telah menggesa Parlimen membuat pendirian mengenai laporan peguam dan Suhakam berhubung tahap kesihatan Anwar.

“Kami juga dengan tegas percaya bahawa Parlimen, sebagai pihak yang menjaga hak asasi manusia, tidak seharusnya ragu-ragu untuk menyokong syor oleh Suhakam dan berusaha memanjangkannya supaya tindakan susulan dibuat oleh pihak berkuasa terbabit,” kata surat itu lagi.

IPU antara lain meluluskan resolusi meminta Parlimen Malaysia memberi jaminan akan membuat tindakan susulan berhubung syor Suhakam (mengenai Anwar) dan meminta pihak tertingi Parlimen untuk memaklumkan keputusan (resolusi IPU) kepada pihak berkuasa.

Ia juga meminta parlimen Malaysia memberi laporan mengenai Anwar dalam sidang IPU akan datang yang dijadualkan pada April depan.