Seruan
Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:35 AM
EDITORIAL
Pembaharuan
di mulut
Sekali lagi, dunia menyaksikan
mahkamah Malaysia menjadi medan mengesahkan sistem perundangan negara
ini memperlihatkan betapa kanunnya amat hebat tercatat di buku
tetapi pelaksanaannya masih menurut lidah dan lisan yang berkuasa.
Walaupun
telah diperkatakan sejak lima tahun yang lalu bersangkutan dengan
kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahkamah Malaysia nampaknya masih
tidak dapat bebas daripada belenggu penguasa dan perancangan politik
untuk menegakkan kanun yang hebat tercacat di kitab perundangan.
Terbaru
apabila Mahkamah Rayuan menolak permohonan ikat jamin yang dikemukakan
oleh Anwar memperlihatkan betapa pertimbangan undang-undang tidak
menjadi asas dalam membuat keputusan. Hujah yang dikemukakan saling
tak tumpah hujah orang politik yang mahu Anwar terus merengkok di
penjara.
Malah
insiden pelik yang berlaku seperti hakim meninggalkan ruang perbicaraan
secara tiba-tiba, keengganan membaca hujah bertulis semasa membuat
keputusan serta berdolak dalik dengan hujah undang-undang yang lebih
mirip kepada hujah politik memperlihatkan tiada perubahan yang boleh
diharapkan dalam sistem perundangan negara.
Anwar
menjadi mangsa keadaan. Itulah yang boleh disimpulkan dan diyakini
oleh seluruh rakyat. Jika dahulu, permohonan ikat jaminnya dalam
kes salah guna kuasa dan rasuah yang tidak melibatkan satu sen pun
wang ditolak kerana bimbang akan mencetuskan ketegangan lebih merupakan
usaha menyelamatkan tauke politik ketika itu Dr. Mahathir Mohamad.
Setelah itu dalam kes `liwat’
ketika di Mahkamah Tinggi, rayuan juga ditolak dengan alasan keselamatan
dalam negara. Masih sama juga hujahnya dengan desakan orang politik
parti yang memerintah. Kini Mahkamah Rayuan menggunakan Anwar tidak
mempunyai kelebihan di dalam rayuannya kerana telah menjalani hukuman
sebelum itu.
Jika
sebelum ini Anwar dinafikan haknya untuk diikat jamin kerana faktor
`keselamatan’ sama ada dalam negeri atau keselamatan hayat politik
parti pemerintah, rakyat boleh tentukan sendiri, kenapa kini hujah
telah menjalani hukuman menyebabkan Anwar tidak punya kelebihan
dalam rayuannya.
Ini
sudah seperti cerita ayam dengan telur. Ada yang kata ayam dulu
dan ada yang kata telur dulu. Itulah wajah mahkamah kita. Tatkala
permohonan dibuat untuk mendapatkan rayuan bagi kes yang pertam
dan kedua di awal perbicaraan, hujah undang-undang diketepikan.
Sebaliknya hujah politik termasuk soal keselamatan sentiasa bermain
di bibir hakim yang jelas tunduk kepada kemahuan penguasa politik
ketika itu.
Setelah
proses undang-undang dilalui, alasan penolakan dibuat kerana kononnya
ia berpandukan kepada peruntukan perundangan yang ada.
Inilah
hakikatnya apabila pembaharuan yang dijanjikan hanya di bibir dan
menjadi manisan kata-kata. Bertukar sahaja Ketua Hakim Negara, janji
pertama ialah untuk melaksanakan pembaharuan di dalam sistem perundangan
negara.
Mahkamah
yang diakui oleh semua pihak telah tercalar imej dan kewibawaannya
dikatakan akan melalui proses islah bagi meningkatkan semula keyakinan
rakyat kepada sitem kehakiman negara.
Malangnya,
mahkamah masih di takuk lama. Hakim tidak bebas daripada kehendak
penguasa politik. Skrip yang dikarang lima tahun lalu masih terus
dipatahui walaupun pengarah telah bertukar orang. Pengarah baru
turut menjanjikan perubahan tetapi tetap sama manis di bibir sahaja.
Inilah
cabaran yang ada di depan mata kita semua. Sama ada kita sedar atau
tidak banyak sudah janji manis dihamburkan tetapi ia hanya menjadi
solekan di bibir. Menjadi tanggungjawab kita sebagai pihak yang
ingin melihat pembaharuan menyeluruh dilakukan di negara ini untuk
memastikan kita memainkan peranan masing-masing untuk melakukan
perubahan tersebut.
Bagi
pemuka politik yang membawa obor perjuangan pembaharuan di negara
ini, harus membuktikan komitmen untuk benar-benar merealisasikan
pembaharuan yang hendak dibawa. Jangan kita sama tergolong menjadikan
janji pembaharuan sebagai solekan di bibir.
Ini
kerana solekan di bibir yang terlalu tebal tidak akan menjadikan
wajah lebih cantik dan indah di pandang tetapi adakalanya bertukar
menjadi hodoh dan ditertawakan orang. Janji yang menjurus kepada
agenda pembaharuan mestilah diterjemahkan dalam bentuk program dan
tindakan. Pendedahan dan pembongkaran sementara penting terus dilakukan
ia harus diiringi dengan program dan pelaksanaan yang dapat disaksikan
oleh rakyat.
Manakala
bagi pendukung gerakan pembaharuan di negara ini, kita harus cekal
dan tabah dalam menghadapi rintangan yang mendatang. Kita bertanggungjawab
menuntut agar pembaharuan benar-benar dilaksanakan. Budaya menegur
untuk memastikan pembaharuan benar-benar menjadi kenyataan harus
diamalkan.
Budaya
berbeza pendapat ke arah membawa kebaikan perlu lebih merakyat.
Kita yakin sekiranya semua komponen yang membawa agenda pembaharuan
ini - pemimpin, penyokong dan pentadbiran serta jentera digerakkan
- pembaharuan tidak akan hanya di mulut dan tidak menjadi penghias
serta solekan semata-mata.
|