Seruan
Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 9:58 AM
Sakit
Anwar makin serius, tidak dibenar dibawa ke hospital
Kesihatan
bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kebelakangan
ini semakin merosot, tetapi sehingga berita ini ditulis, beliau
masih tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di hospital, kata
peguamnya, Sankara N Nair.
Beliau
yang melawat Anwar di Penjara Sungai Buloh pada 31Disember 2003
lalu berkata, anak guamnya itu mengalami sakit di bahagian belakang
yang serius sejak dua minggu lalu.
Menurut
Sankara, lebih dikesalkan lagi, doktor kerajaan, Dr Jeyaindran Sinnadurai,
yang melawat Anwar, Selasa lepas, tidak mengambil langkah supaya
beliau dibawa untuk mendapat rawatan ke hospital apabila mengadu
mengenai sakit belakangnya.
“Jeyaindran
hanya memberi ubat penahan kesakitan (yang baru) tanpa sedikit pun
menunjukkan rasa simpati untuk memberi arahan atau nasihat supaya
Anwar di hantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan
lanjut,” kata Sankara lagi.
Sehubungan
itu, beliau telah menghantar sepucuk surat berhubung perkara itu
kepada pihak berkuasa penjara untuk tindakan segara pihak berkenaan.
Dalam
surat yang ditujukan kepada Ketua Pengarah Penjara Sungai Buloh,
Tuan Haji Hassan Haji Sakimon, dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara
Malaysia, Tuan Mohd Noor , Sankara berkata, pihaknya tidak mahu
berlakunya sebarang kelewatan dalam masalah tersebut sehingga menyebabkan
sakit Anwar bertambah parah.
“Berdasarkan
kesihatan Anwar yang semakin tenat, kami percaya bahawa kelewatan
bertindak akan menyebabkan pihak penjara terdedah kepada dakwaan
kecuaian (negligent),” katanya.
Beliau
juga kesal kerana pihak penjara dan pihak Pengarah Hospital Kuala
Lumpur masih belum lagi menjawab surat aduan yang dikemukakan olehnya
pada 3 Disember 2003 mengenai kesihatan Anwar.
Katanya,
perkara yang sama turut berlaku kepada surat permohonan Anwar untuk
mendapatkan, doktor peribadinya, Dr Halilli Rahmat, serta pasukannya
bagi memeriksa beliau.
Anwar
sedang menderita sakit tulang belakang sejak Disember 2000 dan sangat
memerlukan pembedahan. Permohanannya sebelum ini untuk mendapatkan
pembedahan berisiko rendah di Alpha Klinik, Jerman, ditolak kerajaan.
Pada
Disember tahun 2002, beliau di jangkiti pneumonia (paru-paru berair)
dan penyakit asma kerana kesejukan tinggal dalam sel Penjara Sungai
Buloh.
Permohonan
beliau untuk mendapat ikat jamin atas alasan kesihatan juga sehingga
kini belum diputuskan oleh mahkamah.
|