Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 10:59 AM

Jangan layani helah politik Umno

Semua pihak digesa agar tidak terpedaya dengan helah politik parti pemerintah terutama Umno yang kononnya akan berlaku proses ‘rujuk kembali’ kepimpinan Parti Keadilan Nasional (keADILan) ke dalam parti itu.

Timbalan Presiden keADILan,  Abdul Rahman Othman berkata, sebaliknya ahli-ahli parti dituntut untuk menumpukan sepenuh tenaga dan perjatian mereka ke arah memenangi pilihanraya umum yang akan datang.

“Saya minta kita jangan melayani cerita-cerita titik bengik ini. Tumpuan kita adalah untuk memenangi pilihanraya umum yang akan datang kerana dengan kemenangan sahajalah baru dapat kita membentuk Malaysia yang baru, adil aman dan makmur untuk semua,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas mengenai penyebaran fitnah dan desas-desus yang menyebut ada kalangan pemimpin keADILan kini dalam proses rundingan untuk meninggalkan keADILan.

Malah fitnah yang paling hangat diperkatakan termasuklah kononnya perundingan tersebut membabitkan soal pembebasan Penasihat keADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seruan Keadilan Bil 27 yang lalu menyiarkan kenyataan keras Anwar di muka hadapan dengan menyebut cerita mengenai adanya perundingan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu cerita karut.

Kenyataan tegas Anwar itu memberikan isyarat yang jelas bahawa perjuangan membela nasib rakyat bukanlah merupakan sesuatu yang dikompromi oleh keADILan.

Sebaliknya pernyataan tegas dan terbuka itu membuktikan komitmen keADILan untuk meneruskan agenda perjuangan membela nasib rakyat dan membentuk negara yang adil buat semua tetap menjadi keutamaan.

Menurut Abdul Rahman,  harus diakui pemimpin keADILan memang menjadi rebutan dan tumpuan banyak pihak kerana komitmen dan kemampuan membawa agenda perjuangan.

Malah katanya, para pemimpin keADILan telah teruji sedia menghadapi pelbagai risiko dalam membela nasib rakyat.

“Dengan sebab itu saya ibaratkan ada pihak-pihak yang ingin menjadi ‘bounty hunters’ iaitu pemburu hadiah yang cuba mendekati pemimpin keADILan dengan harapan mereka akan mendapat habuan sekiranya berjaya mempengaruhi pemimpin keADILan menyertai mereka.

“Inilah senario yang berlaku. Dengan itu kita tidak perlu melayani cerita-cerita ini kerana cabaran di depan kita jauh lebih besar iaitu memenangi pilihanraya umum yang akan datang,” ujar beliau.

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak agar tidak melatah atau terpengaruh dengan fitnah yang disebarkan.