Seruan Keadilan Online - Saturday, February 21, 2004 12:42 AM

Kedaulatan undang-undang tiada nilainya tanpa keadilan

Oleh: Raja Komando

Dengan keputusan penolakan permohanan ikat jamin Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Putrajaya maka adalah jelas sistem Demokrasi dan Raja Berpelembagaan negara ini adalah satu pembohongan oleh pemerintahan Barisan Nasional/Umno; di mana kononnya “kuasa di tangan rakyat” dan Malaysia sebuah Negara Islam.

Pemerintahan 22 tahun Mahathir yang mendirikan sistem totaliter, tujuan utamanya ialah memaksakan (melalui Aku Janji) kehendak Mahathir serta kekuasaan beliau dan memantapkan sistem (cara pemerintahan) Mahathir agar dapat lebih lama waktunya. Bahkan Mahathir menghendaki sistem cara pemerintahannya tetap berjalan bagi anak keturunan beliau atau bagi orang-orang yang Mahathir pilih (seperti Pak Lah); agar meneruskan kekuasaan Mahathir.

Oleh sebab itu kekuasaan dipusatkan pada peribadi penguasa tunggal (Pak Lah) dan pembantu-pembantu serta pengawal-pengawalnya (hakim-hakim, Ketua Polis, serta pengarah-pengarah kementerian dan jabatan kerajaan). Semua ini merupakan golongan minoritas bila dibanding dengan jumhur atau khalayak ramai. Namun penguasa dapat mengeksploitasi jumhur atau khalayak ramai dan dapat meneguhkan kekuasaannya lebih lama, dan dapat menumpas gerakan yang mana pun yang menginginkan perubahan atau membenahi keadaan yang menyimpang atas nama demokrasi.

Kesimpulannya; Ahli-Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kononnya mewakili rakyat adalah palsu dan satu pembohongan sistem demokrasi moden. Mereka ini – Ahli Parlimen dan DUN – sebenarnya adalah “Diktator Demokrasi” dalam sistem Demokrasi ala “Mahathir Boleh”. Tidak wujud sebenarnya sistem demokrasi sebenar di mana prinsip pemisahan antara dua lembaga - legislatif dan eksekutif; kerana Perdana Menteri dengan majoriti 2/3 anggota Parlimen (melantik hakim-hakim bukan Yang DiPertuan Agong…pindaan kuasa mutlak Raja). Yang DiPertuan Agong dijadikan sebagai “rubber stamp”. Tiga puluh hari tidak tanda tangani [rang undang-undang] dikira lulus oleh Parlimen. Dengan demikian, kerajaan BN/Umno mengendalikan dua kekuasaan sekaligus: Eksekutif dan legislatif. Dengan demikian, prinsip pemisahan antara kedua badan itu hanya merupakan prinsip teoritis. Mahathir dan Pak Lah adalah Diktator Demokrasi moden.

Satu persoalan lagi ingin saya perkatakan di sini: apakah perasaan atau peranan Majlis Raja-Raja Melayu dalam isu penolakan permohonan ikat jamin Datuk Seri Anwar tanpa sebab itu? Zaman penjajah dahulu British boleh mengugut Raja-Raja Melayu dengan menaikkan dan menurunkan mana-mana Sultan yang tidak mahu menurut kehendak penjajah. Apakah perkara ini masih wujud di zaman kemerdekaan? Pepatah Cina lama menyebut: “Ikan busuk bermula daripada kepala”.  Siapakah Ketua Negara dalam sistem Demokrasi dan Raja Berpelembagaan Malaysia? Saya kurang pasti.