Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 10:02 AM

Agihan kerusi BA Pahang selesai

Agihan kerusi calon Barisan Alternatif (BA) bagi menghadapi pilihanraya umum ke-11 selesai dengan semua parti mengekalkan kerusi yang ditandingi dalam pilihanraya yang lalu.

Pengarah Jabatan Pilihanraya Negeri (JPN) PAS Pahang, Dr Abdul Wahab Ismail berkata, daripada 14 kerusi yang akan dipertandingkan, PAS akan bertanding di lapan kawasan.

“Manakala, empat bagi Parti keADILan dan tiga kepada DAP,” jelas Dr Wahab.

Tambah beliau, daripada empat kerusi baru yang diwujudkan selepas persempadanan semula, PAS memperolehi dua kerusi iaitu Bera dan Kuala Kerau, manakala keADILan mendapat kerusi di Indera Mahkota dan Cameron Highlands kepada DAP.

Parlimen Bera adalah pecahan daripada Parlimen Temerloh yang ditandingi PAS pada pilihanraya 1999, sementara Parlimen Kuala Kerau wujud selepas Parlimen Mentakab dimansuhkan.

Sementara itu, Parlimen Indera Mahkota adalah pecahan daripada Parlimen Kuantan yang ditandingi keADILan pada pilihanraya lalu, manakala Parlimen Cameron Highland pula wujud dari pecahan Parlimen Lipis.

Menurut Dr Wahab, bagi 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pula, PAS diamanahkan untuk bertanding di 26 kawasan, manakala keADILan (10) dan DAP (6).

“Daripada 26 kerusi yang diperuntukkan untuk PAS itu, termasuklah tiga Dun baru iaitu Kerdau, Panching dan Tanjong Lumpur. Dun baru, Pulau Manis dalam Parlimen Pekan pula, diserahkan kepada keADILan," jelas Dr Wahab dalam Seminar Pilihanraya Umum 11 Zon 1, di Pekan baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa semua kerusi akan ditandingi ‘satu lawan satu’ menentang Barisan Nasional (BN) dan semua lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BA yang memenangi pilihanraya lalu akan dikekalkan.

“Jika dahulu kita turun dengan isu nasional, maka kali ini kita tampil dengan isu-isu negeri dan setempat yang kritikal dan lebih spesifik,” tegas beliau.

Tambahnya, PAS akan mendedahkan kepincangan kerajaan BN Pahang dan percaya rakyat sedang meneliti tentang mana masa depan mereka yang akan dibawa BN sekarang dan ke mana pula yang akan dibawa BA jika memenangi pilihanraya akan datang.

Sementara itu, satu majlis dialog yang membariskan Dr Wahab, Ketua Penerangan PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Pesuruhjaya (Timur), Ustaz Yusuf Embong sebagai ahli panel turut diadakan sempena seminar tersebut. – Ehsan Harakahdaily