Seruan Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:39 AM

BICARA PRESIDEN

Harapkan pagar, pagar makan padi

Pagar siapa yang makan padi?

Beberapa perisitiwa yang berlaku di negara ini beberapa minggu lalu telah mengejutkan kita. Di antaranya termasuklah perkosaan dan pembunuhan kanak-kanak dan pembabitan anggota polis di dalam kegiatan jenayah. Dua peristiwa pembunuhan dan perkosaan kanak-kanak telah berlaku. Yang pertama berlaku di Sabah. Lebih kurang seminggu selepas itu, seorang lagi kanak-kanak diperkosa dan dibunuh di Johor. Peristiwa kedua ini telah menarik perhatian berbagai pihak. Orang politik menyatakan kemarahan dan polis menyatakan hasrat akan bertindak cepat. Kenapa peristiwa pertama tidak mencetuskan kemarahan dan reaksi yang kuat?

Untuk memahami keadaan ini, kita perlu memerhatikan satu lagi peristiwa. Pada Disember lalu seorang pemimpin Umno telah dipukul oleh beberapa orang pelumba haram. Peristiwa ini telah menjadi berita utama di beberapa suratkhabar. Pihak polis pun berikrar akan membanteras habis-habisan lumba haram. Sebenarnya, masalah lumba haram bukanlah masalah baru. Ia telah lama berlaku. Tetapi kali ini ia membabitkan seorang pemimpin Umno yang telah dipukul oleh pelumba haram. Jika yang dipukul hanya orang kampung biasa kemungkinan besar peristiwa ini tidak akan menjadi berita utama suratkhabar dan tiada siapa akan berikrar akan menentang lumba haram habis-habisan. 

Demikian juga dengan pembunuhan dan perkosaan yang berlaku terhadap dua orang kanak-kanak. Kita bersimpati terhadap kedua-dua keluarga dan berdoa agar mereka diberi kesabaran dan roh anak-anak mereka dicucuri rahmat. Namun, hanya peristiwa di Johor mendapat liputan meluas dan reaksi kuat. Ini kerana bapa mangsa adalah seorang pemimpin Umno.  

Inilah realiti sistem pemerintahan hari ini. Golongan elit mendapat keutamaan dan rakyat diabaikan. Apabila seorang peguam terkenal ditangkap di atas tuduhan membunuh, dia telah dibenarkan ikat jamin walau pun kes pembunuhan tidak boleh diberi jamin. Sebaliknya, Saudara Anwar Ibrahim dinafikan ikat jamin. Selain dari ini, terdapat berbagai kepincangan yang melibatkan tahanan polis yang mati dalam keadaan meragukan yang tidak diselesaikan. Sebaliknya, pihak polis akan bertindak pantas apabila menekan penyokong reformasi dan pengkritik parti pemerintah. Jika anda terlibat dalam kemalangan, bersabarlah menunggu kedatangan polis ke tempat kemalangan. Anda hanya rakyat biasa. Wakil kenderaan tunda lebih pantas tiba untuk membantu anda. 

Pembabitan anggota-anggota polis dalam jenayah semakin kerap menjadi berita. Ada yang berpandangan anggota-anggota polis yang bermasalah ini hanyalah golongan kecil dan tindakan mereka tidak direstui pihak atasan PDRM. Namun, jika kita membaca laporan dan penulisan mengenai layanan polis terhadap tahanan ISA, mungkin anda akan meragui pandangan ini.  

Badan-badan seperti polis dan kehakiman sepatutnya menjadi barisan yang mempertahankan kepentingan rakyat. Sebaliknya mereka lebih bertindak ibarat instrumen penindasan parti pemerintah. Mereka merasakan mereka bertanggungjawab melindungi kepentingan pemimpin politik dan bukan kepentingan rakyat. Malahan di Malaysia, badan-badan ini lebih bergelagat seperti lanjutan kepada parti pemerintah. Pegawai-pegawai badan-badan ini yang menyeleweng dan terlibat dalam rasuah tidak merasa takut kerana mereka tahu mereka akan dilindungi selagi mana mereka setia melindungi dan mempertahankan kepentingan parti yang memerintah. Sifat berkecuali dan berkhidmat untuk kepentingan rakyat tidak lagi wujud. Apabila mereka tidak berasa bertanggungjawab melindungi rakyat, ada yang menganggap mereka boleh mengganasi rakyat. Akibatnya, ada yang terbabit dalam jenayah. Tidak kurang juga mereka yang menganggap tiada salah mereka mengambil rasuah kerana jumlah yang mereka ambil adalah kecil jika dibandingkan dengan rasuah yang diambil pemimpin parti pemerintah. 

Seorang jurulatih telah menceritakan kepada saya pengalamannya ketika mengendalikan kursus latihan. Beliau telah bertanya para pelatih sama ada mereka akan berhenti jika mereka ditahan oleh seseorang ketika memandu seorang diri di waktu malam. Seperti yang boleh dijangkakan tiada siapa menyatakan kesediaan berhenti. Kemudian jurulatih ini bertanya bagaimana pula jika orang itu memakai pakaian seragam. Kali ini pun tiada siapa menyatakan akan berhenti.

Kemudian beliau bertanya lagi bagaimana jika orang itu adalah anggota polis. Sekali lagi, tiada siapa menyatakan kesediaan berhenti. Apabila perbincangan diadakan, diantara sebab utama pelatih menyatakan mereka tidak akan berhenti ialah mereka tidak pasti selamat walaupun dengan anggota polis sekali pun. Inilah tahap kredibiliti pasukan polis hari ini. Dan inilah juga tahap kredibiliti badan kehakiman dan lain-lain badan penguatkuasaan undang-undang. Seperti yang dikatakan Perdana Menteri, “harapkan pagar, pagar makan padi”. Persoalannya ialah siapakah yang memilih dan membina pagar itu?