Seruan Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:44 AM

Cakap tak serupa bikin

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mewarisi sistem penguatkuasaan negara yang telah hancur angkara perbuatan Tun Dr. Mahathir Mohamad cuba untuk memberikan gambaan bahawa beliau bersungguh-sungguh untuk memperbetulkan kepincangan sistem tersebut.

Semasa merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander Briged dan Pasukan Gerakan Am pada 29 Disember 2003 yang lalu di Putrajaya, Abdullah mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi memperbaiki imej dan mutu perkhidmatan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Melalui Suruhanjaya Diraja ini Abdullah mahu isu-isu rasuah, ketidakcekapan, layanan kasar dan isu-isu negatif yang melanda PDRM akan dapat diperbaiki.

Lebih menarik Abdullah mahukan polis memberikan tumpuan kepada soal hak asasi manusia kerana rakyat kini makin sedar hak mereka dan polis harus menghormati perkara tersebut.

Namun hakikatnya janji Abdullah itu hanya cantik di atas kertas ucapannya semasa perasmian persidangan tersebut. Polis masih tidak berubah. Layanan kepada masyarakat masih mengecewakan, kekerasan masih digunakan, hak asasi manusia tidak dihormati dan terus dicabuli malah penglibatan pegawai dan anggota polis dalam jenayah kebelakangan ini menambahkan lagi buruknya imej polis.

Insiden keganasan dan kekerasan polis semasa program Gerakan Anwar Bebas yang diadakan di Dataran Keadilan Permatang Pelanduk dalam Bahagian Pasir Salak, Perak menjadi bukti bagaimana polis masih tidak tahu menghormati hak asasi manusia dan hak sebuah parti berdaftar menurut Perlembagaan Persekutuan untuk menganjurkan program dalam premis dan kawasan milik peribadi.

Semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Abdullah sendiri pernah membuat kenyataan, parti-parti politik boleh membuat program di dalam premis persendirian.

Namun hakikatnya, Abdullah yang kini menjadi Perdana Menteri tidak mampu memastikan agensi di bawah seliaannya memahami hasratnya untuk memulihkan imej polis.

Beberapa insiden lain termasuk yang membabitkan seorang Cif Inspektor yang punya rekod jenayah masih dibenarkan bertugas oleh Ketua Polis Johor, Musa Hassan memperlihatkan sikap tidak peduli kepimpinan polis terhadap usaha memulihkan imej badan itu yang tercalar teruk.

Dapat disimpulkan, janji Abdullah tidak lebih daripada terpaksa menelan semula kata-katanya, cakap tak serupa bikin.