Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 10:00 AM

Projek sekolah: Idris Jusoh bolot RM38.8 juta

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Idris Jusoh membolot RM38,830,885.50 daripada projek pembinaan sekolah di negeri tersebut.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang media selepas berucap pada Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua Dan Timbalan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Tahun 2004 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 1 Januari 2004.

Selain Idris, Abdul Hadi juga mendedahkan projek-projek yang dibolot oleh beberapa syarikat milik pemimpin Umno negeri, antaranya:

- Mohd Nasir Ibrahim Fikri (ketua penerangan Umno)

- Dato’ Roslan Awang Chik (ahli jawatankuasa Umno)

- Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Che Mat Jusoh (ahli jawatankuasa Umno Kuala Terengganu).

Idris yang juga Pengerusi Ketengah melalui syarikatnya, Jusoh Enterprise Sdn Bhd membolot RM38,830,885.50 daripada empat projek pembinaan sekolah di bawah peruntukan Program Pembiayaan Wang Ehsan (PPWE).

Antara projek yang dibolot oleh syarikat beliau ialah pembinaan:

- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Kompleks Pengadang Baru, Kuala Terengganu  bernilai RM14.1 juta,

- SMK Tanjung Gelam, Kuala Terengganu (RM4,262,700.00),

- SMK Tembila, Besut (RM13,550,070.50) dan

- pembinaan bangunan tambahan SMK Tengku Mahmud, Besut (RM6,918,115.00).