Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 10:52 AM

Kerajaan tak akan mansuhkan ISA - Najib

Kerajaan tidak bertujuan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam masa terdekat, demikian menurut Menteri Pertahanan dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, ISA ialah langkah berjaga-jaga membanteras ancaman kepada keselamatan negara disebabkan perubahan persekitaran global yang memerlukan kerajaan menggunakan kaedah “mencegah lebih baik daripada mengubat”.

 “Kita tahu daripada sains perubatan bahawa bilangan penyakit-penyakit kritikal, apabila mereka berjaya dikesan, kerosakan telah pun berlaku.

 “Begitu juga kes penyakit yang dahsyat iaitu terrorisme,” kata Najib dalam ucaptamanya di majlis anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), sempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia yang disambut pada 10 Disember lalu.

Tambahnya, ISA membenarkan kerajaan menekan rangkaian pengganas yang disyaki seperti “Jemaah Islamiah” (JI) dan “Kumpulan Mujahidin Malaysia” (KMM).

 “Tidak dapat dibayangkan, kemusnahan yang akan berlaku jika kita membenarkan ahli-ahli JI dan KMM bergerak bebas,” katanya.

Najib juga membidas negara-negara yang menurutnya jaguh hak asasi individu, tetapi masih bergelut untuk menumpu kepada hak komuniti dan kumpulan.

Dia memberi contoh, 600 tahanan awam di Teluk Guantanamo dan perbahasan tentang pemakaian tudung oleh wanita Islam di Singapura dan Perancis, sebagai tindakan yang melanggar hak asasi manusia.

Sementara mengatakan beliau berpegang kepada hak kemanusiaan sejagat dan nilai-nilainya, dia juga percaya bahawa setiap negara ada keutamaan yang berbeza terhadap hak, mengikut tahap pembangunan.

Najib menekankan bahawa kerajaan Malaysia telah mengambil “pendekatan seimbang dan wajar” ke arah kestabilan dan kebebasan.

 “Saya percaya kebanyakan rakyat Malaysia menghargai tugas utama kerajaan iaitu memastikan rangka negara…tidak robek dan musnah selamanya,” katanya.

Najib juga menyebut bahawa kerajaan bersikap terbuka kepada pemeriksaan “aspek prosedur” ISA, dan kerajaan telah membuat pindaan kepada Kanun Keseksaan (Pindaan) Bil 2003, berdasarkan nasihat daripada Suhakam.

 “Walaupun begitu, ISA akan terus digunakan oleh kerajaan dalam kes-kes yang bersesuaian di mana keadaan tidak membenarkan penggunaan Kanun Keseksaan,” tambahnya.

Undang-undang keselamatan ISA, yang membenarkan tahanan tanpa bicara, dahulunya digubal untuk memerangi kebangkitan komunis tetapi ianya dikutuk apabila digunakan ke atas rakyat dan pemimpin politik pembangkang yang menentang kerajaan.