Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 10:54 AM

Penyenaraian Felda Holdings

Kerajaan perlu jelaskan kekeliruan

Langkah kerajaan melalui Kementerian Kewangan menyediakan kertas cadangan penyenaraian Felda Holdings ke Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dijelaskan segera bagi kepentingan pihak-pihak terbabit dan negara.

Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Mahfuz Omar berkata, persoalan pertama yang timbul ialah mengenai pembabitan Kementerian Kewangan dalam penyediaan kertas kerja cadangan penyenaraian Felda Holdings itu ke BSKL.

“Mengapa mesti Kementerian Kewangan yang menyediakan kertas kerja berkenaan, bukannya Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi (KTPK) yang bertanggungjawab ke atas peneroka dan tanah-tanah rancangan Felda?,” soal Mahfuz.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya, hari ini sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Felda Holdings, Tan Sri Dr Yusoff Noor, yang mengumumkan bahawa kertas kerja cadangan berkenaan belum dibawa ke Kabinet untuk tindakan lanjut.

Menurut Mahfuz, apakah jaminan yang dapat diberikan bahawa nasib para peneroka ini akan lebih terbela dengan menyenaraikan Felda Holdings.

“Tawaran 33 peratus (RM 3.3 bilion) pegangan ekuiti oleh peneroka dan kakitangan Felda Holdings apabila disenaraikan tidak membuktikan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kedudukan para peneroka kerana terdapat pihak lain yang akan menguasai 67 peratus (RM 6.7 bilion) ekuiti selebihnya,” jelas Mahfuz, yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Justeru katanya, Impak menggesa kerajaan dan pengurusan Felda Holdings mendedahkan secara jelas bentuk penglibatan peneroka dan kakitangan Felda dalam penyenaraian tersebut.

Tambahnya, pengumuman itu akan meredakan kebimbangan peneroka dan masyarakat awam yang menginginkan ketelusan dalam pengurusan Felda Holdings dan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut meminta KTPK memainkan peranan aktif untuk menjamin kepentingan para peneroka tidak terjejas dengan tindakan penyenaraian tersebut.

"Sebuah jawatankuasa khas juga boleh dibentuk di bawah kementerian untuk menjalankan kajian terperinci terhadap kesan penyenaraian tersebut, yang dianggotai oleh para peneroka, kelompok generasi kedua peneroka, pakar-pakar ekonomi, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan terbuka juga kepada pandangan masyarakat umum," kata Mahfuz.

Dengan itu tambahnya, proses penyenaraian ini akan lebih telus dan tidak hanya diuruskan oleh kelompok yang terpisah dari raliti masyarakat felda dan peneroka.

Felda Holdings merupakan sebuah syarikat yang menjalankan urusniaga komoditi yang dikeluarkan oleh para peneroka di tanah-tanah rancangan Felda di seluruh negara sebagai kegiatan utamanya.

Selain mempunyai ladang-ladang sendiri seluas 354, 000 hektar, ia juga memonopoli dagangan komoditi yang dikeluarkan oleh ladang milik peneroka seluas 873, 000 hektar.

Sebelum ini, Seruan Keadilan (Bil. 25) pernah melaporkan kepentingan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis dalam penyenaraian Felda Holdings. 

Berdasarkan maklumat yang diperolehi Jamaluddin dipercayai punyai hubungan rapat dengan Avenue Capital Resources Berhad, syarikat yang menjadi penasihat kewangan bagi tujuan penyenaraian tersebut.

Hubungan itu dikesan melalui talian persaudaraan isteri Jamaluddin dengan isteri Pengarah Eksekutif Avenue Capital Resources Berhad, Tengku Zafrul Aziz.

Berdasarkan sumber dan maklumat yang diperolehi, hubungan kekeluargaan tersebut telah membolehkan Avenue Capital Resources Berhad dilantik sebagai penasihat kewangan bagi penyenaraian Felda itu.

Hubungan Jamaluddin dan Tengku Zafrul melalui ikatan kekeluargaan di pihak isteri kedua-dua mereka telah membolehkan kerja-kerja perundingan kewangan diberikan kepada syarikatnya.