Seruan Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:42 AM

Hanya rakyat mampu bebaskan Anwar

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Harapan rakyat untuk melihat proses keadilan di mahkamah dipulihkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hancur berkecai. Warisan kezaliman regim terdahulu dipusakainya dengan kemas sekali.

Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim - yang teraniaya di penjara sejak lima tahun lima bulan dahulu – untuk dibebaskan dengan ikat jamin, sementara menunggu rayuan atas kesalahan liwat, ditolak tanpa sebarang alasan oleh Mahkamah Rayuan, petang ini, Rabu 21 Januari 2004.

Benarlah kata seorang teman, hampir enam tahun dulu: “Anwar boleh mendapatkan 100 peguam terhebat membelanya, tetapi cukuplah Perdana Menteri dengan seorang hakim yang dipercayainya!”

Sebenarnya mahkamah terlewat enam bulan sebelum membuat keputusan itu, sesuatu yang seakan-akan mahu memaklumkan bahawa kes ini perlu dirujuk dan dipertimbangkan oleh pihak lebih atas.

Rekod dunia

Anwar pernah menegaskan: “Badan kehakiman Malaysia mencatat rekod dunia kerana mengambil masa paling lama untuk memutuskan isu ikat jamin yang lazimnya diputuskan oleh majistret dalam masa setengah jam.”

Sayang, Abdullah seperti sengaja melepaskan peluang, bukan saja untuk memulihkan imej partinya, Umno, yang terjunam teruk dalam pilihanraya 1999 ekoran saga Anwar ini, tetapi juga membiarkan dirinya terus terpalit dengan dakwaan “penerus kezaliman Mahathir”.

Tiada siapa percaya bahawa hakim-hakim yang terlibat mendengar dan memutuskan kes ini, bermula April tahun lalu, yakni Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Pajan Singh Gill yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Rayuan bersama Datuk Richard Malanjum dan Datuk Hashim Mohd Yusoff, dapat merumuskan keputusan secara bebas, tanpa dipengaruhi tangan-tangan ghaib elit pemerintah.

Melalui tulisannya dalam Harakah, Anwar membuat rumusan awal: “Jelas mereka (para hakim) bertindak di bawah kuku penguasa eksekutif. Ini bermakna pemimpin bertukar ganti, tetapi dasar memporak-perandakan institusi kehakiman untuk kepentingan politik masih diteruskan.”

Kekallah imej buruk kehakiman

Rasanya tiada pesalah kes liwat sebelum ini yang tidak dibenarkan untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu proses rayuan selesai. Ia makin menambah kuat lagi tanggapan umum bahawa sistem kehakiman di Malaysia terus dibelenggu oleh tekanan elit pemerintah.

Permohonan ikat jamin Anwar bersama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja mendapat perhatian besar media antarabangsa. Ramai pejuang hak asasi manusia di seluruh dunia mengharapkan Anwar dibebaskan kerana ia dapat memulihkan imej buruk proses keadilan di negara ini.

Jelas, Abdullah tidak tertarik untuk memulihkan imej negara di mata dunia, sebaliknya lebih terikat dengan janjinya kepada Mahathir “untuk tidak membebaskan Anwar sebelum masanya”.

Beliau juga lebih memikirkan implikasi buruk ikat jamin Anwar terhadap proses pilihanraya yang dijangka diadakan bila-bila masa saja.

Sarat politik

Keputusan terbaru ini juga mengukuhkan lagi tanggapan bahawa segala pertuduhan yang dihadapkan ke atas Anwar sarat dengan motif politik yang tebal. Anwar dilihat terperangkap dalam satu konspirasi politik peringkat tertinggi, yang cuba menghalangnya dari mencabar Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun Abdullah Badawi tidak dilihat terbabit dalam konspirasi itu. Justeru, ramai mengharapkan beliau dapat berlaku adil menangani isu yang cukup sensitif kepada pengundi Melayu ini.

Namun Abdullah bertindak sebaliknya, seolah-olah menganggap Anwar adalah seteru ketat yang perlu dibiarkan terus merengkok kesakitan sambil mengharapkan Anwar hilang sebarang potensi untuk menggugatnya.

Anwar mengingatkannya: “Sekiranya beliau tidak terlibat dengan konspirasi memfitnah dan memenjara saya, mengapakan kezaliman berterusan? Adakah wajar pertimbangan pengukuhan kuasa dan pilihanraya dijadikan alasan untuk terus mendera saya?”

Bukan satu rahsia umum lagi apabila seluruh agensi kerajaan, bermula pihak polis, Jabatan Peguam Negara dan seluruh sistem kehakiman diperalatkan pemerintah bagi menyudutkan Anwar ke satu penjuru yang gelap dan terasing, jauh dari rakyat.

Sememangnya Anwar adalah seorang tahanan politik yang dilihat begitu berbahaya, bukan saja kepada PM ketika itu, tetapi dikatakan mampu menggugat kebobrokan asas sistem pemerintahan yang dicemari rasuah, salahguna kuasa, kronisme, nepotisme dan sebagainya.

Anwar dihukum penjara penjara sembilan tahun atas “sabitan kesalahan liwat” bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar. Manakala Sukma dihukum enam tahun penjara dan empat sebatan. Anwar kini dikurung di Sungai Buloh, sedangkan Sukma di penjara Kajang.

Sebelum itu, Anwar yang dipecat Mahathir, pada 2 September 1998, juga didapati bersalah atas dakwaan melakukan rasuah, yang tidak membabitkan wang walau satu sen pun. Bagaimanapun beliau telah “melangsaikan” hukumannya itu lebih setahun lalu.

Perbicaraan kes liwat pula akan dikenang dengan pelbagai cerita aneh, seumpama membawa tilam, lendir dan bulu ke mahkamah, untuk membuktikan bahawa Anwar sememangnya seorang tokoh yang buruk akhlaknya. (Seolah-olah semua ahli Kabinet Mahathir ketika itu begitu baik perangai mereka). Anehnya, “bukti-bukti itu” kemudiannya “ditarik balik” sebelum Anwar membuat pembelaan.

Lonjakkan semangat rakyat

Apa pun saya kira, keputusan luarbiasa mahkamah ini akan melonjakkan lagi semangat dan keazaman rakyat, khususnya pendokong reformasi, untuk bersama-sama menggembleng tenaga, bagi membebaskan wira yang teraniaya sekian lama.

Program Gerakan Anwar Bebas dijangka lebih bertenaga dengan momentum baru ini.

Benar sekali, hanya tekad dan azam rakyat sahaja yang dapat membebaskan Anwar dari belenggu kezaliman Umno!

Namun, satu lagi harapan kemanusiaan kepada Abdullah, agar Anwar dapat diberikan kemudahan rawatan ke luar negara. Janganlah mempolitikkan isu kesihatannya itu, seperti mendakwa Anwar sengaja berlakon sakit.

Cukuplah Pak Lah, bersedialah untuk mendengar yang benar, seperti yang Datuk Seri mahukan!