Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 10:04 AM

KDN gagal ikut prosedur perintah tahanan

5 pelajar tidak dibawa ke Kamunting

Oleh: Nazatul Nazra

Pada 8 Disember 2003, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melanjutkan tahanan lima orang pelajar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA) kepada dua tahun.

Lima orang pelajar tersebut ialah Muhammad Radzi Abdul Razak, Mohd Akil Abdul Raof, Eddy Erman Shahime, Abi Dzar Jaafar dan Mohd Ikhwan Abdullah.

Dari awal penahanan pelajar-pelajar tersebut, telah timbul banyak persoalan dan diselubungi ketidakpastian. Keadaan ini, seterusnya memberi tekanan kepada ahli-ahli keluarga akan keadaan anak-anak mereka.

Ibubapa Mohd Akil dan Mohd Ikhwan dibenarkan melawat anak mereka pada 12 Disember 2003 dan 14 Disember, di Ibu Pejabat Bukit Aman.

Ibu kepada Muhammad Radzi telah pergi ke Kamunting untuk menziarah anaknya tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana anaknya tidak berada di Kem Tahanan Kamunting.

Begitu juga keluarga Abi Dzar yang dibenarkan melawat anak mereka di Ibu Pejabat Bukit Aman pada 17 Disember 2003. Semua ini menunjukkan pelajar-pelajar tersebut tidak berada di Kamunting.

Kementerian Dalam Negeri dan polis bertanggungjawab memberi penjelasan, mengapa pelajar-pelajar tersebut tidak dihantar ke Kamunting. Adakah mereka masih disoal siasat oleh polis? 

Jika mereka masih disoal siasat, atas alasan apa, dan apakah sebab tahanan mereka telah dilanjutkan kepada dua tahunan jika siasatan masih berjalan.

Keluarga Eddy Erman dan Muhammad Radzi tidak dibenarkan berjumpa anak mereka, sedangkan di bawah Seksyen 8 ISA, tahanan berhak mendapat lawatan sekali seminggu oleh keluarga dan peguam-peguam.

Semenjak 8 Disember 2003, setelah penahanan mereka dilanjutkan kepada dua tahun, keluarga kedua pelajar tersebut, belum dapat berjumpa.

KDN gagal mengemukakan perintah tahanan dua tahun dan dokumen yang menetapkan penahanan tersebut ke atas lima pelajar, seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 11 Akta ISA.

Aishah Kamari, ibu kepada Abi Dzar, telah berjumpa anaknya, dan kata-kata yang keluar dari mulut anaknya, “jangan ambil peguam, saya tak mau tanda tangan”.

Terdapat 9 pegawai cawangan khas (SB) yang berada bersama semasa perjumpaan tersebut dan Abi Dzar kelihatan pucat dan tidak seperti biasa dan bercakap seolah mengulangi skrip yang telah diajar.

Apabila ahli keluarga dua tahanan meminta dokumen penahanan daripada Bukit Aman, polis memberitahu, mereka perlu rujuk perkara tersebut kepada pegawai atasan.

Kegagalan KDN membuat pengumuman rasmi tentang lanjutan tahanan dua tahun dan alasan tahanan, menimbulkan persoalan tentang ketelusan yang diamalkan oleh polis dan KDN. Tindakan yang tidak telus membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran hak asasi manusia.

Menteri Dalam Negeri dan juga Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu menunaikan janjinya untuk lebih telus dalam tindakan dan keputusannya.

Mengekalkan ISA hanya akan membuatkan KDN tidak telus kerana berselindung di belakang alasan ‘mengancam keselamatan negara’ dan tidak mengemukakan bukti untuk mendakwa mereka yang dituduh bersalah di mahkamah terbuka.