Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 10:51 AM

ISA: Penindasan terhadap hak wanita, anak-anak

Penahanan ketua keluarga di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah contoh paling ketara penyelewengan dan penindasan terhadap hak dan kebebasan yang dianugerahkan Allah kepada manusia umumnya dan golongan wanita serta anak-anak khususnya.

Sehubungan itu, Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Dr Harlina Harliah Siraj menyeru pihak berkuasa memberikan pertimbangan sewajarnya kepada penderitaan dan kesempitan hidup yang dialami oleh keluarga tahanan ISA itu.

Beliau berkata, anggota keluarga tahanan di bawah ISA yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak amat memerlukan pembelaan dan bantuan.

“Penantian dalam kesamaran mengenai nasib dan tempoh penahanan mereka yang ditahan amatlah pahit untuk dilalui,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Perwakilan Wanita Nasional JIM ke 10 yang bertemakan ‘Menggariskan Peranan Wanita Era Globalisasi ‘ di Dewan Perpustakaan Awam Negeri, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Katanya, terdapat berpuluh-puluh buah keluarga di negara ini yang terpaksa menderita bertahun-tahun lamanya apabila ketua keluarga-keluarga berkenaan ditahan di bawah ISA yang merupakan contoh paling ketara mengenai penindasan tersebut.

Tambahnya, tanpa pembicaraan untuk menentukan sama ada yang ditahan itu benar-benar bersalah atau tidak, nasib para tahanan ISA tidak dapat dipastikan.

“Apapun alasan kepada penahanan tersebut, amatlah tidak adil dan wajar sekiranya anggota-anggota keluarga yang kebanyakannya bergantung hidup kepada para tahanan dibiarkan menderita,” ujarnya.

Beliau berkata, setakat yang termampu dan terdaya, Wanita JIM diseru untuk mempergiatkan lagi sokongan dan bantuankepada mereka yang malang itu.

Katanya, Wanita JIM juga memberikan dorongan dan tiupan semangat untuk para keluarga tahanan menuntut hak-hak asasi mereka serta meneruskan kehidupan dengan lebih berkeyakinan adalah merupakan tanggungjawab yang asas.

Ini, tambahnya, bagi memastikan etika penyayang dan prihatin peranan Wanita JIM terus dipatuhi oleh semua tanpa mengira siapapun mereka.