Seruan
Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:44 AM
Janji
Dollah pulih imej polis
“Oleh itu, PDRM sebagai sebuah
pasukan yang berurusan dengan orang ramai perlu arif tentang hak-hak
asasi manusia di dalam menjalankan tugas dan berurusan dengan anggota
masyarakat. Isu-isu seperti kekerasan polis, layanan yang tidak
memuaskan, gejala rasuah dan isu-isu negatif yanglain perlu dihapuskan.
Setiap anggota polis perlu
ingat bahawa mereka bertindak sebagai pelindung kepada masyarakat
umum. Oleh itu, anggota polis tidak boleh dilihat sebagai tidak
melindungi mereka apatah lagi menjadikan mereka sebagai mangsa
kerana kegagalan menjalankan amanah tugas dan tanggungjawab sebagaimana
yang telah diletakkan di atas bahu kita.
Suruhanjaya Diraja akan
memodenkan semua aspek operasi dan kerja polis, termasuk mengambilkira
teknik-teknik kepolisan terkini, isu-isu hak asasi manusia
termasuk isu-isu yang melibatkan kaum wanita.
Saya juga berharap suruhanjaya
ini dapat menangani isu-isu yang berhubungkait dengan tanggapan
masyarakat umum terhadap pasukan polis. Realitinya, masyarakat
hari ini semakin tinggi pendidikan mereka dan tambahan
pula mereka terdedah kepada pelbagai maklumat dari dalam dan
luar negara, maka dengan itu, mereka mempunyai kesedaran yang
lebih tinggi terhadap hak-hak asasi mereka dan isu-isu
pembangunan pemerintahan negara. Mereka akan menilai PDRM berasaskan
kepada hak-hak mereka sebagai rakyat”.
[Ucapan
Abdullah Badawi semasa merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis,
Ketua Polis, Komander Briged dan Pasukan Gerakan Am pada 29 Disember
2003 di Putrajaya.]
|