Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 10:17 AM

Rasuah dalam Felcra Berhad dan Risda bukti menteri tidak efisyen

Penyelewengan RM86 juta dalam Felcra Berhad dan Risda melibatkan "orang dalam" yang diumumkan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) baru-baru ini melambangkan kelemahan pengurusan dalam agensi dan kementerian terbabit.

Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) kesal dengan perkembangan tersebut memandangkan kedua-dua agensi tersebut adalah agensi yang ditubuhkan bagi memelihara kepentingan dan memajukan masyarakat luar bandar dan berpendapatan rendah.

"Penyelewengan didapati semakin menjadi-jadi, wabak tersebut mula dikesan semakin parah sejak penemuan penyelewengan RM47 juta wang Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), pelesapan [dana] Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan kepincangan lain," tegas Pengerusi Impak, Mahfuz Omar.

Mahfuz menambah, penyelewengan tersebut berlaku akibat kepincangan dan kelemahan pengurusan serta perlaksanaan dasar yang tidak menguntungkan rakyat kementerian terbabit.

Katanya lagi, Impak melihat pihak BPR dan kementerian terbabit hanya bertindak selepas sesuatu penyelewengan dan kepincangan berlaku, sementara usaha mengelak dan membasmi kegiatan penyelewengan tidak diperkemaskinikan.

Tambahnya lagi, penyelewengan dan rasuah akan mudah berulang kerana terdapat ruang dan kesempatan untuk menyeleweng dan ia melibatkan jumlah wang yang cukup besar.

“Kejadian rasuah dan penyelewengan besar yang berulang-ulang ini membawa makna Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Azmi Khalid tidak efisyen dan tidak cekap, malah gagal memastikan kejadian buruk berlaku sejak menteri sebelumnya,” tegas Mahfuz.

Beliau berkata demikian dalam ulasannya terhadap pengumuman BPR mengenai penyelewengan dalam Felcra Berhad dan Risda baru-baru ini.

Seterusnya, kegagalan tersebut memperlihatkan menteri terbabit tidak efektif lagi untuk memastikan “good governance” terlaksana dalam kementerian tersebut.

Selain itu kata Mahfuz, Impak juga melihat agensi-agensi terlibat telah dipolitikkan untuk kepentingan parti pemerintah dengan agihan yang tidak adil dan mengamalkan diskriminasi.

Sehubungan itu, keadaan tersebut katanya mengakibatkan masyarakat luar bandar tidak mendapat manfaat dari segala program yang dirancangkan.

Impak mendesak satu rombakan serta penyusunan secara menyeluruh dilakukan terhadap KPLB dan agensi terbabit demi menjaga kepentingan rakyat khususnya mereka yang berada di luar bandar yang sering ketinggalan dari sudut persaingan dan kemajuan.

Selain itu, Impak menggesa kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat dan bertindak terhadap pengumuman BPR tersebut.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab, Azmi disarankan melepaskan jawatannya, seterusnya memberi laluan kepada pemimpin yang lebih cekap, efisyen, amanah dan berkredibiliti dalam memikul amanah rakyat," tegas Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.