Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 11:01 AM

Pentadbir UKM berpihak kepada politik Umno

Pentadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akhir-akhir ini dilihat sebagai berpihak kepada politik Umno sejak perlantikan Naib Canselor baru, Prof Datuk Dr Mohd Salleh Mohd Yasin, adik kepada Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Muhyiddin Yasin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Dr Shafie Abu Bakar dalam sidang medianya menegaskan, sejak Mohd Salleh dilantik sebagai Naib Canselor, pintu universiti telah dibuka untuk program-program politik Umno melalui penggunaan kemudahan dan ruang kampus.

Dr Shafie berkata, perkara tersebut terbukti dalam pilihan raya kampus yang lalu, di mana Mohd Salleh bersama Timbalan Naib Canselor, Prof Datuk Mohd Wahid Samsudin yang dilantik sejurus selepas perlantikan beliau, bersikap berat sebelah dan tidak telus.

Jelasnya Dr Shafie, pilihan raya tersebut memihak kepada calon Aspirasi Kerajaan yang menggunakan seluruh jentera dan pentadbiran universiti serta kolej kediaman bagi mencapai matlamat politik BN dan Umno.

Katanya lagi, keputusan pilihan raya tersebut mendapat bantahan hebat daripada pelajar dan Alumni UKM hingga dibawa kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Selain itu tegas Dr Shafie, pencabulan otonomi universiti dilihat semakin serius, dengan Umno begitu mudah mengadakan program di UKM tanpa sebarang sekatan malah seolah-olah dialukan oleh pentadbir dan pimpinan universiti.

Sebagai contoh kata Dr Shafie, Umno sekali lagi mengadakan Konvensyen Pendidikan Umno pada pertengahan Mei 2003, selain beberapa program Umno sekitar Bandar Baru Bangi yang menggunakan peralatan dari UKM.

“Kami turut kesal, bukan setakat itu sahaja campurtangan Umno, malah pihak pentadbir telah menyalahgunakan laman web UKM untuk mengempen kakitangan dan pelajar menghadiri upacara pembukaan Pejabat Umno Serdang dan Majlis Hari Terbuka Umno kawasan tersebut,” tegas Dr Shafie.

Beliau berkata demikian semasa memberi respon kepada kenyataan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohammad yang mengarahkan dua kakitangan akademik UKM memberi penjelasan mengenai artikel mereka yang mengkritik dasar kerajaan.

Kata Dr Shafie, semasa Prof Dr Shahrir dan Dr Rosli dipanggil Musa, mereka diarahkan memberi penjelasan mengenai kritikannya terhadap kajian penggunaan Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik untuk pendidikan sekolah rendah dan menegah.

Tambah Dr Shafie, kritikan Dr Shahrir dan Dr Rosli yang menyelar tindakan Musa yang menggunakan hanya beberapa contoh sekolah yang sememangnya sudah diketahui cemerlang sebelum perlaksanaan dasar tersebut sebagai kayu pengukur keberkesanan dasar bahasa Inggeris.

Yang jelas kata Dr Shafie, ia dilihat bermotif politik untuk mengaburi mata masyarakat dengan menyembunyikan kesan sebenar yang dihadapi pelajar terutamanya pelajar luar bandar yang terdiri daripada kaum Melayu.

Sehubungan itu Dr Shafie yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor membantah keras terhadap tindakan Musa mengarahkan dua kakitangan akademik tersebut memberi keterangan selain pentadbir UKM yang secara terang-terangan berpihak dan terlibat sama dengan kerja-kerja politik Umno di kampus.

“Umno seharusnya merasa malu merosakkan imej sebuah institusi akademik universiti dengan campur tangan politik yang pada awalnya ditentang oleh pemimpin Umno semasa UKM mula ditubuhkan,” tegasnya lagi.

Dr Shafie sekali lagi mengingatkan bahawa UKM telah berdiri sebagai sebuah universiti yang berwibawa puluhan tahun lamanya, justeru institusi tersebut harus dipertahankan daripada pemimpin yang tidak berwibawa.