Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 10:49 AM

MB Pahang didakwa pindah milik tanah tak ikut undang-undang

Skandal balak Umno Pahang semakin panas

Syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur (SGM) terus menyoal status hak milik tanah seluas 10,000 ekar, yang kini menjadi tumpuan skandal balak melibatkan Umno Pahang.

Dalam satu laporan polis yang dibuat baru-baru ini, pengarah syarikat SGM Syed Ali Badarudin berkata bahawa status hak milik tanah tersebut telah bertukar tangan beberapa kali dalam dua tahun ini, iaitu, dari sebidang tanah yang dimiliki oleh syarikat swasta kepada tanah milik kerajaan dan kemudiannya balik kepada hak milik swasta.

Beliau mendakwa Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mungkin telah menyalahgunakan kuasanya untuk meluluskan pertukaran hak milik tersebut tanpa mengambil kira  undang-undang yang melibatkan pertukaran hak milik tanah.

Menurutnya, pada 31 Julai 2000, Pengarah Perhutanan Pahang telah mengeluarkan satu permit balak kepada SGM untuk tanah di Nenasi berhampiran Pekan yang dikatakan dimiliki oleh Umno Pahang.

“Kelulusannya dikeluarkan menggunakan Borang 5, yang digunakan untuk tanah hak milik swasta.

“Sebelum mengeluarkan permit, Pengarah Perhutanan mesti mendapat kebenaran Menteri Besar Datuk Adnan Yaakob,” katanya dalam laporan polis tersebut.

Bagaimanapun, Syed Ali berkata dalam dua helai surat di antara Umno Pahang dan Pejabat Tanah Daerah Pekan - bertarikh 21 Disember 2000 dan 31 Julai 2001 - merujuk kepada tanah Nenasi sebagai tanah yang dimiliki oleh kerajaan.

“Menteri Besar sendiri mencatat pada surat yang bertarikh 21 Disember 200 bahawa permohonan untuk konsesi pembalakan di tanah Nenasi mesti dirujuk pada Majlis Exco Negeri Pahang.

“Ini menunjukkan bahawa Menteri Besar, selaku Ketua Umno Pahang, sedar akan tanah yang masih dimiliki kerajaan negeri,” jelasnya.

Walaupun ini berlaku, Syed Ali berkata Jabatan Perhutanan, dengan kebenaran Adnan, sekali lagi meminta SGM memohon pada bulan Mei 2003 untuk membalak 2,000 ekar tanah Nenasi yang tinggal dengan menggunakan Borang 5 yakni prosedur untuk mendapatkan kelulusan untuk tanah hak milik swasta.

“Oleh itu, saya rasa Menteri Besar telah dengan sengaja meluluskan permohonan (menggunakan Borang 5) yang bertentangan dengan peraturan.

“Beliau mungkin telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Menteri Besar atau kuasa yang diberikan kepadanya sebagai pemimpin negeri,” tagas beliau.

Sementara itu, seorang lagi Pengarah SGM, Lee Sin menjelaskan bahawa pemindahan hak milik itu penting kerana ia menentukan sama ada syarikat balak tersebut harus membayar pada kerajaan negeri premium balak untuk hak membalak di kawasan itu.

“Berdasarkan bilangan pokok-pokok yang dibalak, premium balak adalah di antara RM20 juta dan RM30 juta untuk tanah seluas 10,000 ekar,” katanya.

Tambah Lee, pertukaran kepada status tanah swasta tidak bermadsud bahawa syarikat konsesi tidak perlu membayar premium balak tetapi ia bermakna bahawa kerajaan negeri tidak akan lagi memperolehi wang yang disimpan untuk bayaran-bayaran ini.

Menurut dua surat kebenaran oleh Jabatan Perhutanan kepada SGM dalam tahun 2000 dan 2002, ia membenarkan syarikat itu untuk membalak dua bahagian tanah Nenasi, dimana pemilik tanah tersebut merupakan Umno Pahang.

Apabila dihubungi media, Adnan enggan memberi komen mengenai dakwaan terhadapnya, sambil berkata bahawa perkara tersebut harus disiasat oleh pihak berkuasa.

Menurut laporan  polis sebelum ini, SGM mendakwa  bahawa pembantu-pembantu Menteri Besar Pahang telah menerima ‘bayaran tidak rasmi’ yang berjumlah sebanyak RM 320,000 untuk memastikan SGM berjaya mendapat konsesi pembalakan tersebut.

Laporan tersebut juga mendakwa bahawa penafian Adnan berkenaan isu konsesi pembalakan ini melanggar keputusan mahkamah serta salah dari segi undang-undang dan satu penipuan, kata pihak SGM. 

Tanah tersebut telah diberikan kepada Umno Pahang pada tahun 1998 oleh kerajaan negeri yang diketuai oleh Menteri Besar Pahang ketika itu, Khalil Yaacob [kini Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung Umno].   Tanah ini diberikan untuk tujuan penanaman kelapa sawit.

Sejak banyak dokumen telah dibongkarkan, ia menunjukkan bahawa perjanjian ini telah disokong  oleh pegawai tinggi Umno Pahang.

Konflik antara Umno Pahang dan SGM tersebut mengakibatkan kes ini dibawa ke mahkamah sejak SGM gagal menjalankan ativiti pembalakannya.