Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 10:56 AM

Anwar kutuk penyebar khabar angin

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk mereka yang menyebarkan khabar angin yang tidak berasas mengenai perundingan rahsia yang kononnya berlaku di kalangan parti politik bagi maksud pembebasan beliau.

Malah katanya, adalah sesuatu yang tidak wajar wujudnya cerita mereka yang menyebarkan fitnah mendakwa pemimpin-pemimpin keADILan menerima wang dan kedudukan dalam kerajaan untuk mendapat sokongan.

“Dengan nama Allah, saya yakin bahawa kebenaran akan mengatasi segalanya dan kehakiman yang adil, sama ada syariah atau sivil, akan membebaskan saya.

“Dan mereka yang terus memfitnah saya dan cuba ‘menggadai’ kebebasan saya untuk kepentingan peribadi melakukan satu tindakan yang keji,” tegasnya.

Penegasan beliau itu disampaikan oleh Ezam Mohd Noor ketika membaca perutusan Anwar pada majlis pelancaran Gerakan Anwar Bebas di Dewan Perhimpunan Cina Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Ezam dalam ucapannya turut memberikan komitmen akan meneruskan perjuangan rakyat menuntut keadilan ditegakkan di negara ini.

Malah katanya, beliau memberi tempoh 100 hari kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membebaskan Anwar dan mewujudkan keadilan di negara ini dan sekiranya gagal berbuat demikian, gerakan rakyat akan memastikan Abdullah mengikut jejak langkah Tun Dr. Mahathir yang terpaksa berundur atas desakan rakyat.

Naib Presiden keADILan, Mohamed Azmin Ali pula dalam ucapannya memberikan amaran kepada Abdullah bahawa rakyat sedar akan propaganda yang menunjukkannya sebagai seorang pemimpin yang ‘bersih dan beriman’.

“Rakyat tidak akan tertipu oleh imej luaran yang dangkal. Apa yang kita mahu ialah sebuah kerajaan bersih yang bertindak dengan cepat terhadap ketidakadilan dan rasuah.

“Sekiranya beliau [Abdullah] serius mahu menghapuskan rasuah, beliau seharusnya menahan Mahathir dan memulakan penyiasatan terhadapnya untuk rasuah dan buka kembali fail menteri-menteri,” tegasnya.