Seruan
Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 10:50 AM
BPR
diminta siasat kerajaan negeri Perak
Seorang
ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak telah melaporkan kepada Badan
Pencegah Rasuah (BPR) mengenai pemberian konsesi balak mengikut
harga premium yang tidak tepat oleh kerajaan negeri Barisan Nasional.
Wakil
rakyat Pantai Remis Nga Kor Ming membuat laporan tersebut di ibu
pejabat BPR di Putrajaya pada 24 Disember 2003 lalu dengan diiringi
oleh beberapa pemimpin DAP.
Turut
hadir Setiausaha DAP Perak Teh Hock Kee, Timbalan Pengerusi Pemuda
Chan Su San, Setiausaha Nasional Pemuda Anthony Loke, Setiausaha
Antarabangsa John Chung dan ahli exco Ean Yong.
Nga
menunjukkan bahawa 96 peratus kelulusan membalak yang diberikan
dari tahun 1998 ke 2001 dibuat tanpa tender terbuka.
Maklumat beliau diasaskan
daripada laporan Ketua Audit Negara 2001, yang mendedahkan bahawa
hanya 14 lesen diberikan dengan tender terbuka dalam tempoh tiga
tahun tersebut.
Laporan
tersebut menilai bahawa konsesi yang diberikan mengikut tender pada
puratanya akan membawa pendapatan sebanyak RM2,542 se hektar untuk
kerajaan negeri.
Bagaimanapun,
kerajaan negeri hanya mengutip sebanyak RM750 se hektar dari syarikat-syarikat
yang dibenarkan melangkaui sistem tender itu, iaitu, potongan sebanyak
70.5 peratus nilai piawai premium.
Menurut
Nga, jika lesen membalak diberikan mengikut tender terbuka, premium
yang dikumpul, akan bernilai sebanyak RM73.65 juta.
“Malangnya,
disebabkan salahguna kuasa kerajaan negeri Perak, nilai yang dikumpul
adalah hanya RM26.93 juta,” katanya.
Sementara
itu, Nga mendakwa bahawa cubaannya untuk mengemukakan isu tersebut
di DUN Perak pada 14 November tahun lepas menerima tentangan yang
hebat dari wakil-wakil rakyat Barisan Nasional.
Kata
Nga cadangan usul yang memerlukan kerajaan negeri mendedahkan senarai
individu atau syarikat yang diberikan konsesi - di mana kebanyakannya
adalah ahli-ahli MCA dan Umno - ditolak oleh 44 pemimpin BN negeri
Perak.
“Perdana Menteri telah mendesak
supaya kerajaan di semua peringkat menghapuskan rasuah, tetapi kes
ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri telah menolak arahan
tersebut. BPR sepatutnya dengan segera menyiasat tanpa ‘memilih
bulu’, katanya.
|