Seruan
Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:40 AM
Kad
Tahun Baru, Pak Lah dan Dong Jiao Zong
Oleh:
Lee Ban Chen
Tukang
imej dan "think-tank" Pak Lah rasanya kuat bekerja dalam
peringkat peralihan kuasa ini, apatah lagi menjelang pilihanraya
umum akan datang. Beberapa minggu lalu, semua akhbar Cina telah
mencetak Kad Tahun Baru Cina Pak Lah kepada masyarakat Cina. Ia
adalah suatu kad yang biasa sahaja, tetapi istimewa.
Istimewa
kerana ia datang dari seorang Perdana Menteri. Ia menggunakan bahasa
Cina yang selama ini dipinggirkan oleh Kerajaan Barisan Nasional
(BN). Dan kad itu direka mengikut bentuk tradisi Cina, iaitu dalam
"antithetical couplet".
Isinya
lebih kurang bermakna: "Musim Bunga diabadikan keharmonian
rakyat, Negara selamat hasil kestabilan politik".
Ini
memang klise BN, tetapi masih merupakan impian masyarakat Cina yang
kadangkala hidup dalam ketakutan sebagai kaum minoriti yang tertindas
apabila suasana permusuhan ditimbulkan oleh tuduhan pemimpin atau
golongan pelampau yang tidak bertanggungjawab, untuk tujuan politik
perkauman.
Kaum
Cina juga pelupa dan senang dipujuk. Pak Lah, selaku Perdana Menteri,
menggunakan tulisan Cina untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina
kepada masyarakat Cina, tentu akan disebut-sebut sebagai bukti sikap
liberal beliau, seperti contoh klasik Anwar Ibrahim, yang menggunakan
moupit untuk menulis "kita adalah satu keluarga" dalam
tulisan Cina.
Saya
tidak bertujuan untuk menuduh Pak Lah berbuat demikian untuk memancing
undi masyarakat Cina dalam pilihanraya umum akan datang. Saya hanya
berharap sikap liberal ini dapat diperlihatkan secara lebih konsisten
dalam pelaksanaan dasar kerajaan, umpamanya berkaitan dengan beberapa
dasar pendidikan yang agak kontroversial.
Bahasa
ibunda
Dari
media, saya mengetahui pihak Dong Jiao Zong, iaitu Persekutuan Persatuan-Persatuan
Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Gabungan Persatuan-persatuan
Guru-guru Sekolah Cina Malaysia, telah berkali-kali meminta untuk
berjumpa dengan Pak Lah bagi membincang dan mencari penyelesaian
terhadap masalah-masalah berkaitan dengan pendidikan bahasa ibunda,
tetapi langsung tidak diberi peluang untuk berbuat demikian.
Maklumlah
Pak Lah sangat sibuk, tetapi masakan tidak boleh meluangkan beberapa
jam untuk berjumpa dengan mereka? Atau setidak-tidaknya berilah
satu tarikh pertemuan kepada mereka.
Ini
mungkin bukan masalah sibuk atau tidak, tetapi boleh jadi enggan
berjumpa dengan mereka. Soalan saya ialah jika badan-badan bukan
kerajaan seperti Dong Jiao Zong menghadapi masalah hendak berjumpa
dengan mana-mana menteri atau Perdana Menteri untuk meminta bantuan,
jadi adakah mereka patut dilayani?
Dengan
kata lain, adakah seseorang menteri atau Perdana Menteri yang mendabik
dada, kononnya bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat itu, berhak
menolak permintaan badan-badan bukan kerajaan untuk berjumpa dengan
mereka?
Baru-baru
ini, MCA dan Gerakan seolah-olah telah mengambil alih peranan Dong
Jiao Zong dalam menangani masalah sekolah Cina, tetapi tidak semestinya
dapat mewakili pendapat dan kepentingan sekolah-sekolah yang berkaitan.
Tipu
helah
Satu
contoh yang baik ialah mengenai pembukaan semula SRJK(C) Damansara.
Sudah melebih 1,000 hari penduduk Damansara meminta supaya bangunan
sekolah yang dikosongkan itu, dibuka semula untuk menempatkan murid-murid
terbabit. Ia memang suatu permintaan yang munasabah.
Tetapi
MCA telah memberi kata putus bahawa isu itu sudah ditutup dan telah
diterima sebulat suara oleh badan-badan pimpinan masyarakat Cina.
Ini tipu helah yang tidak bertanggungjawab, kerana Dong Jiao Zong,
malah SRJK(C) Damansara sendiri, tidak diundang untuk menghadiri
masyuarat berkenaan.
Dan
lebih penting lagi, tiada mana-mana pihak yang berhak untuk menafikan
hak penduduk Damansara yang bertekad untuk memperjuangkan pembukaan
semula sekolah milik mereka itu.
Sesiapa
yang berfikiran rasional dan tidak berprasangka atau mempunyai berkepentingan
tentu, akan bersetuju bahawa lebih baik bangunan sekolah yang dikosongkan
itu, digunakan oleh murid-murid yang memerlukan tempat yang lebih
selesa dan luas, berbanding dengan tempat-tempat sementara yang
digunakan sekarang.
Lebih
tidak bertanggungjawab ialah kempen bisik-bisikan yang tersebar
bahawa Pak Lah tidak berani hendak membuka semula sekolah tersebut,
kerana Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu sekolah itu terus ditutup.
Kalau
Pak Lah benar-benar hendak melaksanakan dasar mesra-rakyat, dan
menangani dasar pendidikan secara telus dan terbuka, kenapa tidak
mengunjungi SRJK(C) Damansara bersama pemimpin-pemimpin Dong Jiao
Zong dan Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad, untuk mencari
suatu penyelesaian yang dapat diterima oleh semua pihak?
MCA
dan Gerakan cuba meminggirkan Dong Jiao Zong. Ini mudah difahami,
kerana parti-parti itu hendak menutup ketidak-mampuan mereka dalam
mempertahankan kepentingan sekolah Cina.
Tetapi
kenapa pula Pak Lah perlu meminggirkan Dong Jiao Zong, jika beliau
benar-benar bersikap liberal dan ingin melaksanakan dasar mesra-rakyat
telus dan terbuka yang tentunya dialu-alukan? - Malaysiakini
|