Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 11:02 AM

Parti Keadilan Rakyat menanti kelulusan ROS

Parti Keadilan Rakyat (keADILan) mengulangi rasa kecewa atas kelewatan kelulusan percantumannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Dalam kenyataan bersama, presiden keADILan Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalan Dr Syed Husin Ali, berkata mereka berharap ROS tidak akan menangguhkan pendaftaran parti pembangkang.

Mereka berharap ada perubahan setelah Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mengalu-alukan percantuman MCA dan Gerakan.

Pada 15 September, ROS memaklumkan, cadangan singkatan parti – Keadilan – ditolak dan parti patut mencari singkatan yang baru.

Keadilan telah merayu kepada Abdullah sebagai Menteri Dalam Negeri, tetapi Abdullah belum memberi apa-apa jawapan.

“Ada banyak persoalan berkaitan permohonan kami. Pihak ROS mengambil hampir setahun untuk memaklumkan (parti) nama tidak sesuai,” kedua pemimpin berkata.

“Pertukaran nama dan pindaan perlembagaan parti telah diserahkan kepada ROS pada 27 November tahun lepas…tetapi (tiada)  kelulusan.”

Pemimpin-pemimpin parti telah pergi berjumpa ROS dan mendakwa ROS telah bertindak mengikut “arahan orang atas”.

“Jika keputusan menolak nama baru parti adalah berunsur politik, kami mendesak Menteri Dalam Negeri – yang juga ialah Perdana Menteri Malaysia – bertindak secara adil dan wajar,” tambah mereka.

Percantuman Parti Keadilan Nasional (keADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).dilancarkan pada 3 Ogos 2003 lalu setelah proses percantuman yang mengambil masa dua tahun selesai disempurnakan.

Tanpa kelulusan ROS, kedua-dua parti akan bertanding di bawah logo masing-masing dalam pilihan raya akan datang yang dijangka tahun depan.