Seruan Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:34 AM

MINDA ANWAR

Hak perubatan dinafikan, ikat jamin ditolak

Dollah terus zalimi saya

Oleh: Anwar Ibrahim

Saya musykil mengapa begitu sukar saya memperolehi rawatan setelah mengadu kesakitan. Dalam insiden terbaru, saya mengalami sakit kuat di bahagian belakang sejak sebulan lalu. Pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kemudiannya datang dan mencadangkan tambahan ubat penahan sakit.

Kebetulan pada minggu berikutnya wakil Suhakam, Hamdan Adnan serta Asiah berkunjung ke penjara dan sempat menjengok saya di sel. Mereka kemudiannya melihat sendiri bilik rehat dengan satu katil untuk senaman yang disebut dalam laporan rasmi kerajaan Malaysia kepada Kesatuan Antara parlimen (IPU) sebagai sebuah ‘gymnasium’ yang lengkap dengan peralatan fisioterapi.

Azizah menulis kepada Suhakam sesudah itu memohon perhatian mengenai keperluan rawatan sementara menunggu kelulusan kerajaan mengenai pembedahan endoskopik. Tiga minggu berlalu dalam kesakitan tanpa sebarang tindakan. Pihak penjara sudah membuat persediaan untuk mebawa saya ke HKL bagi mendapat pemeriksaan dan rawatan. Hari berlalu tanpa sebarang kepastian dari HKL.

Sabtu (3 Januari) setelah genap sebulan saya menderita kesakitan, doktor dari HKL (Dr Jayainderan) tiba dan membuat pemeriksaan ringkas serta memberi suntikan ubat penahan sakit. Beliau memberi jaminan untuk menguruskan hal pemeriksaan oleh pakar ortopedik dan rawatan. Namun, hanya setelah didesak, barulah pakar Ortopedik HKL (Dr Mazwa Sofiyan) dimaklumkan dan beliau tiba dipanjara pada petang hari berikutnya.

Setelah membuat pemeriksaan, beliau memutuskan supaya saya di bawa ke HKL keesokan harinya untuk ujian imbasan (scan) MRI dan imbasan CT serta rawatan fisioterapi. Kedua ujian tersebut mengesahkan wujudnya masalah baru yang menyebabkan bertambahnya kesakitan; iaitu pergeseran tulang dan prolapse-disc (tulang sum-sum) baru meskipun ditahap rendah. Untuk dua minggu berikutnya, saya akan dirawat di Jabatan Fisioterapi, HKL, tiga kali seminggu (Isnin, Rabu, Jumaat) secara berulang alik dari Sungai Buloh.

Kepada semua pakar dan tenaga HKL serta pegawai penjara yang membantu, saya ucapkan terima kasih. Kemusykilan yang saya bangkitkan ialah mengenai sikap politik pemerintah yang begitu kejam dan berdendam menafikan hak saya serta mempersulit kedudukan saya yang sudah perit ini. Mereka begitu menyekat sebarang usaha mebawa keluar saya dari penjara, walaupun untuk rawatan saja, apa lagi untuk dimasukkan ke wad HKL.

Beberapa maklumat yang diterima dari pemimpin kerajaan dan Umno yang bersimpati, mereka (pentadbiran Abdullah Badawi) menganggap isu kesihatan saya sebagai sengaja dipolitikkan. Malah ada suara nakal yang mempertikai kesakitan yang saya alami. Amat malang bagi penguasa yang membicara soal kebenaran, ingin berlaku adil dan saksama tetapi masih kuat berdendam kesumat. Jika tidak mengapa (penguasa berkenaan) diminta saja laporan daripada pakar Ortopedik dan Neurologi bersama pihak penjara dengan gambar MRI dan CT sebagai bukti?

Mahkamah Malaysia catat rekod dunia!

Badan kehakiman Malaysia mencatat rekod dunia kerana mengambil masa paling lama untuk memutuskan isu ikat jamin yang lazimnya diputuskan oleh majistret dalam masa setengah jam. Jelas mereka bertindak di bawah kuku penguasa eksekutif. Ini bermakna pemimpin bertukar ganti, tetapi dasar memporak-peranda institusi kehakiman untuk kepentingan politik masih diteruskan. Kini hampir tiga bulan saya dipenjara oleh Perdana Menteri baru, Datuk Seri Abdullah Badawi. Saya tidak percaya beliau jahil mengenai mahkamah. Beliau tentu maklum bagaimana tarikh pertuduhan ditukar, saksi dipaksa, peguam dihukum dan kini isu kehilangan dokumen notis alibi oleh mahkamah. Sekiranya beliau tidak terlibat dengan konspirasi memfitnah dan memenjara saya, mengapa dibiarkan kezaliman berterusan? Apakah wajar pertimbangan pengukuhan kuasa dan pilihanraya dijadikan alasan untuk terus mendera saya?

Saya tidak memohon apa-apa, selain menuntut keadilan, atau keputusan sebuah mahkamah bebas dan adil. Janganlah ada kalangan yang mengulangi pembohongan Dr Mahathir Mohamad mengenai wujudnya mahkamah bebas di Malaysia. Kes dan penderaan yang diperlakukan ke atas saya bukan saja tertolak mengikut hukum syarak, tetapi tidak dapat dipertahan dalam sistem sivil sedia ada. Janganlah nafsu serakah dan dendam kesumat menyebabkan hukum dibenamkan dan agama dipinggir! Walau bagaimanapun, saya ulangi pengakuan saya bahawa Abdullah memang menampilkan sosok sederhana dan beberapa kenyataan awal beliau melegakan, cuma tindakan dinantikan (tak kunjung tiba?).

Mengenai rasuah, heboh juga tindakan ke atas ikan-ikan bilis, termasuk pegawai kastam yang membawa RM10, tetapi rasuah menteri berpuluh juta masih terbenam. Beliau berbicara mengenai ketelusan, tetapi media terus dikongkong ketat, bahkan digunakan untuk mencaci pembangkang, khususnya PAS. Begitu juga kongkongan pelajar di kampus, larangan ceramah dan sekatan polis.

Kini Abdullah mengulangi hasrat beliau supaya badan kehakiman memutuskan dengan adil tanpa ‘fear or favour’. Apakah benar beliau punyai kesungguhan dan kekuatan untuk mempastikan keadilan ditegakkan? Sewajarnya beliau mulai dengan penyiasatan oleh polis, pendakwaan yang tidak memilih bulu dan perlantikan hakim yang berwibawa terutamanya bagi kes-kes yang menyentuh politik. Seandainya tidak, kita akan lihat retorik yang berjela-jela, manakala kezaliman bermaharajalela.